Arak

Manusia dan arak tidak boleh dipisahkan. Walaupun semua agama di bumi ini menegah manusia daripada minum arak, namun tidak ada yang endahkan. Cuma mereka yang betul-betul patuh kepada ajaran ugama atau tahu akan risiko minum arak tidak menyentuh arak.

Yang selebihnya?

Saya yang sudah lama bertugas di bidang retail (peruncitan), amat sedih melihat golongan muda dan tua membeli arak seperti membeli barangan ruji. Seolah-olah tanpa arak, mereka akan mati.

Arak ada dalam pelbagai jenis. Wine, whiskey, brandi, bir, todi, samsu, rum, dan yang kurang peratus alkohol ialah shandy.

Di antara ini, yang paling laris pada masa kini adalah bir. Saya dapati peminum arak tidak membeli satu atau dua tin sahaja, malah mereka juga lebih gemar membeli berkarton-karton. Satu karton ada 24 tin, jika hanya tiga orang sahaja yang menghabiskan satu karton, seorang boleh minum 8 tin sekali gus. Jika tidak cukup, mereka akan datang beli lagi.

Setin bir pula tidak dijual dengan murah. Paling mahal dijual dengan harga RM12. Saya sungguh hairan bagaimana mereka sanggup menghabiskan wang sebanyak itu untuk membinasakan diri dan memberi gangguan kepada orang lain.

Dahulu orang yang bekerja keras sahaja yang minum arak dan akan menjadi hamba kepada arak. Tetapi kini, mereka yang sahaja duduk rumah tidak berkerja atau sedang bercuti pun minum arak tanpa batasan.

Mengapa mereka minum hingga ketagih? Apa kenikmatan yang mereka perolehi? Adakah peningkan kepala hingga mabuk sungguh menyeronokkan seseorang individu?

Bila ditanya kepada mereka, mengapa mereka minum bir, jawab mereka untuk “enjoy” dan untuk menghabiskan masa terluang bersama kawan-kawan. Saya masih tidak faham dengan pengertian “enjoy” mereka itu.

Lagi satu perkara yang menyedihkan ialah rata-rata staf kedai (pasar raya mini) yang menjual bir adalah staf Melayu (Islam). Saya amat sedih apabila mereka menyatakan mereka terpaksa makan gaji dan hidup daripada hasil penjualan arak.

Adakah kerajaan tidak tahu perkara ini memang wujud di negara kita atau buat-buat tidak tahu? Oleh kerana hasil cukai daripada penjualan arak dan rokok adalah hasil tertinggi untuk kerajaan, maka mereka berdiam diri?

Sebagai seorang rakyat Malaysia dan pemastautin bumi, saya sungguh sedih dengan keadaan buruk ini.

Sepatutnya perlu ada kempen besar-besaran untuk menghapuskan arak dari muka bumi.

Semoga  ada satu penyelesaian terbaik sebelum dunia kiamat.

____________________

M. Mahendran mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil untuk akhbar dan majalah pada tahun 1987. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Cerpen-cerpen Mahendran turut termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung yang memuatkan karya-karya terpilih Mahendran. Baca lebih banyak karya Mahendran [di sini].