Manori: Mengubah Pemikiran Masyarakat


S. Perevenia boleh dikatakan masih baharu dalam dunia sastera tetapi beliau antara penulis yang perlu diberi perhatian. Saya mengenali sosok kepengarangan beliau melalui dua cerpen, “Kasih di Perantaraan” dan “Rintihan Terpendam” yang termuat dalam antologi Landasan Hidup (2020). Dalam antologi Peluru Aksara (2020) pula, beliau tampil dengan cerpen “Boneka”, “Anna” dan “Raksasa”. Selain itu, karya dwibahasanya boleh dibaca di portal Eksentrika.

Berkemungkinan besar disebabkan latar belakang pendidikan dalam bidang kaunseling dan psikologi, beliau sering memaparkan isu gelap seperti penderaan kanak-kanak secara fizikal mahupun seksual, trauma, kemurungan dan sebagainya. Paling baharu, beliau tampil dengan sebuah cerpen yang semestinya mengubah persepsi dan pandangan sosial terhadap isu yang dianggap tabu, memalukan dan menyentuh kedudukan seorang wanita daripada kaca mata masyarakat.

Cerpen Manori (Eksentrika, Disember 2020) sememangnya menyuntik rasa kagum terhadap keberanian penulis ini. Apatah tidaknya, saya sendiri tidak pernah berselisih dengan cerpen yang mengangkat kisah sebegini. Atau pembacaan saya belum cukup meluas lagi.

Pada awalnya, kita disajikan dengan kisah Manori, seorang guru yang dilihat berperwatakan cemerlang dan disenangi oleh anak-anak muridnya. Kita akan membuat kesimpulan awal bahawa Manori sedang bersedia untuk temujanji bersama kekasihnya.

Semakin plot berlalu, kita akan sedar ia bukan sebuah cerpen biasa atau klise tetapi sedang mengangkat sebuah  kisah yang sukar dihadam. Tetapi ia mungkin juga kisah benar yang sedang berlaku di sekeliling kita tanpa disedari.


Manori berkerjaya dua. Seorang guru dan pada masa yang sama, seorang kutu embun yang menawarkan khidmat seks kepada para lelaki yang mendambakan kasih sayang. Kontra. Seakan-akan tidak logik apabila memikirkan seorang guru yang tampak sempurna, dilihat menjadikan kerjaya perkhidmatan seks sebagai sebahagian daripada kehidupannya. Tetapi yang pasti, psikologi Manori dilihat terjejas sejak kecil lagi. Kehidupan yang berliku mungkin memberi impak kepada personaliti dan pemikirannya kini.

Tetapi adakah kerjaya perkhidmatan seks merupakan kerjaya yang jijik dan kotor? Perlu diingat, antara pekerjaan paling tertua di atas muka bumi ini ialah perkhidmatan seks/pelacuran. Malah beberapa negara mengiktiraf kerjaya ini - Australia, New Zealand, Canada, Austria, Bangladesh, Brazil dan sebagainya.

Penulis dilihat sengaja (atau tidak disengajakan) menggunakan watak seorang wanita India. Hal ini dapat dibuktikan melalui nama dan kostum sarinya. Ia tamparan hebat kepada para sentimentalis budaya dan juga ultra konservatif. Dalam Hindu-India, budaya dan maruah sangat dititikberatkan sehingga wanita kadang-kala dilihat terkongkong dan perlu mengikut acuan masyarakat parokial. Tetapi dalam cerpen ini, penulis mengukir pembaharuan. Beliau menyerlahkan kebebasan minda seorang wanita India malah hidup dalam acuannya sendiri.

Sering kali kita mendengar kemanusiaan itu adalah tentang melawan kemiskinan,  perjuangan menegakkan keadilan, membantu mangsa pergolakan politik dan banyak lagi. Tetapi, sifat kemanusiaan juga tercetus apabila kita bersimpati dan mencurahkan kasih sayang kita kepada orang lain. Dalam masyarakat toksik yang kita hadapi, kemanusiaan seakan-akan hanya bernyawa separa akibat manusia yang mementingkan diri. Tetapi watak Manori dilihat memaparkan sisi kemanusiaan dalam dirinya. Dia memberikan kasih sayang kepada lelaki yang memerlukannya.

Dalam dunia di mana pemikiran kebanyakan manusia masih sempit, terkatup dan menganggap perkhidmatan seks sebagai sebuah perbuatan memalukan dan layak dimaki, S. Perevenia berjaya menafikan pemikiran kolot tersebut melalui cerpennya ini. Pembaca pasti merasai kepedasannya.

____________________

Jaymani Sevanathan
merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Karya beliau disiarkan di hampir semua majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Selangorkini, Jalan Telawi, The Malaysian Insight, Free Malaysia Today, Majalah Sains, Cukaria, Tukang Puisi dan sebagainya. Selain itu, karya beliau turut termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020) dan Peluru Aksara (2020).