Kelihatan mentari mula naik dan kedengaran
manuk berkicauan. Adhiratha yang berkhidmat sebagai pemandu rata untuk Raja Dhritarashtra terserempak dengan sesuatu yang terapung di
tepi sungai. Tanpa berfikir panjang, Adhiratha bergegas ke tepi sungai.
Alangkah terkejutnya apabila dia menjumpai seorang bayi lelaki di dalam sebuah
kotak yang diperbuat daripada kayu. Satu detik permulaan yang baharu muncul
dalam hidup bayi lelaki itu yang kini digelar sebagai “Maharathi Karna” di
seantero dunia.
Hari demi hari, perasaan sayang Adhiratha dan
Radha yang berasal daripada golongan pemandu rata tidak pernah berkurang ke
atas Karna atau dikenali sebagai Vasusena (dilahirkan dengan kemakmuran). Ikatan kasih sayang antara Karna dan keluarga angkatnya terjalin daripada rasa
hormat dan cinta yang murni walaupun tidak ada pertalian darah. Adhiratha
dihormati dan disanjungi oleh Karna. Karna dengan penuh rasa kasih sayang dan
tanggungjawab menjalankan tugasnya sebagai waris lelaki dan saudara lelaki
dalam keluarga angkatnya.
Pada suatu hari,
satu pertandingan untuk membuktikan kemahiran dan kehebatan di Hastinapura diadakan.
Karna yang turut menyertai pertandingan itu
muncul sebagai pemanah yang sangat berbakat hinggakan mengatasi prestasi
Arjuna. Jadi, dia mencabar Arjuna untuk bertanding dengannya tetapi gagal.
Kripacharya tidak
mengizinkan Karna yang berasal dari golongan bawahan untuk bertarung dengan
Arjuna iaitu putera ketiga kepada Raja Paandu dan pemanah yang termasyhur di
Hastinapura.
“Walaupun aku
memperisaikan diriku dengan pelbagai kemahiran dalam seni pertahanan diri yang
dipelajari daripada guruku, Parashurama, identiti diriku tetap akan menjadi
satu halangan untuk mara ke hadapan,” bisik Karna dalam hati.
Keadaaan menjadi
kelam-kabut. Suyodhana atau lebih mesra dikenali sebagai Duryodhana telah lama
memerhatikan Karna dan kehebatannya dalam kejohanan yang sedang berlangsung. Anak
sulung kepada Raja Dhritarashtra
dan Permaisuri Gandhari yang mewakili golongan Kaurava membuat konklusi bahawa
dia telah menjumpai dan memiliki pahlawan yang setanding dan sama bijak dengan
Arjuna.
Lalu, Duryodhana
berkata, “Sudah cukup jelas bagi saya bahawa pemuda ini bukan manusia yang
kaleng-kaleng. Mustahil lelaki ini dapat memiliki kemahiran mempertahankan diri
sebegini kecuali dia adalah daripada golongan Kshatriya.”
Tanpa membuang
masa, Duryodhana bangkit dari tempat duduk dan menegaskan bahawa hanya ada tiga
golongan dalam kitab suci; iaitu golongan yang berketurunan kerabat diraja, golongan
yang mewarisi darah raja, pahlawan, dan golongan yang memimpin tentera.
Dengan nada yang
marah Duryodhana menyoal, “Bolehkah seorang pahlawan yang menyerupai dewa, yang
dilahirkan dengan kundala dan kavasa (anting-anting dan perisai
bersakti dan semula jadi) menjadi anak pemandu rata? Putera ini antara manusia yang berhak mendapatkan kedaulatan di
dunia ini! Sekiranya Arjuna tidak mahu bertanding dengan Karna
disebabkan dia bukan daripada golongan darah diraja, maka saya dengan ini menobatkannya sebagai Raja
Angga, iaitu raja untuk wilayah Angga yang berada di bawah kawalan saya.”
Kolam-kolam derita yang mengalir dari mata
Karna membuatkan Duryodhana tersentuh lalu mendakap Karna dengan senyuman lebar
di wajah.
“Aku mahukan hatimu, Karna,"
kata Duryodhana kepada Karna.
“Ia sudahpun
menjadi milikmu,” bisik Karna.
____________________