Perjalanan hidup seseorang sering kali digambarkan melalui pencapaian akademik dan kerjaya. Namun, ada juga perjalanan lain yang lebih sunyi, lebih mencabar, dan lebih jujur iaitu perjalanan melawan diri sendiri.
Kisah Dr. Isai Amutan Krishnan, seorang pensyarah kanan yang berakar dari Kuala Ketil, Kedah, membuka ruang renungan tentang makna sebenar ketabahan dan keberanian.
Secara lahiriah, latar belakang beliau tampak teratur dan mengagumkan. Bermula dengan pendidikan awal di kampung halaman, beliau melangkah ke menara gading dan meraih pelbagai ijazah sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Kini, Isai Amutan mencurahkan ilmu kepada pelajar pascasiswazah di Unitar, Kelana Jaya. Namun, di sebalik pencapaian akademik itu, tersembunyi satu dimensi lain yang pada hemat saya jauh lebih menarik iaitu perjalanan mendaki gunung yang sarat dengan ujian fizikal dan psikologi.
Saya berpeluang mendengar sendiri kisah beliau pada 7 April 2026 sewaktu kami bertemu untuk minum petang di Kelana Jaya, Selangor. Terus terang, pengalaman yang dikongsikan olehnya bukan sekadar kisah pendakian biasa, sebaliknya sebuah kisah transformasi diri.
Segalanya bermula pada tahun 2024 apabila beliau diperkenalkan kepada cabaran G7 oleh seorang rakan karib, Keewin. Pada mulanya, konsep ini asing baginya. Namun, seperti kebanyakan manusia yang terdorong oleh rasa ingin tahu, Isai Amutan mengambil keputusan untuk mencuba.
Tanpa persediaan rapi—satu tindakan yang pada pandangan saya agak berani, malah mungkin sedikit nekad—beliau memilih untuk mendaki Gunung Yong Belar (2,181 meter) sebagai permulaan.
Di sinilah realiti sebenar bermula. Pendakian tersebut bukan sekadar mencabar, malah hampir melumpuhkan semangatnya. Kekejangan kaki, keletihan melampau, dan kehabisan bekalan air merupakan kombinasi yang cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja mengaku kalah.
Dalam keadaan sedemikian, tubuh bukan lagi sekutu, sebaliknya menjadi beban. Lebih getir, fikiran mula dipenuhi keraguan dan ketakutan. Demikian antara inti perkongsian beliau mengenai pengalamannya dalam perbuaan kami.
Saya membayangkan detik yang diceritakan itu sebagai titik paling kritikal iaitu saat di mana seseorang terpaksa memilih sama ada untuk berpatah balik atau meneruskan langkah dalam ketidakpastian.
Apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana Isai Amutan berjaya mengurus konflik dalaman tersebut. Daripada terus dibelenggu cabaran besar di depan mata, beliau menukar fokus kepada sesuatu yang lebih kecil tetapi signifikan iaitu mengambil satu langkah pada satu masa.
Pendekatan itu mungkin nampak sederhana tetapi sebenarnya mencerminkan disiplin mental yang tinggi. Dalam banyak keadaan, kegagalan bukan berpunca daripada kekurangan kekuatan fizikal, sebaliknya daripada kegagalan mengawal fikiran.
Pendakian yang sepatutnya singkat akhirnya mengambil masa 24 jam. Bayangkan tekanan yang dihadapi sepanjang tempoh itu. Tidak hairanlah beliau mengaku telah merakam satu video dan berjanji untuk tidak lagi mencuba cabaran G7.
Pada ketika itu, keputusan tersebut kelihatan muktamad. Namun, seperti yang sering berlaku dalam kehidupan, masa mengubah perspektif. Hal itu diakui sendiri dalam penceritaannya kepada saya pada petang itu di Kelana Jaya.
Selepas tempoh rehat selama lapan bulan, beliau kembali semula. Pada kali ini dengan kesedaran dan persediaan yang berbeza. Pada pandangan saya, inilah detik sebenar kelahiran seorang pendaki. Bukan ketika Isai Amutan menjejakkan kaki ke gunung buat kali pertama tetapi apabila beliau memilih untuk kembali selepas kegagalan.
Pendakian seterusnya berlaku dengan momentum yang mengagumkan. Gunung Yong Yap (2,168 meter) ditawan, diikuti Gunung Tahan (2,187 meter) hanya tiga hari kemudian. Rentak ini diteruskan dengan kejayaan menawan Gunung Chamah (2,171 meter) dan Gunung Ulu Sepat (2,161 meter), sebelum menamatkan cabaran di puncak kembar Korbu (2,183 meter) dan Gayong (2,173 meter).
Kesemua ini dicapai dalam tempoh hanya empat bulan! Tentulah ini suatu pencapaian yang pada hemat saya bukan sahaja luar biasa dari segi fizikal tetapi juga mencerminkan keazaman yang luar biasa.
Kemuncaknya pada 31 Ogos 2025 (sambutan Hari Kebangsaan), apabila Isai Amutan melengkapkan cabaran G7. Tarikh tersebut seolah-olah memberikan makna simbolik kepadanya iaitu kebebasan daripada keraguan diri dan kemenangan terhadap batasan peribadi.
Namun, apa yang lebih menarik bagi saya bukanlah pencapaian fizikal semata-mata tetapi nilai-nilai yang diperoleh olehnya sepanjang perjalanan. Persahabatan dengan rakan pendaki seperti Keewin dan Vishnu Marrapan, pelajaran tentang ilmu mendengar isyarat tubuh, serta kesedaran tentang pentingnya mengawal pernafasan dan emosi. Kisah yang dikongsi oleh Isai Amutan menunjukkan bahawa pendakian gunung adalah sebuah proses pembelajaran yang holistik.
Lebih menarik ialah hubungan beliau dengan alam. Sikap menghormati hutan, berdoa sebelum memulakan pendakian, dan memahami bahawa manusia hanyalah “tetamu” di alam semula jadi mencerminkan satu tahap kesedaran yang jarang kita lihat dalam kehidupan moden yang serba tergesa-gesa.
Saya juga tertarik dengan aspek kesunyian yang disebutkan oleh Isai Amutan. Dalam dunia yang sentiasa bising dengan gangguan digital dan sosial, kemampuan untuk berdepan dengan diri sendiri dalam kesunyian adalah sesuatu yang sangat berharga. Ia bukan sahaja menguji ketahanan mental tetapi juga membuka ruang untuk sesi refleksi yang lebih mendalam.
Isai Amutan turut membawa saya kembali kepada
asal-usulnya. Kisah seorang kanak-kanak yang berjalan di laluan kebun getah dan
kelapa sawit. Dari situ, beliau menjejakkan kaki ke puncak-puncak tertinggi di
Semenanjung Malaysia. Transformasi ini bukan sekadar perubahan lokasi tetapi
perubahan identiti dan jati diri.
Sebagai pemerhati (pendengar), saya melihat perjalanan beliau sebagai satu metafora kehidupan. Kita semua mempunyai “gunung” masing-masing iaitu cabaran yang nampak mustahil pada awalnya. Namun, seperti yang dibuktikan oleh Isai Amutan, kunci utama bukanlah kekuatan luar biasa tetapi kesediaan untuk mengambil langkah pertama, bangkit selepas jatuh, dan terus melangkah walaupun perlahan.
Secara peribadi, saya mengagumi ketekunan dan kejujuran beliau dalam menghadapi kelemahan diri. Kisah yang dikongsi sambil kami minum petang di sebuah restoran mamak bukan sahaja menginspirasikan, malah berupaya mengingatkan kita bahawa pertumbuhan (growth) sebenar berlaku apabila kita berani keluar dari zon selesa.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera
Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK
Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum
mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau
terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya
boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]



