Penulis dan Pembaca


Seorang penulis boleh berbangga dengan hasil tulisannya tetapi adakah setiap tulisannya dibaca oleh masyarakat yang celik huruf? Bolehkah seorang penulis menyara hidupnya tanpa memperolehi pendapatan daripada sumber lain? Di negara maju dan di negara-negara yang sedang membangun lain, mungkin kenyataan ini dicapai. Bagaimana keadaan ini di negara kita?

Saya sudah menulis sejak tahun 1983 di akhbar dan majalah Tamil dan kemudian di media Bahasa Malaysia. Oleh kerana saya tidak tahu dan was-was tentang selok-belok membuat wang dengan menulis, saya tidak menulis secara serius. Lagipun saya ada pekerjaan tetap yang tidak memperuntukkan masa untuk menulis secara konsisten.  Saya hanya menulis jika timbul inspirasi dan jika ada mood sahaja. Menulis hanya sebagai mengisi masa lapang.

Pada pandangan saya, masyarakat di Malaysia rata-ratanya kurang membaca buku. Sejak adanya telefon pintar, kadar pembaca buku sudah merudum. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat bagi pembaca dan penulis. Industri buku pun semakin malap. Kita perlu mencari jalan penyelesaian yang baik untuk memulihkan situasi ini.

Saya tidak menyalahkan sesiapa di sini. Hanya cuba memberi pandangan dan cadangan untuk melakukan sesuatu merubah keadaan untuk mewujudkan rakyat di negara ini menjadi pembaca tegar dan menjamin kehidupan penulis supaya tidak terhimpit dengan masalah kewangan.

Dalam sebuah keluarga, sudah pasti makan, tidur, pakaian dan tempat tinggal adalah penting. Sebagaimana perkara di atas itu penting bagi manusia, pembacaan juga adalah sama penting.

Untuk melakukan perubahan ini, perlu dimulakan sejak  bayi di dalam rahim. Ibu perlu membaca pelbagai jenis bacaan, baik akhbar, majalah, novel, cerpen dan bacaan Ilmiah. Setelah bayi itu lahir, si ibu dan bapa perlu teruskan pembacaan di hadapan bayi yang sedang membesar. Ini dengan sendirinya akan meninggalkan kesan yang baik pada diri anak itu.

Semakin bayi itu membesar, dia akan dengan sendirinya mencari bahan bacaan yang digemari seperti mencari bahan mainan. Ibu bapa perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli bahan bacaan untuk seisi keluarga pada setiap bulan. Bagi mereka yang tidak mampu langsung, boleh berkunjung ke perpustakaan yang terdapat di kawasan berdekatan.  Ini adalah pengalaman keluarga saya sendiri.

Jika setiap inidividu melakukan seperti yang saya nyatakan, sudah pasti jumlah pembaca buku di negara ini meningkat kepada suatu peringkat yang membanggakan dan para penulis seperti saya bolehlah ‘hidup’ dengan hasil tulisan.

____________________

M. Mahendran
mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil untuk akhbar dan majalah pada tahun 1987. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Cerpen-cerpen Mahendran turut termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung yang memuatkan karya-karya terpilih Mahendran.