Manusia dan Haiwan


Dikatakan dan dibuktikan haiwan lebih awal wujud di muka Bumi sebelum adanya manusia. Malah, Charles Darwin dalam kajiannya menyatakan asal-usul manusia itu sendiri adalah daripada beruk. Betul atau tidak, percaya dan tidak percaya adalah hak individu. Saya sendiri masih dalam kekeliruan. Tetapi saya tidak kisah. Yang penting kita sedang dan akan hidup di muka Bumi bersama-sama pelbagai jenis haiwan.

Walaupun di muka Bumi ada berjuta spesis haiwan, manusia hanya berkawan dan makan beberapa haiwan yang terpilih sahaja, baik yang di darat mahupun yang di dalam air. Manusia hanya memelihara haiwan yang jinak dan comel sahaja.


Sejak kecil lagi saya sudah biasa bergaul dengan anjing dan kucing. Baik yang dipelihara mahupun yang di jalanan. Setahu saya di rumah kami sudah dipelihara anjing dan kucing sejak saya belum ke sekolah lagi. Kebiasaannya anjing di rumah kami diberi nama Puppy, Blackie dan Brownie mengikut rupa dan bentuk mereka. Manakala semua kucing diberi nama Pussy sahaja. Mereka ditukar ganti setelah mati ataupun hilang.

Saya tidak ingat lagi berapa banyak kucing dan anjing sudah dipelihara. Kucing lebih banyak dipelihara berbanding dengan anjing. Yang saya masih ingat, anjing bernama Puppy berwarna puith pemberian kawan bapa dari Cheroh, Raub pada tahun 1977 adalah anjing terakhir yang kami pelihara. Puppy kami pelihara sejak ia kecil lagi. Anjing yang dipelihara hanya akan berada di luar rumah di dalam rumah khasnya. Kucing pula bebas bergerak.


Kucing yang dipelihara semasa saya masih di sekolah rendah suka sangat naik atas katil dan masuk ke dalam selimut pada waktu subuh. Bunyi seperti dengkuran di dalam badannya sungguh enak didengar, begitu juga dengan haba dan bulu badannya menghangatkan pada pagi yang sungguh sejuk.

Kebanyakan kucing yang kami pelihara selepas tahun 1980 tidak menetap di dalam rumah.  Mereka menghabiskan masa di luar rumah sahaja. Cuma pada waktu makan mereka akan masuk ke dalam rumah. Kucing-kucing tersebut juga akan tidak lama berada di kawasan rumah kami. Mereka akan hilang tanpa disedari. Jadi perasaan sedih tidak wujud.

Lain pula dengan anjing. Mereka akan mati akibat menghidap penyakit. Bapa akan tanam bangkai mereka tidak jauh dari kawasan rumah.


Setelah saya berhijah ke Temerloh pada tahun 1986, semua telah berubah. Hubungan saya dengan anjing dan kucing seperti sudah berkurangan. Setakat melihat di jalanan sahaja. Itu pun jarang dilihat anjing jalanan di Temerloh ketika itu. Namun filem-filem berkaitan dengan anjing sering ditonton dan rasa hormat saya pada mereka meluap-luap setelah menonton filem Hachiko. Kesetiaan seekor anjing terhadap tuannya adalah sungguh luar biasa.

Kini di tempat kerja saya berpeluang semula untuk bermesra dengan kucing dan anjing jalanan. (Rujuk foto) Jika berkesempatan saya akan beri makanan kepada mereka. Sifat berterima kasih boleh dilihat pada wajah mereka, lebih-lebih lagi anjing.

Semoga haiwan-haiwan di muka Bumi hidup tanpa penderitaan.

____________________

M. Mahendran
mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil untuk akhbar dan majalah pada tahun 1987. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Cerpen-cerpen Mahendran turut termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung yang memuatkan karya-karya terpilih Mahendran.