Agathin Azhagu Mugathil Teriyum adalah
peribahasa Tamil yang membawa maksud “wajah mencerminkan hati”. Ini benar. Daripada
pengamatan saya selama ini, wajah boleh mencerminkan perangai, kelakuan,
fikiran, pelajaran malah pekerjaan serta tempat tinggal seseorang.
Bukan sahaja saya, malah kebanyakan orang
mungkin atau memang mempunyai deria untuk mengenali atau tahu akan hati budi
seseorang pada pandangan pertama tanpa perlu berbicara terlebih dahulu.
Rupa seorang terpelajar dan seorang yang tidak
berpelajaran, sungguh berbeza. Dari segi raut muka, berjalan, bergerak dan cara
bercakap membawa perbezaan yang sungguh jelas. Wajah mereka yang tinggal di
hutan dan di luar hutan adalah sangat berbeza. Saya tidak bermaksud untuk
merendahkan sesiapa tetapi itu adalah kenyataan.
Wajah seorang pencuri, pembunuh dan perogol sudah
pasti jauh berbeza dengan seorang yang baik atau alim. Saya tidak pasti
bagaimana perangai dan pemikiran seseorang boleh mengubah wajah seseorang
hingga sedemikian. Untuk memperdalami perkara ini mungkin saya perlu menelaah
bidang-bidang tertentu.
Tetapi yang menghairankan saya sehingga
sekarang, kita susah untuk mengenali pencuri-pencuri terhormat yang terdapat di
negara ini. Wajah mereka pula umpama Pasuthoal Poarthiya Puli yang
bermaksud “harimau berselimutkan kulit lembu”. Memang sukar untuk mengenali
identiti mereka sehingga rahsia mereka terbongkar.
Mereka terpelajar, mendapat sokongan orang
ramai dan berbaik dengan semua pada peringkat awal. Lama-kelamaan mereka
menunjukkan belang mereka. Dalam perkara ini mengapa hati tidak mencerminkan
rupa mereka?
Saya masih tercari-cari jawaban bagi pertanyaan
ini.
____________________
M. Mahendran mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil
untuk akhbar dan majalah pada tahun 1987. Karya
beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988,
1991)
dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Cerpen-cerpen
Mahendran turut termuat
dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003),
Busana
Bahasa (2019), Landasan
Hidup (2020), dan Peluru
Aksara (2020). Karupaya (2018) adalah
kumpulan cerpen sulung yang memuatkan karya-karya terpilih Mahendran.