Dalam Lilitan Gulungan Seluloid (Bahagian 2)

(Baca Bahagian Satu) Dengan susah payah Hamid menurunkan peti logam mengandungi 7 gelendong filem yang beratnya lebih kurang 25 kg itu ke lantai platform. Tak boleh jadi ini, fikirnya lalu dia pergi mencari pemandu teksi. Nasib baik ada dua buah teksi sedang menunggu penumpang di bawah pokok tidak jauh daripada stesen.

“Apek, nanti saya mahu pergi Bentong. Mari tolong saya angkat barang. boleh?”

Apek, pemandu teksi yang leka membaca akhbar Nan Yang Siang Pau sambil menghisap rokok di bawah pokok, mendongak memandang Hamid dari atas hingga bawah.

“Aiyo! Apa barang ini? Manyak berat!”

“Filem wayang gambar.”

Mereka memasukkan peti berisi filem itu ke dalam bonet. Apek kelihatan seperti kesal menolong Hamid. Di dalam hati, dia mencongak untuk mengecas  lebih nanti.

Setelah duduk dalam kereta, baru Hamid berasa sungguh lega. Dia melihat jam tangannya. Ia menunjukkan pukul 12.45 tengah hari. Jantungnya berdebar kencang.

Hamid duduk bersebelahan dengan apek. Enjin teksi Datsun dimulakan dan kereta mula bergerak perlahan. Pusingan kipas di dalam teksi tidak menyejukkan, malah memanaskan lagi badan Hamid.

“Apek, boleh sampai Bentong sebelum pukul  dua?”

“Saya ingat bolehlah.”

“Jangan ingat-ingat, apek. Saya mesti sampai sana dalam pukul satu setengah. Banyak kerja mahu buat. Ini wayang, nanti pukul dua mahu kasi main.”

“Pukui dua mahu kasi main,  baru lu mari angkatkah?”

“Apek pun tahu, manager saya tak tahu.”

Hamid mengeluarkan sapu tangan dari kocek seluar dan mengelap peluh yang meleleh dari dahi dan menuruni wajahnya.

“Lu, baru kerijakah?”

“Dulu saya kerja di Cathay Raub, apek. Di Cathay Bentong sudah lima tahun.”

Kegelisahan Hamid bertambah lagi kerana apek memandu dengan snungguh perlahan.

“Awak ada berapa anak?”

Apek ini mahu memandu kereta atau hendak adakan temuduga dengannya? Hamid berasa tidak senang dan tidak tenang. Perut pula lapar. Kalau dia singgah makan di kedai, alamatnya kecohlah Cathay Bentong hari ini.

“Saya belum kahwin lagi, apek. Siang dan malam duduk dalam panggung wayang. Mana ada masa mahu cari Ah Moi.”

Teksi apek baru meninggalkan hospital Mentakab dan Kampung Batu Kapur.

Haiya, kerija pun mahu kerija, kahwin pun mahu kahwin, maa! Lu orang Melayu banyak cepat kahwin. Saya manyak heran tengok lu ini macam.”

Hamid berasa hendak melekatkan mulut apek dengan gam pelekat filem, Sudahlah teksi  dibawa perlahan, mulutnya banyak bercakap pula. Hendak marah, takut dikatakan tidak menghormati orang tua pula.

“Itu dia orang punya pasal, saya lain apek,” jawab Hamid sambil lewa.

“Ini wayang manyak baguikah, mengapa lori tak hantar, lu sendiri mahu mari angkat?”

“Ini wayang ‘First Blood’  banyak bagus. Tiga tahun lepas Lido sudah main. Sekarang manager Cathay mahu sewa. Bulan depan itu part two pun mahu tayang di Lido. Mahu cepat tayang, tak boleh tunggu sampai lori ada. Kadang-kadang mereka hantar guna bas. Takda bas dari Lipis ke Bentong. Sebab itulah saya mari sini, apek.”

“Lu punya gaji manyak, kah?”

“Mana ada banyak, apek. Baru satu ratus lima puluh sahaja. Sekarang cukuplah. Saya sewa belakang Cathay saja. Saya bawa bekal, emak masak.”

“Oooh!’

Banyak lagi soalan ditanya oleh apek. Ada yang dijawab, ada yang tidak. Hamid cuma melihat-lihat waktu pada jam tangan lusuhnya.

Kelihatan Mr. Ng bercekak pinggang dengan bengis menunggu Hamid di ruang legar Catahay. Beratus penonton di dalam pawagam memekik-mekik membaling botol kaca minuman ke arah skrin. Nyonya penjual tiket menyumpah-seranah dari dalam kaunter tiket.  Gelendong-gelendong filem jatuh menggelungsur menuruni dari tangga atas bilik projeksyen hingga seluruh badan hingga kepala Hamid dililit dengan  gulungan filem. Hamid tidak dapat melihat kerana wajahnya  dibungkusi oleh seluloid.

Hamid terkejut. Baru dia sedar dia terlelap sebentar.

 Sudah 1.45 petang!

 Teksi apek baru melintasi bandar Karak.

“Laju sikit apek!”

“Ini kereta sudah lamalah. Tak boleh laju lagi. Anak saya cakap tahun depan dia  mahu beli Proton Saga kasi saya.”

Hamid berasa hendak menolak keluar apek itu dari teksi dan mengambil alih tempat pemandu. Tetapi apakan daya, dia tidak tahu memandu.

Ketika teksi tiba di perkarangan Cathay Bentong, jam sudah pun menunjukkan 2.30 petang. Tergesa-gesa Hamid turun dari teksi dan menyegerakan apek membuka bonet.

Hanya kelihatan dua orang di ruang legar pawagam melihat gambar-gambar yang terlekat dalam cermin. Kaunter tiket tidak dibuka. Pasti penonton semua sedang menunggu dan berteriak di dalam. Kemudian dia lihat uncle Linggam, pekerja sambilan Cathay berjalan terhincut-hincut menuju ke arah mereka.

“Nasib baik hari ini tak ada elektrik. Pukul sebelas tadi satu bandar Bentong tak ada elektrik. Tadi ada orang L.L.N (Lembaga Letrik Negara) jumpa Mr. Ng. Dia cakap, nanti malam baru ada.”

Hamid dan apek saling berpandangan.

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan,  Eksentrika, mahendran28.blogspot, Cukaria serta di majalah Thendral dan Vanampadi.]

Ulasan