Konsep Sastera Kebangsaan yang diperkenalkan
pada tahun 1971 bukan sekadar memberi penekanan kepada persoalan bahasa tetapi juga
soal jiwa dan wajah sebuah Bangsa Malaysia yang sedang mencari
makna diri.
Sebagaimana dihurai secara
terperinci dalam buku Kavya Sastera (2021), Sastera Kebangsaan ditakrifkan sebagai karya yang ditulis dalam
Bahasa Malaysia, berlatarkan kehidupan
masyarakat Malaysia, serta berfungsi membina identiti kebangsaan dan perpaduan
dalam kalangan masyarakat majmuk.
Dalam konteks ini, kehadiran
Sasterawan Kavyan—penulis kaum India yang berkarya dalam Bahasa Malaysia—bukan
sahaja relevan, malah amat diperlukan bagi memastikan sastera yang lahir
benar-benar mencerminkan realiti pelbagai kaum, budaya, dan agama di negara ini.
Bayangkan sebuah cerpen yang
membuka tirai dengan suasana awal pagi di sebuah kuil kecil di Kuala Selangor.
Bau kemenyan naik perlahan, loceng dibunyikan, dan seorang wanita keturunan Tamil
berdoa dalam hati sambil memikirkan anaknya yang sedang menghadapi peperiksaan.
Dalam cerpen lain, seorang
pemuda keturunan Punjabi berbincang tentang identiti komuniti
minoriti seperti dirinya di sebuah warung tepi jalan di Johor Bahru sambil
menikmati teh tarik bersama rakan Melayu dan Cina.
Atau seorang gadis keturunan Malayali
yang bekerja di Pulau Pinang, pulang ke kampung di Taiping, Perak untuk
sambutan Onam, lalu berdepan konflik antara tradisi dan pemodenan.
Unsur-unsur seperti contoh di
atas bukan sekadar hiasan dalam cerita, sebaliknya adalah denyut nadi kehidupan
sebenar masyarakat India di Malaysia yang terdiri daripada keturunan Tamil
(majoriti), Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali, Chetti Melaka, Chindian, dan beberapa
subetnik lain.
Sesungguhnya, budaya kaum
India sangat kaya dan tidak akan kehabisan stok untuk diteroka lalu disajikan dalam
karya sastera kebangsaan. Penulis boleh memasukkan elemen yang dikenali umum seperti
perayaan Deepavali, Thaipusam, Ponggal, Vishu, dan Vaisakhi dengan
menggambarkan suasana, emosi, serta makna simbolik di sebalik setiap perayaan
itu.
Misalnya, babak seorang ibu
menyalakan lampu minyak pada pagi Deepavali, Ugadi, atau Onam sambil mengenang
pengorbanan generasi terdahulu boleh memberikan kesan emosi yang mendalam
kepada pembaca pelbagai kaum.
Begitu juga dengan tradisi
makanan seperti tose, appam, muruku, atau laddu yang bukan sekadar
makanan tetapi membawa makna nostalgia, kasih sayang, dan identiti. Juadah ini
tidak sekadar diselitkan dalam karya tetapi menjadi simbol yang memperlihatkan
budaya dan tradisi masyarakat.
Dari sudut agama pula, ajaran agama
Hindu, Kristian, dan Buddha dalam kalangan kaum India boleh dimasukkan secara
halus dan organik ke dalam karya. Memanglah ada penulis kaum India terasa
bimbang dan musykil sama ada unsur agama boleh dimasukkan dalam karya Bahasa
Malaysia.
Dalam hal ini, perlu disedari
bahawa bahasa kebangsaan adalah milik semua dan tidak dimonopoli kaum dan agama
tertentu sahaja. Malah, konsep Sastera Kebangsaan sejak 1971 menggalakkan penerapan
unsur agama Hindu, Kristan, Buddha, dan sebagainya dalam karya Bahasa Malaysia.
Cerpen-cerpen saya sejak tahun 1992 memang secara penuh sedar dan penuh berani
memaparkan unsur agama. [Baca pengalaman saya di sini]
Sekadar contoh, konsep dharma dalam ajaran agama suci Hindu boleh dijelmakan melalui konflik watak
yang terpaksa memilih antara kepentingan diri dan keluarga. Nilai kasih dalam ajaran
agama suci Kristian boleh ditampilkan melalui watak yang memaafkan musuhnya,
manakala ajaran agama suci Buddha tentang ketenangan dan keinsafan boleh muncul
dalam perjalanan batin watak yang mencari makna hidup.
Semua ini boleh ditampilkan
secara naratif dengan gaya penulisan kreatif, bukan dipaparkan umpama khutbah
seperti selalu dibaca dalam karya Sastera Melayu. Pada masa sama, jangan
teragak-agak untuk memaparkan unsur keagamaan semata-mata kerana bimbang
menyentuh sensitiviti golongan tertentu. Sentiasa beringat bahawa Bahasa
Malaysia dan Sastera Kebangsaan adalam milik bersama; bukan milik kaum dan
agama tertentu.
Dalam usaha menjadikan cerpen
lebih menarik, penulis kaum India perlu bijak menggunakan teknik penceritaan.
Salah satu pendekatan mudah tetapi amat berkesan ialah “menunjukkan, bukan
memberitahu” (show, don’t tell).
Sebagai contoh, daripada
menyatakan (tell) bahawa watak itu
seorang penganut Hindu yang taat, lebih berkesan jika penulis menggambarkan (show) rutin watak itu melukis kolem pada setiap pagi atau berdoa di bilik
sembahyang rumahnya.
Dialog juga memainkan peranan
penting. Penggunaan beberapa perkataan Tamil, Telugu, atau Malayalam secara
terkawal boleh menambah keaslian, asalkan konteksnya jelas kepada pembaca. Daripada
menggunakan istilah “Abang” bagi suami seperti dalam budaya orang Melayu,
bukankah lebih baik menggunakan gelaran “Attan” mengikut tradisi dan budaya Tamil?
Selain itu, konflik antara kehidupan
tradisi dan moden merupakan tema yang sangat subur untuk diangkat dalam karya
kreatif. Bayangkan seorang pemuda keturunan Bengali dan beragama Hindu ingin
berkahwin dengan pilihan hati yang berbeza kaum dan agama.
Atau kisah seorang wanita keturunan
Telugu yang menolak perkahwinan diatur keluarga lantaran menganggap amalan
tradisional sudah ketinggalan zaman. Situasi ini pasti membuka ruang naratif
yang luas. Konflik seperti contoh-contoh di atas bersifat universal tetapi akar
budaya yang dimasukkan ke dalam cerita mampu menjadikannya unik dan segar dalam
konteks Sastera Kebangsaan.
Pada masa sama, para penulis
kaum India perlu mengelakkan stereotaip dalam penulisan. Watak kaum India tidak
harus digambarkan secara klise sebagai kuli di ladang atau individu miskin
semata-mata. Jangan terus tampilkan watak kaum India yang tidak menguasai
bahasa kebangsaan.
Sebaliknya, watak kaum India
boleh tampil sebagai doktor, guru, artis, graduan, karyawan, pensyarah, atau
ahli perniagaan dengan pelbagai lapisan identiti dan jati diri yang
menjadikannya unik. Pendekatan ini selari dengan matlamat Sastera Kebangsaan iaitu
memaparkan realiti sebenar masyarakat pelbagai kaum mengikut zaman.
Karya Sastera Kebangsaan yang
menampilkan budaya kaum India sangat besar peranannya. Pertama, ia membuka
ruang kefahaman antara kaum. Pembaca pelbagai kaum dapat mengenali budaya komuniti
India secara lebih dekat melalui pengalaman emosi dalam karya sastera, bukan
melalui stereotaip di media (khasnya filem dan novel Melayu) yang biasanya gagal
memberi gambaran sebenar.
Kedua, ia membantu membina
identiti kebangsaan yang inklusif. Sepertimana kita sedia maklum, Sastera
Kebangsaan berperanan menjadi alat integrasi sosiobudaya dan pemupukan
perpaduan dalam kalangan Bangsa Malaysia.
Ketiga, ia memberi ruang
kepada penulis Bukan Melayu (khususnya Sasterawan Kavyan) untuk mentafsirkan
dan menyalurkan alam fikiran komuniti mereka ke dalam karya bahasa kebangsaan,
sekali gus memperkayakan khazanah Sastera Kebangsaan.
Huraian terperinci mengenai paparan budaya kaum
India dalam cerpen oleh penulis kaum India dari 1985 hingga 2019 boleh dibaca
dalam buku Kavya Sastra (2021) manakala beberapa karya selepas
itu diulas dalam buku Suvarna Bhumi (2022). Rencana bertajuk “Sastera Kebangsaan Mekar di Portal Kavyan”
(Utusan Malaysia, 11 April 2026) pula
meneliti beberapa cerpen yang tersiar di portal Sastera Kavyan dari Januari hingga Mac
2026.
Sesungguhnya, penulisan cerpen
dalam kerangka Sastera Kebangsaan menuntut kejujuran dan keberanian. Sasterawan
Kavyan tidak boleh sekadar menyalin unsur budaya seperti menulis sebuah
rencana. Sebaliknya, perlu menyelami jiwa dan makna di sebalik setiap unsur
budaya yang mahu dipaparkan dalam cerpen.
Menerusi gaya yang sederhana
tetapi sarat makna, cerita-cerita yang mengangkat watak kaum India, budaya kaum
India, serta elemen agama Hindu, Kristian, dan Budha mampu mengalir secara
tenang, menyentuh emosi, dan meninggalkan kesan yang berpanjangan pada jiwa
pembaca pelbagai kaum di Malaysia. Keunikan ini juga dijangka dapat dinikmati
dalam Antologi
Cerpen 5 Penulis yang sedang diusahakan.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera
Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent
Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti
pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau
terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia sejak tahun 1991. Tulisannya
boleh dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]

