Malayali di Estet — Bahagian 5


P. K. Anandan berjaya mengatur pertemuan dengan dua individu yang menerajui Malaya Malayalee Association di Trolak, Perak. Seperti biasa, Vijay Kumar menyamar sebagai wartawan sambilan akhbar The Straits Times dari Singapura.

“Dewan ini disewa untuk dijadikan pejabat dan tempat aktiviti persatuan. Mesyuarat penubuhan persatuan diadakan pada 24 September 1922. Sekitar lima puluh orang Malayali dari Perak dan pelbagai tempat seluruh Malaya menghadirinya. E. V. Xavier dipilih sebagai presiden, J. Z. Cherran sebagai naib presiden, A. B. Corray menjadi setiausaha, manakala saya pula diberikan tanggungjawab bendahari,” P. E. Ezhuthassan yang kini menjadi setiausaha persatuan itu menghuraikan.

Vijay Kumar dan Anandan berada pada bulan Mei 1935 di mana Malaya Malayalee Association dipimpin oleh A. R. Gomez. Ezhuthassan dan Gomez bersetuju diwawancara dalam usaha membersihkan nama persatuan yang cuba dirosakkan oleh beberapa individu yang dikatakan mencemburui kejayaan persatuan itu.

“Persatuan kami bukanlah pertubuhan pertama bagi komuniti Malayali di Malaya,” Gomez mengakui.

Vijay Kumar menyedari hakikat itu. Kerala Mahajana Sangam diasaskan pada tahun 1917 di Singapura dan dipercayai pertubuhan komuniti Malayali yang pertama di luar India. Setahun kemudian, namanya ditukar kepada Malayalee Association dan didaftar secara rasmi.

“Orang Malayali dari Johor dan beberapa negeri lain menghadiri pertemuan mingguan di Singapura. Kemudian, pada November 1923, Mesyuarat Agung Tahunan pertama bagi Malaya Malayalee Association diadakan di Sekolah Tamil Tanjung Malim,” Gomez menghuraikan sebelum mempelawa tetamu menikmati teh yang dihidang oleh Ezhuthassan.

Kunjungan Vijay Kumar dan Anandan ke Trolak bukan untuk menyaksikan pergaduhan atau pembunuhan melibatkan buruh ladang berketurunan Malayali. Sebaliknya, untuk mendengar sendiri mengenai beberapa persatuan yang dikatakan hanya mewakili komuniti Malayali yang berpendidikan dan memiliki status sosial. Sambil minum teh, soalan itu berjaya dikemukakan.

“Memang ada pelbagai tuduhan daripada pelbagai pihak. Misalnya, seorang individu bernama Louis Thivy dari Kuala Kangsar pernah menulis ...,” kata Ezhuthassan seraya membuka fail yang menempatkan keratan-keratan akhbar.


Kisah penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

____________________

Uthaya Sankar SB
lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, serta kini tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Uthaya mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya di seluruh negara sejak tahun 1999.