Peristiwa yang berlaku di kawasan sekolah lebih
mudah diingati, begitu juga dengan filem-filem yang ditonton ketika itu dan
urusan harian di rumah. Berikut adalah salah satu hari pada tahun 1975 diimbas
kembali.
Jam loceng berbunyi di bilik ibu bapa,
menandakan sudah 5.45 pagi. Saya menggeliat bangun bersama abang. Bapa memastikan
kami berdua sudah bangun. Saya bertonggeng dalam selimut sebelum ke tandas.
Kemudian dengan amat perlahan, saya berjalan ke
arah dapur, menunggu abang untuk kembali dari tandas.
Tandas yang tidak berlampu itu terletak di
belakang luar rumah, berhampiran dengan pokok daun inai. Ia diperbuat daripada papan
beratapkan zink dan berbaldi besar di bawah lubang najis. Saya membawa lampu
picit. Udara di luar sungguh sejuk hingga membuatkan saya menggigil dan gigi
berlaga atas bawah.
Semasa saya sedang ‘melabur’ di bilik termenung
itu, saya ternampak satu tangan sedang menarik keluar baldi di bawah lubang
najis. Terkejut saya dibuatnya. Tukang angkut itu tidak beri isyarat terlebih
dahulu. Nasib baik dapat dikemutkan, jika tidak sudah tentu tangan orang itu
sudah dikerjakan. Mungkin dia ingat tidak ada orang dalam tandas sebab tidak
berlampu, lagipun lampu picit lampunya malap.
Setiap kali ke tandas pada waktu subuh, perlu
dipastikan tidak ada spesis menjalar di situ.
Selepas urusan di tandas selesai, saya ke bilik
mandi untuk ‘basuh’ serta gosok gigi. Mandi pagi memang tidak ada dalam kamus
saya ketika itu. Siapa boleh mandi dalam keadaan air sejuk macam ais! Jika di
sebelah petang hujan lebat pun saya akan mandi air panas yang dijerang atas dapur
arang.
Selepas memakai pakaian seragam dengan
pertolongan emak, kami bersarapan biskut tawar bersama air Milo; sarapan wajib
ketika itu yang diselang-selikan dengan roti paun. Cuma pada cuti Sabtu dan
Ahad emak akan buat sarapan seperti uppuma, tosai, puttu dan mihun
goreng.
Bapa menghantar kami menaiki basikal. Saya
duduk di palang, abang di carrier belakang. Hari itu hari Isnin, jadi
saya memakai tali leher berwarna merah jenis sangkut. Ada perhimpunan di padang
sekolah.
Saya meletakkan beg bimbit di dalam kelas.
Lagu-lagu “Geylang Si Paku Geylang”, “Lenggang-lenggang Kangkung” dan sebagainya
sedang berkumandang melalui pembesar suara dari bilik guru.
Lagu “Negaraku” dinyanyikan bersama-sama. Saya
hanya tahu baris pertama. Untuk baris yang lain hingga akhir, saya gerak bibir
sahaja.
Guru Besar berdiri berucap di suatu tempat
tinggi. Apa pun saya tidak faham. Maklumlah baru lima bulan bersekolah. Tadika
pun tidak pernah jejaki. Perut pula tiba-tiba memulas.
Selepas perhimpunan, masing-masing bersurai dan
masuk kelas. Pelajaran pertama adalah bahasa Inggeris. Guru kelas Mrs. Tan.
Badannya yang besar sungguh menggerunkan.
“Class!” Ketua darjah melaung
ketika Mrs.Tan melangkah masuk. Di tangannya kelihatan buku rekod dan rotan
nipis panjang.
“Good morning, teacher!” kami
berkorus.
Perut saya masih memulas. Kebiasaannya tidak
pernah begini. Saya cuma akan ke bilik air pada waktu rehat. Urusan keluar ke
tandas sewaku kelas amat menyukarkan.
“Good morning. Sit down.”
Kami semua duduk. Ada lebih kurang 35 murid
dalam kelas kami.
“Please take out the text book and turn to page
…”
Saya tidak tumpu perhatian sepenuhnya pada Mrs.
Tan. Saya memegang perut. Buku teks saya tidak keluarkan. Perut memulas.
Bagaimana saya akan minta izin ke tandas dalam bahasa Inggeris?
____________________