Mahaletchumy: Jurulatih Yoga Dengan Keunikan Tersendiri


Mahaletchumy Subramaniam (33 tahun) berasal dari Kajang, Selangor. Beliau adalah graduan bidang perakaunan dan pernah bekerja di firma perakaunan. Mahaletchumy mendirikan rumahtangga bersama Durai Kumar Subramaniam (SK Durai) dan dikurniakan tiga orang cahaya mata, iaitu sepasang kembar (seorang lelaki dan seorang perempuan) daripada kehamilan pertama dan seorang anak perempuan daripada kehamilan kedua. Anuradha Chelliah mewawancara Mahaletchumy untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai jurulatih yoga ini.


 

Ceritakan lebih lanjut mengenai diri anda.

Selepas kelahiran anak kembar, saya memilih untuk menjadi suri rumah dan menjadi seorang jurulatih yoga beriktiraf khusus untuk pranatal dan posnatal. Saya seorang pengamal yoga sejak tahun 2012. Saya memperoleh pengiktirafan di bawah Master SK Durai (suami saya) dalam bidang Hatha Yoga, Acro Yoga dan Asthanga Yoga. Selepas itu saya meneruskan kursus pensijilan yoga dalam bidang pranatal dan postnatal di bawah Master Sumathi. Sekarang saya mengendalikan kelas khas bagi ibu-ibu yang ingin mengandung, sedang mengandung dan sudah melahirkan anak. Saya juga berdaftar dengan Malaysian Association of Yoga Instructors (MAYI), Sakthi School of Yoga (SSOY), dan Yoga Alliance International as a Certified Pre-Natal/Post-Natal Yoga Instructor serta 200 hours Certified Yoga Instructor. Saya juga memiliki Sijil Posnatal dan Confinement Doula. Saya turut mengendalikan kelas yoga untuk kanak-kanak.


 
Apakah tumpuan anda dalam yoga dan bagaimana anda mula berminat dalam yoga?

Saya memahami kehendak seorang wanita sepanjang kehamilan mereka dan dapati yoga dapat membantu. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri melahirkan anak kembar secara ceaser dan anak kedua secara vagina (VBAC). Sememangnya, yoga adalah seni yang unik untuk membantu wanita hamil.

Mengapakah anda memilih pengkhususan ini (pranatal, posnatal dan kesuburan) dalam yoga?

Sebagai seorang pengamal yoga untuk tempoh yang lama, saya percaya belas kasihan, sifat menolong dan kasih sayang serta sokongan sangat penting bagi mereka yang bercadang untuk mengandung, sedang mengandung atau sudah melahirkan anak. Masa-masa ini juga boleh menjadi satu detik yang sangat merunsingkan ibu-ibu. Mereka boleh mendapat tekanan dan mengalami depresi. Justeru, saya mengambil keputusan untuk memantapkan diri saya dalam bidang yoga bagi memberikan yang terbaik dari segi kesihatan mental, fizikal dan rohani kepada golongan ibu. Ini termasuk untuk anak-anak yang mereka lahirkan.


 

Anda telah bersama ramai ibu sebelum dan semasa mereka mengandung serta selepas mereka melahirkan anak. Apakah pengalaman atau kenangan manis yang anda tidak dapat lupakan?

Saya akan berasa teramat gembira apabila ibu-ibu tersebut menelefon dan memberitahu saya mereka telah selamat melahirkan anak. Saat itu merupakan saat yang sangat mengembirakan saya. Mereka juga akan memberitahu bahawa yoga telah banyak membantu mereka sepanjang tempoh kehamilan. Ada seorang ibu yang mengandung selepas lapan tahun mencuba. Ibu tersebut mengikuti program kesuburan bersama saya dan kini sudah mengandung. Ini juga merupakan satu kenangan manis bagi saya. Gambar bayi baru lahir yang dikirim oleh ibu bapa juga turut mengembirakan saya. Semua ini adalah perkara kecil yang amat bermakna. Ada kalanya, saya dijemput untuk memandikan anak-anak ini. Saya bersyukur kerana diberi tanggungjawab yang amat berat ini. Semua ini merupakan kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan.


 

Anda juga mengendalikan kelas untuk mereka yang berminat menjadi jurulatih yoga. Apakah perasaan anda dan cabaran yang anda hadapi?

Saya sangat gembira apabila saya berkongsi ilmu yang ada pada saya tentang kehamilan kepada mereka yang ingin belajar. Ini saat-saat yang sangat mengujakan. Saya perlu mengaku berasa kaku apabila berdepan dengan orang ramai dan kadang-kadang terasa sukar untuk berkata-kata. Inilah cabaran yang saya hadapi.

Bagaimanakah anda menguruskan masa dengan sebaik mungkin sebagai seorang jurulatih yoga, isteri dan juga ibu?

Pengurusan masa yang baik sangat penting. Saya harus berterima kasih kepada ahli keluarga yang sangat memahami kehendak saya. Sebagai seorang ibu dan juga suri rumah, saya perlu buat pelbagai tugas dalam satu masa. Saya perlu menguruskan anak-anak dan juga kelas yoga yang saya kendalikan. Sokongan suami yang tidak terhingga sangat membantu. Beliau sentiasa memberikan dorongan dan sokongan untuk saya terus maju. Itulah sebab utama saya dapat menjadi seorang jurulatih yoga khusus dalam bidang kehamilan (Pregnancy Yoga) berbanding sekadar menjadi seorang pengamal yoga. Semasa saya mengendalikan kelas, suami dan ibu bapa saya akan bergilir-gilir menjaga anak-anak. Kadang-kadang, saya menghabiskan enam hingga tujuh jam di studio bagi mengendalikan kelas dan juga membuat persiapan yang sepatutnya. Bagi seorang ibu, berjauhan dengan anak-anak yang masih kecil sangat sukar. Namun, saya berasa tenang kerana anak-anak dijaga oleh ahli keluarga yang memahami tanggungjawab saya. Ini memotivasi saya untuk mengajar dan belajar lebih dalam bidang yang saya minat ini.


 

Apakah rancangan dan impian masa depan anda dalam bidang yoga terutamanya pranatal, kesuburan dan posnatal?

Ramai antara kita yang masih kurang kesedaran tentang kesuburan, kehamilan dan kesihatan diri secara amnya. Kehamilan patut dirancang oleh pasangan suami isteri yang ingin memiliki zuriat. Ramai pasangan kini mengandung tanpa perancangan. Seseorang individu itu patut mengetahui kekuatan diri secara fizikal dan mental sebelum bercadang untuk hamil kerana ia penting untuk anak-anak yang bakal lahir. Saya bercadang untuk mengajar dan mengadakan bengkel terutamanya berkaitan kesuburan, prenatal dan postnatal bukan sahaja untuk kaum wanita, malah untuk para suami juga. Kaum bapa juga perlu mempunyai kesedaran serta pengetahuan yang sama seperti kaum ibu. Ramai yang masih mempunyai tanggapan yang salah bahawa hanya wanita perlu tahu tentang kehamilan. Sebenarnya, masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki juga perlu diberi perhatian serius dan diatasi dengan kaedah-kaedah yang sebaik mungkin. Saya amat bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana memberikan kebolehan dan minat ini kepada saya, serta dapat membantu orang ramai dengan ilmu ini.

____________________

Anuradha Chelliah
berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, beliau berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.