Saya berkesempatan melawat Chettinadu pada bulan
Mac yang lalu bersama dua orang rakan, Sarala dan Parvathey. Tujuan kami
bukanlah untuk ke Chettinadu semata-mata tetapi kami memasukkan Chettinadu dalam
jadual perjalanan untuk satu kelainan.
Kami ke Chettinadu selepas bermalam di
Kumbakonam, sebuah bandar yang dikenali sebagai Bandar Kuil (Temple City).
Perjalanan dari Kumbakonam ke Chettinadu mengambil masa kira-kira tiga jam
melalui Lebuhraya Nasional NH 83 dan NH 36.
Chettinadu terletak 85 km dari Thiruchirapalli.
Thiruchirapalli mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa yang menyediakan
penerbangan terus dari dan ke Kuala Lumpur. Saya tertarik untuk ke Chettinadu
kerana ingin melihat keunikan di tempat tersebut. Saya pernah terbaca mengenai
rumah-rumah di sana yang mempunyai seni bina yang luar biasa.
Chettinadu adalah gabungan dua perkataan dalam
Bahasa Tamil iaitu Chettiar dan Nadu. Chettiar merujuk kepada komuniti yang
mashyur dalam perdagangan dan memiliki tanah. Nadu bermaksud tanah atau negeri.
Jadi, Chettinadu membawa maksud tanah atau negeri milik Chettiar.
Apabila memasuki kawasan ini, kita dapat melihat
papan yang tertulis UNESCO World Heritage Sites - Chettinad, Village Clusters of Tamil Merchants.
Ini menunjukkan peranan yang diambil oleh pihak tertentu untuk memelihara dan
memulihara rumah tradisi di kawasan Chettinadu.
Kami disambut sebuah rumah atau rumah agam yang sangat besar.
Rumah ini tidak boleh dilawati oleh orang ramai. Rumah ini tersergam seperti
sebuah istana. Orang ramai dilihat sedang bergambar dihadapan rumah tersebut.
Sememangnya. saya sangat teruja melihat kebolehan dan kecenderungan serta
ketukangan manusia yang begitu jitu pada satu masa dahulu.
Rumah-rumah di sini mempunyai kemewahan dan sejarahnya
tersendiri. Hampir semua rumah mempunyai keluasan yang besar, dibina
menggunakan tiang kayu jati yang diimport, candelier dan menggunakan jubin dari
Eropah.
Saya dan rakan-rakan sempat melawat dua rumah di kawasan ini.
Bayaran masuk hanyalah 50 rupee iaitu lebih kurang RM 2.12. Rumah pertama yang
kami lawati dijaga oleh seorang individu generasi kelapan.
Beliau memaklumkan bahawa dari pintu depan rumah, kita boleh
melihat pintu belakang rumah kerana ia adalah selari. Pintu dibina selari untuk
memudahkan peredaran udara. Rumah ini berusia 250 tahun dan mempunyai 50 bilik.
Ruang tengah rumah dibiarkan kosong.
Kebanyakan bilik dalam rumah ini berkunci. Semua bilik di
tingkat atas juga berkunci. Hanya dua bilik di tingkat bawah tidak berkunci. Lantainya
berdebu kerana hanya seorang sahaja yang menjaga rumah ini dan menetap disini. Mungkin
beliau juga tidak tinggal di sini tetapi hanya datang untuk melihat pada siang
hari. Ada sedikit peralatan dapur lama yang diletakkan di bahagian dapur.
Kami bertiga sempat mengambil gambar beberapa sudut di dalam
rumah ini.
Rumah kedua yang kami lawati didapati lebih teratur dan agak popular
dalam industri perfileman dan juga digunakan untuk penggambaran pra-perkahwinan.
Rumah ini dikenali sebagai AR Veedu – The Heritage House of Chettinadu. Rumah atau
lebih tepat lagi rumah agam ini berusia 280 tahun, mempunyai 80 bilik dan
dibina oleh RM Arunachalam Chettiar, seorang Zamindar Silathur, daerah
Tanjavur.
Pintu hadapan rumah ini mengambil masa tujuh tahun untuk
disiapkan oleh lima orang tukang kayu yang hebat. Terdapat pelbagai ukiran
dewa, dewi dan pelbagai simbol keagamaan pada pintu tersebut.
Terdapat 22 tiang kayu jati yang dibawa dari Burma dan lapan
tiang granite hitam pada ruang hadapan. Foyer rumah menggunakan jubin batu
marmar dari Itali. Rumah ini sebenarnya mempunyai seni bina yang amat
mengagumkan.
Ruang makan di dalam rumah agam ini boleh memuatkan 200 tetamu
pada satu masa. Ini membuktikan kemesraan dan kerahmahan penghuni rumah agam
ini pada satu masa dahulu.
Apabila masuk ke dalam rumah ini, ada sebuah almari lama yang
memuatkan pelbagai buku dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil. Sebelah almari
ada bilik yang dijadikan bilik sembayang. Juga terdapat gambar-gambar hitam
putih berbingkai pada dinding. Mungkin
gambar mereka yang pernah tinggal di dalam rumah ini. Tiang-tiang di dalam
rumah juga menunjukkan ketelitian dalam ukiran.
Kami bertiga begitu terpesona dengan rumah di Chettinadu. Selepas
melihat rumah-rumah ini, kami ke sebuah restoran – rumah yang diubah suai untuk
makan tengah hari. Chettinadu Narayana Villas menjadi pilihan. Kami mencuba Set
Thali Chettinadu.
Sekiranya anda berpeluang ke Tamil Nadu masukkan Chettinadu
dalam jadual perjalanan anda dan nikmatilah keindahan seni bina di sana.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Anuradha
Chelliah berasal dari Banting,
Selangor dan merupakan jurulatih yoga terlatih dan mendapat pengiktirafan
daripada Sakthi School of Yoga,
Malaysia. Karya beliau termuat dalam Busana
Bahasa (2019), Landasan Hidup
(2020), Peluru Aksara (2020), Lakaran Diri
(2022) dan Seruling Malam (2024). Puisi
bahasa Inggeris terbaharu beliau termuat dalam ALS NaPoWriMo (2025). Karya-karya Anuradha juga boleh dibaca di Eksentrika dan Sastera Kavyan. Baca: Biodata penuh]






