Saya dan Kelas Agama


Penghantaran anak-anak kaum India beragama Hindu ke kelas agama (samaya vaguppu) dilakukan tidak secara paksaan sejak dahulu lagi, mahupun sekarang.

Kebiasaannya samaya vaguppu dijalankan oleh sukarelawan di kuil-kuil tertentu yang berhampiran dengan tempat kediaman. Mereka sanggup menghabiskan masa mereka di hujung minggu demi melihat anak-anak Hindu ini mengetahui serba-sedikit tentang agama yang dianuti.

Saya ke samaya vaguppu ketika berumur 8 tahun. Kebanyakan kanak-kanak yang hadir ke samaya vaguppu berumur 6 hingga 12 tahun. Di sinilah kami dari sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah Tamil (SJKT) dapat bertemu dan kenal-mengenali antara satu sama lain.

Samaya vaguppu di tempat saya di Bentong, Pahang dijalankan di Kuil Sri Maha Mariamman, Chammang. Mereka yang mengendalikan samaya vaguppu adalah rata-rata guru-guru dari SJKT Bentong. Kanthasami Vaathiyaar (cikgu) dan Mani Vaathiyaar serta Saravana Muthu Mama (pak cik) akan mengajar kami secara bergilir-gilir. Kanthasami Vaathiyarlah yang paling banyak mengambil kelas kami.

Kanthasami Vaathiyaar dan Mani Vaathiyar mengajar lagu-lagu suci dari buku Thevaaram, Thiruvaasagam dan Thiruppugal. Saravanamuthu Mama di samping mengajar menyanyikan lagu-lagu suci, dia juga akan mengajar cara-cara sembahyang dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan agama Hindu. Perwatakannya lebih garang jika dibanding dengan Kanthasami Vaathiyaar.

Samaya vaguppu biasanya diadakan pada hari Ahad dari jam 9 hingga 11 pagi. Kami akan duduk bersila dalam kuil lebih kurang 20 orang berhadapan dengan guru. Lagu pertama yang wajib dinyanyikan setiap kali adalah ‘Jeyaganesha Paahimaam’. Kami akan membawa buku Thevaaram masing-masing dari rumah. Sebuah buku kecil dan nipis, kulit berwarna kuning.

Lagu-lagu di dalam buku itu akan dinyanyikan oleh guru baris demi baris dan kami akan menyanyikan setiap baris itu seperti guru.


Saya ke samaya vaguppu bukan untuk memperdalami agama Hindu tetapi untuk bertemu rakan-rakan serta makan makanan yang diberikan pada penghujung kelas.

Kanthasami Vaathiyar tidak akan menyanyikan lagu-lagu mengikut urutan di dalam buku, sebaliknya dia akan melangkau beberapa muka surat dan memilih lagu-lagu kegemarannya tanpa memberitahu nombor muka surat. Saya terpaksa terpinga-pinga mencarinya. Yang rajin dan biasa bernyanyi di rumah pula sudah arif tentang muka surat.

Lagu-lagu yang kerap dinyanyikan boleh sahaja saya nyanyikan tanpa melihat buku, jika sudah hafal.  Adakalanya Kanthasami Vaathiyaar akan panggil kami sendiri bernyanyi tanpa tunjuk ajarnya. Pada masa itulah saya akan kelam kabut. Kadang-kadang saya akan gerakkan mulut sahaja. Nasib baik saya sentiasa duduk di barisan belakang.

Selain daripada menyanyikan lagu-lagu suci. Kanthasami Vaathiyar juga sering bercerita. Kisah-kisah yang diceritakan penuh dengan unsur humor. Saya sangat menggemari kisah-kisah lucunya itu. Nampaknya, tujuan sebenar saya ke samaya vaguppu tidak tercapai seperti diimpikan oleh ibu.

Saya amat menggemari lagu ‘Jothi Jothi Jothi Suyam’ sebab ini adalah lagu terakhir kami akan menyanyikan sambil berdiri dalam barisan menyembah berhala dewi Mariamman. Selepas itu kami akan dapat makan biskut, gula-gula atau bubur secara berkala.

Saya tidak lagi ke samaya vaguppu setelah berpindah dari Chammang ke kawasan bandar. Guru-guru yang kendalikan kelas itu pun sudah tidak ada lagi sekarang.

Walaupun saya masih ingat lagu-lagu suci itu hingga sekarang tetapi oleh kerana sebab-sebab tertentu, saya tidak mempraktikkan agama Hindu itu sendiri. Saya tidak suka dimasukkan di dalam satu kotak bernama ‘agama’. Kita manusia semua sama sahaja. Tidak usah dipisahkan dalam satu label bernama agama.

____________________

M. Mahendran
mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil untuk akhbar dan majalah pada tahun 1987. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Cerpen-cerpen Mahendran turut termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung yang memuatkan karya-karya terpilih Mahendran.