Manusia dan Alam


Kehidupan manusia di muka Bumi tidak boleh dipisahkan dengan alam semula jadi.  Manusia seratus peratus bergantung pada alam.  Baik yang tinggal di bandar atau di kampung, semua terikat dengan alam ini. Manusia tidak boleh benci atau abaikan alam sehingga dia mati.

Pada perspektif saya, saya bernasib baik untuk ‘bergaul’ dan bergelumang dengan alam sejak kecil. Matahari, hujan, rumput, pokok, pelangi, burung, katak, anjing dan kucing semua menemani saya sejak kecil. Oleh kerana saya dilahirkan di kawasan bandar kecil dan tinggal di rumah papan berlot, rumah kami dikelilingi pelbagai jenis pokok buah yang ditanam oleh ibu bapa kami.

Di hadapan rumah sebelah kiri ada sebuah pokok manggis yang tinggi, pokok langsat, pokok jambu batu dan pokok neem. Di sebelah kanan pula terdapat pokok rambutan dan pokok jambu air. Di tepi kanan sedikit jauh pula terdapat pokok nangka.

Di belakang rumah terdapat pokok belimbing dan pokok durian jantan yang cuma berbuah sesuka hati beberapa tahun sekali, sebuah pokok daun inai di sebelah jamban kayu dan pokok daun murunggai. Pokok kelapa pula terdapat satu di depan dan dua di belakang rumah. Oleh kerana kawasan agak luas, pokok-pokok tersebut dapat ditanam pada jarak tertentu.

Walaupun terdapat banyak jenis pokok ketika itu, saya bukan hebat sehingga boleh memanjat pokok. Saya hanya suka dan boleh memanjat pokok jambu batu kerana ia tidak lurus dan dahannya agak rendah. Saya dan abang biasa panjat memetik jambu dan makan terus di atas pokok sambil melihat kawasan sekeliling dan orang yang lalu lintas di jalan raya. Kadang-kadang kami sedia bawa garam bersama kami untuk cicah bersama jambu batu.

Selain daripada pokok-pokok buah dan sayur, ada juga pokok-pokok bunga seperti pokok bunga raya, melati dan pokok bunga kenanga di kawasan pagar rumah.  Saya suka cabut bunga-bunga ini, mencium dan buang merata-rata luar rumah.

Semasa di sekolah rendah, saya suka sangat akan padang sekolah. Walaupun saya tidak aktif bersukan dan kaki bangku, saya tetap suka berkejar-kejaran di padang bersama kawan dan jatuh berguling di padang pada waktu senja. Amat indah pemandangan tatkala matahari hampir terbenam, sambil saya berbaring di atas rumput. Keenakan perasaan itu sukar untuk diluahkan secara kata-kata atau dalam tulisan. 

Paling indah ialah ketika waktu tidur, hujan turun. Bunyi hujan mengena atap zink dan suhu bilik yang sejuk mengindahkan tidur kami. Diiringi pula orkestra lagu nyanyian katak yang sahut menyahut. Fuh! Kenikmatan tidak terkata.

Semakin saya dewasa, semakin jauh saya meninggalkan keindahan alam yang telah sebati semasa kecil. Alam masih ada, saya pun masih bersama alam, namun keintiman tidak ada. Renggang.

____________________

M. Mahendran
mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil untuk akhbar dan majalah pada tahun 1987. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Cerpen-cerpen Mahendran turut termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung yang memuatkan karya-karya terpilih Mahendran.