Renuka Usahawan Ukiran Kuku


Renuka Subramaniam seorang balu dan ibu tunggal yang menceburi bidang seni ukiran kuku (nail art) kerana minat mendalam. Anuradha Chelliah mewawancara beliau untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Ceritakan serba sedikit mengenai diri anda.

Nama saya Renugah a/p Subramaniam dan saya berumur 27 tahun. Ayah saya seorang penoreh getah dan penternak lembu manakala ibu saya seorang suri rumah. Saya ada seorang abang dan adik perempuan yang masih belajar. Saya seorang ibu tunggal dan bekerja sebagai jurutera IT di sebuah syarikat korporat di Cyberjaya. Saya merupakan graduan pentadbiran awam dari Univeristi Utara Malaysia (UUM).


Mengapakah anda meminati seni ukiran kuku (nail art) dan apakah perkhidmatan yang anda tawarkan?

Saya mula berminat dalam bidang ini apabila saya membuatnya untuk diri saya sendiri. Selepas itu, saya terfikir untuk mempelajari seni ini kerana minat yang mendalam. Pada Februari 2016, saya mengambil kursus pertama untuk mempelajari seni ini. Selepas itu, saya mula berjinak-jinak dalam bidang ini dengan membuat ukiran kuku untuk ahli keluarga. Dengan adanya sokongan dan dorongan ahli keluarga saya mula memberi perkhidmatan secara freelance dan dari rumah ke rumah. Bidang ini sentiasa berkembang mengikut peredaran masa dan seseorang itu harus peka tentang perkembangan fesyen semasa untuk menerajui seni ini. Antara perkhidmatan yang saya tawarkan adalah Kuku (Classic Manicure & Classic Pedicure, Gel Manicure & Gel Pedicure, SPA Manicure & SPA Pedicure, Nail extension, dan Nail art), Muka (Eyelash Extension), dan Badan (Waxing).

Adakah anda mengikuti kursus-kursus yang berkaitan sebelum menjadi seorang artis seni ukiran kuku? Apakah kursus-kursus yang ditawarkan dan jangka masa kursus tersebut?

Ya. Saya tamat kursus asas, kursus ekspres gel, kursus profesional seni ukir kuku dan kursus ekspres bulu mata. Sebenarnya terdapat tiga peringkat dalam bidang ini. Tiga peringkat tersebut adalah asas, pertengahan dan profesional. Seseorang itu hanya boleh memulakan perniagaan setelah tamat kursus prefesional. Kursus-kursus ini boleh dibuat sepenuh masa atau secara sambilan bergantung kepada kesesuaian seseorang individu.

Bagaimanakah penglibatan kaum India dalam bidang ini?

Penglibatan kaum India sangat kurang dalam bidang ini sewaktu saya mula mengikuti kursus yang pertama iaitu pada tahun 2016. Kini, ramai kaum India terutamanya golongan wanita sudah menunjukkan minat untuk menceburi bidang ini secara profesional kerana mereka ingin berdikari dan melibatkan diri dalam keusahawanan.


Apakah reaksi pelanggan anda terhadap corak-corak yang anda lukis?

Biasanya, saya akan meminta para pelanggan untuk memilih corak yang mereka minati. Kadang-kadang, saya juga akan memberi cadangan kepada mereka. Saya mempunyai 120 jenis warna pengilat kuku dan saya akan meminta para pelanggan untuk sesuaikan warna-warna tersebut mengikut citarasa mereka. Saya juga mempunyai akaun Instagram @rknailhouse yang memaparkan maklum balas daripada para pelanggan. Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang saya tawarkan. Mereka juga meminati corak-corak yang saya lukis.

Perlukah seseorang mempunyai asas dalam seni lukisan untuk berkecimpung dalam bidang ini?

Tidak perlu kerana semasa mengikuti kursus-kursus yang saya sebut tadi, seseorang itu akan belajar dari asas hingga menjadi seorang pereka profesional ukiran kuku.


Bagaimana anda ilhamkan nama RK Nail House?

RK Nail House sebelum ini dikenali sebagai Ren_Uniqueen. Saya menukar nama perniagaan saya pada tahun 2020. Saya memilih RK berdasarkan huruf pertama nama saya dan nama mendiang suami saya. Nail adalah perkhidmatan yang saya sediakan dan House kerana saya beroperasi dari rumah.

Apakah rancangan dan impian masa depan anda dalam bidang ini?

Saya merancang untuk mengikuti lebih banyak kursus berkaitan seni ukiran kuku. Saya juga ingin membesarkan tempat perniagaan (sekarang kurang ruang) supaya dapat menjalankan kelas bagi mereka yang berminat. Saya memerlukan ruang yang besar kerana saya ingin memantapkan diri saya dalam bidang ini dengan mengikuti kursus-kursus yang berkaitan. Dengan adanya ilmu yang sesuai, saya pasti dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan. Baru-baru ini saya tamat kursus eyelash extension dan saya akan terus belajar serta mengikuti kursus-kursus baharu untuk lebih cemerlang dalam bidang ini.

____________________

Anuradha Chelliah
berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, beliau berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.