(Baca Bahagian Satu) Sejak April 2021, situasi penulisan karya Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India mengalami perubahan. Perkara ini turut dihurai menerusi ulasan bertajuk “Penulis Kaum India, Carma, Tuhan, dan DBP” (20 November 2023). Pada pertengahan November 2025, empat penulis kaum India – Sasterawan Kavyan – mengimbau peristiwa yang berlaku sekitar empat setengah tahun dahulu, serta membicarakan beberapa topik berkaitan. Berikut ialah sambungan perbincangan itu.
Topik Empat: Sejak isu “Tuhan”
pada April 2021, anda masih aktif menulis. Jadi, ke manakah anda mengirim
karya?
Malini Lakshmi Bai: Seperti dikatakan oleh Mahendran
tadi, saya juga sejak 2021 mengirim hasil karya ke portal Sastera Kavyan dan Eksentrika kerana saya lebih selesa
dengan dasar terbuka kedua-dua ruangan ini. Ruang mereka lebih inklusif dan
tidak membebankan penulis dengan batasan yang tidak perlu. Sekurang-kurangnya,
saya masih dapat berkarya dengan bebas dan jujur dalam Bahasa Malaysia dan
Inggeris.
M. Mahendran: Memang benar. Menulis ke semua portal ini – Sastera
Kavyan, Eksentrika, Cukaria
– memberi kepuasan. Saya juga menulis karya Bahasa Malaysia dan Tamil di blog sendiri.
Lagipun, majalah-majalah DBP tidak dijual
di kedai buku seperti suatu waktu dahulu. Jadi, saya anggap majalah DBP sudah tidak wujud. Pada masa sama, menulis di
talian cepat disiarkan dan boleh sampaikan terus kepada pembaca di seluruh
pelosok dunia dengan berkongsi pautan (link).
Anuradha Chelliah: Saya mengirim karya ke Eksentrika,
Sastera Kavyan, dan juga beberapa
penerbitan swaterbit. Sesungguhnya saya berasa puas walaupun beberapa kali
karya tidak diterbitkan atau karya dalam bentuk antologi mengambil masa yang
sangat lama (2-3 tahun) untuk diterbitkan.
Uthaya Sankar SB: Saya pula menulis secara mingguan dalam
ruangan “Bicara Budaya” di akhbar Utusan
Malaysia. Selain menulis di blog sendiri, saya juga mengirim karya ke Eksentrika, Cukaria, dan Sastera Kavyan.
Saya juga masih menulis dan menerbitkan buku, misalnya Bhagavad Gita (2021), Kavya
Sastra (2021), Suvarna Bhumi (2022),
Khanda Puranam (2022), Katha Sarit Sagara (20230, Dewi Pertiwi (2024), Rani di Kuil Bhagavati (2025), dan Sebelas Amanat Swamiji (2025). Ternyata tindakan fasis,
rasis, dan subversif DBP tidak sedikit pun melemahkan saya. Usah lupa juga antologi
Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri (2022), dan Seruling
Malam (2024) yang kita sama-sama usahakan di bawah Kavyan.
Ternyata kita tetap ada ruang untuk berkarya sambil mempertahankan hak
menggunakan “Tuhan” dalam penulisan.
Topik Lima: Amat jelas bahawa
anda semua tetap aktif dan prolifik. Namun begitu, adakah anda rasa penulis
kaum India secara keseluruhan rugi susulan insiden “Tuhan” pada April 2021?
M. Mahendran:
Penulis kaum India bukanlah banyak mana
pun. Jadi, tidak ada apa-apa kerugian. Zaman sudah berubah. Cuma DBP tidak
dapat menyatupadukan rakyat Malaysia demi memartabatkan Bahasa Malaysia. Pada
saya, DBP harus bertoleransi dalam hal ini jika mahu melihat kepelbagaian dalam
segala hasil terbitan mereka. Jangan kerana Tuhan, semua binasa.
Malini Lakshmi Bai: Secara jujur, saya pula rasa penulis kaum India memang sedikit rugi
selepas insiden itu, bukan kerana kekurangan kemampuan tetapi kerana ruang berkarya
yang sepatutnya menjadi neutral, tiba-tiba menjadi sempit. Namun, kerugian itu
lebih kepada suasana berkarya, bukan pada semangat atau mutu penulisan. Penulis
kaum India tetap teguh, cuma harapan saya agar dasar DBP atau mana-mana
penerbit tidak terus menyulitkan perkembangan sastera kebangsaan di negara sendiri.
Anuradha Chelliah: Sekiranya penulis kaum India berani mencari peluang penerbitan selain
DBP, tiada apa yang merugikan. Malah, saya rasa situasi ini sebenarnya membuka
lebih banyak peluang untuk kaum India berkarya dalam Bahasa Malaysia. Tinggal
sahaja penulis sendiri perlu rajin mencari ruang yang sesuai untuk menerbitkan atau
menyiarkan karya mereka.
Uthaya Sankar SB: Memang penulis kaum India dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia tidak
ramai, sebagaimana kita semua sedia maklum. Huraian terperinci ada dalam buku Kavya Sastra (2021). Sejak DBP menafikan hak umat
Bukan Islam menggunakan “Tuhan”, serta tidak mahu mengakui kesilapan, penulis
kaum India yang mengirim karya ke DBP sudah merudum, manakala minat penulis
baharu pula tidak kelihatan. Penulis seperti kita tidak rugi apa-apa. Sebaliknya,
kerugian adalah bagi Sastera Kebangsaan dan DBP sendiri yang sepatutnya bertanggungjawab
serta diberikan amanah memupuk dan meraikan penulis pelbagai kaum. Golongan penulis
kaum India bersifat “carma” (cari makan) yang setia bersama DBP sejak April
2021 nampaknya masih dianaktirikan; menang sorak maruah tergadai.

Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.