Istimewanya Anak Tunggal


Anak tunggal merupakan satu-satunya anak kepada sepasang suami isteri. Dewasa ini, ramai pasangan mempunyai anak tunggal. Anak tunggal sering dikaitkan dengan kesunyiaan, suka menyendiri, mementingkan diri sendiri dan manja.

Anak tunggal juga dikatakan mendapat lebih banyak kasih sayang daripada ibu bapa kerana tiada adik-beradik lain. Mereka juga cepat berdikari kerana perlu melaksanakan tugas-tugas kecil di dalam dan di luar rumah. Semua ini membuatkan mereka untuk lebih berdisiplin.

Lebih berkeyakinan adalah satu lagi kriteria yang ada pada anak tunggal. Mereka yang tiada adik-beradik ini lebih berkeyakinan dalam melaksanakan tanggungjawab. Mereka juga sangat mengambil berat tentang ibu bapa.

Pada masa yang sama, ibu bapa pula sangat risau tentang anak tunggal kerana hanya mempunyai seorang anak. Ini tidak bermakna ibu bapa lain yang ada lebih daripada seorang anak tidak mempedulikan anak-anak mereka. Memang nyata, ibu bapa akan sentiasa mengambil berat tentang anak-anak tanpa mengira bilangan anak atau usia mereka.

Anuradha Chelliah mewawancara beberapa orang anak tunggal. Ayuh, kita hayati pandangan dan reaksi mereka sebagai anak tunggal.


Adakah anda gembira menjadi anak tunggal? Mengapa?

Muhammad Amal Hassan (12 tahun) berasa gembira menjadi anak tunggal kerana dia disayangi sepenuhnya tanpa berbelah bahagi. Nur Hidayah binti Mohd Shukri, anak kepada seorang guru dan jurutera, juga gembira menjadi anak tunggal tetapi tidak memberikan sebarang sebab. Secara jujurnya, semasa kecil, Christopher Philip Alexander tidak berapa gembira menjadi anak tunggal sebab dia tiada kawan untuk bermain namun sekarang dia tidak berasa begitu kerana dia sudah selesa dengan adanya ramai kawan. Gowri a/p Muniyande (36 tahun) sangat gembira menjadi anak tunggal kerana ibu bapa akan memberikan apa sahaja yang dia minta.


Pernahkah anda ditinggalkan berseorangan di rumah? Apa perasaan anda?

Christopher (22 tahun) tidak pernah ditinggalkan berseorangan di rumah semasa kecil. Sekiranya ibu bapa terpaksa keluar, mereka akan menghantar dia ke rumah nenek. Dia berasa seronok tinggal dengan nenek kerana dapat membuat pelbagai aktiviti menarik bersama neneknya. Muhammad Amal pula tidak pernah ditinggalkan berseorangan kerana dia masih kecil. Hidayah seperti jarang ditinggalkan berseorangan tetapi dia tidak kisah kerana sudah biasa. Gowri, yang sebelum ini duduk di rumah pangsa kerap juga ditinggalkan berseorangan kerana ibu dan bapanya bekerja. Dia berasa seronok untuk tinggal berseorangan. Ini semasa dia masih di sekolah menengah.

Adakah ibu bapa menjadi rakan kepada anda? Jelaskan.

Menurut Amal, ibu bapanya sentiasa mendengar luahan perasaan dia ketika menghadapi masalah. Gowri boleh berkongsi apa sahaja masalah dengan ibu bapanya dan mereka sanggup mendengar. “Ibu bapa adalah rakan saya yang sangat baik. Saya selalu berbincang dengan mereka sekiranya saya ada sebarang masalah. Saya sangat beruntung kerana mempunyai ibu bapa yang sangat memahami kehendak saya,” Kata Chrisropher yang berasal dari Banting. Hidayah yang sudah menjadi seorang jururawat lebih suka bercerita dengan ibu berbanding dengan ayah semasa kecil. 


Adakah anda akan berasa gembira sekiranya mempunyai adik-beradik? Mengapa?

“Oh, tidak! Saya akan berasa lebih tertekan dan tidak aman. Mempunyai adik-beradik kebiasaannya akan menimbulkan pergaduhan dan kekacauan di rumah,” begitulah kata-kata daripada Muhammad Amal yang akan ke sekolah menengah pada tahun 2021. Hidayah juga tidak akan berasa gembira bersama adik-beradik kerana mereka akan berkongsi barang-barangnya. Gowri yang kini berkhidmat di sebuah syarikat swasta juga tidak mahu orang lain berkongsi kasih sayang dengan ibu bapanya. Berlainan dengan pemuda jurusan undang-undang, Christopher yang berkata, dia akan berasa gembira sekiranya mempunyai adik-beradik kerana dia akan mempunyai seorang kawan. Namun, sekarang dia tidak berapa hiraukan perkara ini kerana dia sudah mempunyai ramai kawan.


Adakah ibu bapa anda membenarkan anda untuk keluar bersama rakan-rakan atau sepupu anda?

“Ya, saya dibenarkan untuk keluar bersama rakan-rakan atau sepupu hanya untuk aktiviti yang membawa manfaat seperti lawatan sekolah. Saya berasa seronok dan gembira meluangkan masa bersama rakan-rakan sambil mempelajari pelbagai perkara baharu. Pada pendapat saya, aktiviti seperti ini menerapkan sifat berdikari dalam diri bagi seorang anak tunggal,” ujar Mohd Amal. Manakala Hidayah yang bekerja di Klang dibenarkan keluar untuk membiasakan diri berkawan dengan orang lain, sementara Gowri tidak dibenarkan menyertai aktiviti luar atau bermalam semasa di sekolah kerana bapanya risau tentang keselamatan. Tetapi sekarang Gowri sudah menjadi tunggak keluarganya. “Saya selalu keluar bersama kawan-kawan dan sepupu saya. Cuma semasa kecil, ibu bapa risau sekiranya saya keluar bersama rakan-rakan kerana bimbang tentang keselamatan, tetapi sekarang mereka membenarkan saya keluar dengan kawan-kawan dan sepupu kerana saya sudah dewasa,” jawab Christopher.

Begitulah luahan perasaan beberapa orang anak tunggal yang sempat diwawancara. Sama ada anak tunggal atau mempunyai adik-beradik, setiap insan yang lahir di Bumi mempunyai peranan terhadap ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara. Nilai-nilai murni harus diterapkan dalam diri setiap individu untuk menjadi insan berguna.

____________________

Anuradha Chelliah
berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, beliau berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.