Pada April 2021, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuat kenyataan rasmi bahawa penulis Bukan Islam tidak boleh menggunakan “Tuhan” – kecuali jika merujuk kepada ‘Allah’. [Baca dokumentasi penuh]
Sejak itu,
situasi penulisan karya Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India
mengalami perubahan. Perkara ini turut dihurai menerusi ulasan bertajuk “Penulis Kaum India, Carma, Tuhan, dan DBP” (20
November 2023). Baca juga “Mungkin Lepas Ni Orang Tak Sebut Tentang Kavyan”
(19 September 2025) dan “Benarkah Sasterawan Kavyan Tidak Berkarya?”
(24 Oktober 2025).
Pada
pertengahan November 2025, empat penulis kaum India – Sasterawan Kavyan – mengimbau peristiwa
yang berlaku sekitar empat setengah tahun dahulu, serta membicarakan beberapa
topik berkaitan.
Topik Satu: Masihkah anda
ingat reaksi awal anda apabila DBP membuat kenyataan rasmi pada April 2021
tentang isu “Tuhan”?
Uthaya Sankar SB: Tentulah saya masih ingat! Tindakan itu
merupakan usaha licik DBP menafikan hak umat Bukan Islam. Saya segera mendokumentasi
maklumat berkaitan di blog – sama seperti saya lakukan
bagi isu Bahasa Malaysia pada 1999 dan kontroversi novel Interlok pada 2011.
Saya mahu semua orang tahu kisah penuh tentang apa yang berlaku.
M. Mahendran: Saya ketahui pun melalui paparan Uthaya di
media sosial. Ketika itu saya tidak rasa apa-apa. Saya fikir itu adalah perkara
biasa. Setelah ditekankan oleh Uthaya di media dan blog, baru saya faham maksud
sebenar. Apa yang diketahui, Tuhan adalah satu sahaja. Mengapa perlu
dikategorikan dan dibezakan hanya dengan huruf besar dan kecil? Saya berpendapat
DBP melakukan diskriminasi kepada penganut agama-agama lain, walaupun diketahui
Tuhan adalah satu sahaja.
Malini Lakshmi Bai: Saya juga masih ingat rasa getir pada
waktu itu. Ada rasa keliru dan rasa
tidak adil terkenang akan masa depan penulisan Bahasa Malaysia untuk para
penulis yang berasal daripada latar budaya dan agama yang berbeza.
Anuradha Chelliah: Ya, saya pun masih ingat. Tambahan
pula, cerpen saya juga termuat dalam antologi Meredah Kabus (2021). Saya juga berasa marah dengan tindakan DBP dalam
hal ini. Malah saya ada mengemukakan reaksi dalam satu segmen kecil Bernama Seithigal (29 April 2021) menyatakan
bahawa saya kesal dengan tindakan DBP tidak membenarkan penulis Bukan Islam
menggunakan “Tuhan” dalam penulisan.
Topik Dua: Adakah keputusan
DBP memberi kesan kepada penulisan anda?
Uthaya Sankar SB: Apabila DBP gagal memberi penjelasan yang wajar dan diterima akal, saya
mengambil keputusan memboikot DBP. Maknanya, saya berhenti mengirim karya ke
sana. Saya juga tidak lagi menyalurkan karya peserta Bengkel Penulisan Kavyan
ke DBP. Sebaliknya, saya menulis di pelbagai media lain dan blog sendiri.
Pada masa sama, saya terus lantang menentang tindakan fasis, rasis, dan
subversif DBP. Ada juga ditulis dalam buku Suvarna Bhumi (2022).
Malini Lakshmi Bai: Secara jujur, keputusan DBP tidak menjejaskan momentum saya menulis.
Sebaliknya, ia memaksa saya berfikir dengan lebih kritis dan kreatif tentang
bahasa, istilah, dan ruang kuasa dalam wacana sastera. Saya menyesuaikan diksi,
tetapi terus menulis dengan lebih sedar, lebih tegas, dan lebih berani
mempertahankan hak berkarya dalam bahasa kebangsaan.
Anuradha Chelliah: Saya memang rasa kehilangan itu. Tetapi, saya tidak putus semangat.
Saya mula menerokai lebih banyak peluang di tempat lain untuk terus menulis dan
menghasilkan karya. Maknanya, saya tidak putus asa atau berhenti menulis
semata-mata kerana DBP tidak membenarkan penggunaan “Tuhan”.
M. Mahendran:
Penulisan saya pun semakin bertambah di
media lain seperti portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.
Saya sudah tidak menulis di DBP walaupun tahu akan kehilangan honorarium.
Lagipun, sebelum itu pun saya bukan kerap sangat menulis di majalah-majalah DBP.
Topik Tiga: Benarkah tindakan
DBP telah mengurangkan minat penulis kaum India secara keseluruhan?
Anuradha Chelliah: Saya rasa masih ada penulis kaum India yang terus menulis di
majalah-majalah DBP. Itu keputusan masing-masing. Kalau penulis terbabit rasa
DBP memberi peluang kepada mereka dan mereka juga ingin terus menghantar karya
ke DBP, terpulang. Ramai lagi penulis kaum India yang terus menghasilkan karya bermutu
tanpa bergantung kepada DBP.
Uthaya Sankar SB: Dari semasa ke semasa, saya diberitahu oleh rakan-rakan (bukan penulis)
tentang karya penulis kaum India yang tersiar di majalah DBP. Saya kata,
biarkanlah. Bukan semua orang mementingkan maruah. Kalau penulis terbabit tidak
kisah dengan tindakan DBP menafikan hak menggunakan “Tuhan”, maka biarlah
mereka terus menulis. Lagipun, mungkin bayaran wang lebih penting berbanding
maruah. Di pihak saya, saya akan menjauhi penulis seperti itu kerana mereka
umpama duri dalam daging dan gunting dalam lipatan.
M. Mahendran:
Memang benar ada juga yang masih menulis
ke DBP. Mungkin mereka tidak sedar tentang isu Tuhan atau pun buat-buat tidak
tahu sahaja. Asalkan karya mereka tersiar dan dapat bayaran, itu sudah cukup
untuk mereka. Itu pilihan mereka, kita tak boleh halang.
Malini Lakshmi Bai: Setahu saya, kebanyakan penulis kaum India tidak pernah menyerah kalah susulan
keputusan DBP. Mereka terus menulis seperti biasa, cuma dengan kesedaran baharu
tentang batasan istilah yang ditetapkan. Saya tidak fikir komuniti penulis kaum
India akan berhenti berkarya hanya kerana isu sekecil itu. Mereka lebih matang,
lebih strategik, dan tetap mempertahankan bahasa sebagai medan ekspresi.
Misalnya, macam kita semua yang masih aktif menulis di pelbagai media. (Bersambung pada 12 Disember 2025)

Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.