Krismas: Meriah di Luar, Gersang di Dalam

Apabila Disember menjelma, wajah dunia seakan berubah. Pusat beli-belah dihiasi pokok Krismas setinggi dua tingkat, ribuan lampu berkelip memanggil orang ramai untuk bergambar, dan lagu-lagu perayaan bergema tanpa henti. Promosi jualan mega pula menjadikan Krismas seolah-olah pesta membeli-belah yang tiada noktah.

Namun, di sebalik kemeriahan itu, persoalan halus terdetik: jika Krismas hanya tentang pokok berhias, hadiah bertimbun dan hiburan berpanjangan, apa lagi yang berbaki untuk direnungkan bersama?

Hari Natal, dalam maksud asalnya, bukan sekadar cuti umum untuk berpesta. Ia lahir sebagai perayaan kelahiran Yesus Kristus, diperkaya dengan nilai harapan, kasih sayang, kemaafan dan memberi tanpa mengharapkan balasan. Sebaliknya, peralihan zaman telah mengubah persepsi. Krismas kini diukur melalui kecantikan gambar di media sosial, kreativiti dekorasi, dan jumlah hadiah yang ditukar. Segalanya tampak indah, namun kosong di dalam.

Dalam konteks Malaysia yang berbilang budaya, Krismas sepatutnya menjadi jambatan untuk saling mengenali dengan hati terbuka. Namun, jika kita terlalu fokus pada majlis dan dekorasi, suasana ini berisiko pudar. Di tengah cahaya lampu berkelip dan muzik meriah, kita sering terlepas pandang bayang-bayang di sekeliling: jiran yang menyambut bersendirian, keluarga yang bergelut membeli beras dan susu, dan hati yang luluh dan mengharapkan pertolongan.

Krismas, yang sepatutnya menjadi simbol kasih dan solidariti, kini semakin tenggelam dalam kilauan konsumerisme. Apa yang lahir sebagai perayaan jiwa, kini sering dipamerkan sebagai pesta imej. Persoalan yang timbul bukan sekadar retorik: adakah Krismas masih menyentuh hati kita, atau kita hanya puas menyentuh permukaannya, kosong daripada isi?

Kini tiba masanya kita menyoal semula hala tuju perayaan ini. Mengapa kita lebih rela berbelanja untuk hiasan berbanding menghulurkan tangan kepada jiran atau insan yang memerlukan? Mengapa kita lebih mementingkan bungkusan hadiah berbanding permohonan maaf atas salah faham yang berkarat lama? Mengapa masa dan kehadiran yang paling bernilai sering digantikan dengan objek yang mudah dibungkus tetapi tidak pernah mengisi kekosongan jiwa?

Hakikatnya, perkara paling sederhana seperti kunjungan, kata-kata ikhlas, dan solidariti sosial adalah permata yang jauh lebih bernilai daripada timbunan hadiah istimewa di bawah pokok Krismas. Kita tidak perlu menolak kemeriahan, tetapi kita mesti jujur mengingatkan diri bahawa di sebalik lampu berkelip dan muzik meriah, ada makna yang lebih lembut dan suci.

Yesus Kristus sendiri menunjukkan teladan kasih yang tidak terbatas. Baginda memaafkan mereka yang menyalibkan-Nya, mengasihi orang miskin dan terpinggir, serta menghulurkan pengampunan kepada mereka yang dianggap berdosa. Salah satu contoh yang paling menyentuh ialah penerimaan seorang wanita bernama Maria Magdalena.

Walaupun masyarakat ketika itu memandang rendah dan memulaukan Maria, Yesus Kristus mengampuni dan menerima Maria Magdalena dengan penuh kasih sayang. Baginda bukan sahaja membebaskan jiwa Maria yang terbelenggu, tetapi juga mengangkatnya sebagai saksi penting dalam kisah kebangkitan. Kasih sayang baginda meruntuhkan tembok penghakiman dan membuka ruang kepada pengharapan.

Natijahnya, Krismas bukan sekadar pokok berhias atau hadiah bertukar tangan. Ia tentang hati yang berani memilih kasih dan pengampunan, seperti teladan Kristus. Dengan ketulusan itu, Krismas kembali menjadi perayaan jiwa dan kemanusiaan. Bukan sekadar pesta imej, tetapi seruan untuk hidup dengan lebih tulus.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Malini Lakshmi Bai lahir di Kuala Lumpur pada 31 Julai 1992. Beliau mendapat pendidikan rendah di SK Taman Segar, Cheras, pendidikan menengah di SMK (P) Perempuan Pudu, Pudu dan pendidikan tingkatan enam di SMK Cochrane, Cheras sebelum mengikuti pengajian sarjana muda bahasa dan linguistik Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak. Malini juga berkelulusan dalam Program Latihan Perguruan Buddha-Dhamma yang dikendalikan oleh Sekolah Ti-Ratana Sukha Dhamma. Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak di bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Beliau kini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan bekerja sebagai guru Bahasa Malaysia dan Inggeris di sebuah sekolah swasta. Malini juga menggalas jawatan bendahari dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).  Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Inggeris sejak tahun 2021. Hasil karya Bahasa Malaysia tersiar di portal Sastera Kavyan selain termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022), manakala karya bahasa Inggeris disiarkan di laman Eksentrika.]

Ulasan