Silambam dan Thilaga Rati


Thilaga Rati a/p Selvaraju berasal dari Kg Sungai Sedu Banting, Selangor. Beliau berumur 34 tahun dan baharu mendirikan rumah tangga. Thilaga mempunyai Ijazah Kedoktoran dalam bidang Perubatan Molekular.

Walaupun telah memiliki ijazah kedoktoran, Thilaga yang pernah menjadi pensyarah di Melaka-Manipal Medical College, masih mengejar cita-cita zaman kanak-kanaknya. Sekarang, beliau berada di tahun ketiga ijazah perubatan di Management and Science University (MSU), Shah Alam.

Peristiwa melihat ayahnya di hospital semasa rawatan kanser, menimbulkan semula semangat beliau untuk meneruskan cita-cita zaman kanak-kanak. Beliau juga terinspirasi dengan melihat bakal-bakal doktor yang beliau ajar di universiti tersebut. Jadi, beliau berhenti daripada menjadi pensyarah dan menyambung pelajaran dalam bidang perubatan.

Beliau mempelajari silambam, seni mempertahankan diri sejak kecil daripada ayah yang merupakan jurulatih dan inspirasi beliau. Tae Kwan Do juga merupakan seni mempertahankan diri yang dipelajari oleh Thilaga. Beliau merupakan 2nd Dan dalam Tae Kown Do.

Anuradha Chelliah mewawancara Thilaga yang sedang turut mempelajari yoga.


Apakah itu silambam? Berikan serba sedikit latar belakang silambam dan asal usul di Malaysia.

Silambam merupakan pergerakan tanpa senjata dan senjata. Ia merupakan seni mempertahankan diri berasakan pertempuran kayu yang berasal dari Selatan India. Silambam dibawa apabila masyarakat India datang ke Malaysia.

Pada zaman dahulu, silambam diajar secara tertutup kerana tidak mahu didedahkan kepada pihak British. Silambam hanya satu seni mempertahankan diri dan bukannya sukan.

Pada tahun 1975, silambam mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia. Persatuan Silambam Malaysia didaftarkan pada tahun 1976. Kini, Persatuan Silambam Malaysia mempunyai cawangan di seluruh Malaysia.

Silambam dapat meningkatkan fleksibiliti otot, penyelarasan lengan dengan mata, menguatkan jantung dan ketahanan paru-paru. Silambam juga menstabilkan postur badan dan meningkatkan ketahanan.


Bagaimanakah anda boleh terlibat dalam silambam dan apakah reaksi masyarakat kita terhadap sukan ini pada masa sekarang?

Saya terlibat dalam silambam kerana ayah saya. Ayah saya, Mahaguru Silambarasan R. Selvaraju PJK, 5th Dan (PSM) Sando Veerathira 8  merupakan jurulatih saya. Pada mulanya, saya memang kurang berminat dengan silambam, tetapi ayah memaksa dan menimbulkan minat terhadap seni ini sehingga saya boleh mencapai kejayaan.

Masyarakat kita memberi sokongan yang hebat terhadap silambam. Kalau dilihat 20 tahun yang lalu, semasa saya mula mempelajari silambam, sokongan masyarakat tidak begitu memberangsangkan. Sekarang silambam telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan ramai ibu bapa ingin anak-anak mereka mempelajari satu seni mempertahankan diri. Jadi, silambam menjadi pilihan mereka. Ada ibu bapa yang menghantar anak-anak yang berumur empat tahun untuk mula menceburi dalam seni ini.


Adakah sukan ini diiktiraf di Malaysia? Sila nyatakan kejohanan yang ada dalam sukan ini. Peringkat rendah hingga peringkat tertinggi.

Silambam memang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Peringkat tertinggi kejohanan silambam adalah di peringkat Sukan Malaysia (SUKMA).

Kejohanan-kejohanan lain adalah kejohanan di peringkat kelab, daerah dan negeri. Ada juga kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Silambam Malaysia di antara persatuan-persatuan silambam lain diperingkat antarabangsa seperti di India dan Singapura.

Pernahkah anda terlibat dalam kejohanan silambam? Ceritakan pengalaman dan pencapaian anda.

Saya pernah menyertai banyak kejohanan silambam. Berikut adalah kejohanan serta pencapaian saya:

1. Kuala Lumpur 2001 Sukan Sea XX1 (Demonstrasi)

2. Kejohanan Silamban Antarabangsa India (Pingat Emas)

3. SUKMA X 2004 Negeri Sembilan (Demonstrasi)

4. SUKMA X11 2008 Terengganu (Jurulatih Pasukan Wanita Negeri Selangor)

5. Pertandingan Kebangsaan Silamban 2000 (Johor) (Pingat Perak)

6. National Martial Art Competition 2001 (Pingat Emas dan Perak)

7. National Martial Art Competition 2002 (Pingat Emas)

8. National Silambam Competition 2004 (Kedah) (Pingat Emas dan Perak)

9. National Silambam Competition 2007 (Melaka) (Pingat Emas dan Perak)

10. SUKMA 2011 Bukit Jalil (Jurulatih Pasukan Wanita Negeri Selangor)

11.SUKMA 2013 Bukit Jalil (Jurulatih Pasukan Wanita Negeri Selangor)


Apakah peralatan yang digunakan dalam silambam?

Alat utama adalah kayu silambam. Peralatan lain adalah madhu, sedikucci, surul, por vaal, eer vaal, kedayam, mulangkambu, eeddi, katthi, parang dan chodda.

Bagaimanakah penglibatan kaum wanita dalam silambam di negara kita?

Kaum wanita memberikan komitmen yang tinggi dalam silambam. Ramai wanita telah ke peringkat antarabangsa dalam seni ini.

Kalau dulu penglibatan wanita sangat kurang. Sesebuah kelab silambam hanya mempunyai ahli wanita yang sangat kurang tetapi sekarang hampir separuh daripada satu-satu kelab terdiri daripada kaum wanita. Penglibatan dan pencapaian mereka sangat memberangsangkan di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.


Sekiranya ada individu yang berminat untuk menyertai silambam, bagaimanakah individu tersebut boleh terlibat sama?

Individu tersebut boleh menyertai kelab silambam yang terdapat berdekatan tempat tinggal mereka. Sebagai contoh, mereka yang tinggal di Sungai Sedu boleh menyertai Kelab Silambam Sungai Sedu. Begitu juga kelab-kelab lain yang ada berdekatan dengan tempat tinggal seperti Kelab Silambam Banting dan Kelab Silambam Telok Panglima Garang.

Apakah rancangan dan impian masa depan anda dalam silambam?

Saya berharap silambam akan mendapat pengiktirafan dalam kejohanan sukan-sukan lain di peringkat Asean dan antarabangsa. Silambam juga harus diceburi oleh masyarakat berbilang kaum bukan hanya kaum India. Setiap sukan mementingkan disiplin, begitu juga silambam maka dengan mempelajari silambam disiplin seseorang individu itu akan terpelihara. Saya berharap silambam akan dipelajari oleh lebih ramai individu.

____________________

Anuradha Chelliah
berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, beliau berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.