Dewaku Datang Dengan Kari Ikan

Kemelampauan hidup selama ini meletihkan pemikiran aku lalu telah menuakan rupa, melangkaui usia sebenar. Kini, hidup aku lebih bebas tanpa sebarang kepercayaan, pegangan dan tanggungan.

Dari jauh sudah jelas lampu biru kenderaan itu. Aku dekatkan diri ke dinding. Gelap sikit di sini.

Kenapa pula mereka ronda kawasan ini? Apa agaknya mereka cari pada waktu lewat petang begini?

Harap-harap, tiada sebarang gangguan malam nanti. 

Aku hembus nafas lega setelah kenderaan itu berlalu. Sudah aku biasa bercakap dengan diri sendiri.

“Mereka” yang pungut aku dari tempat yang pernah aku panggil rumah, sudah lama menghilangkan diri. Mungkin diri aku sudah tidak berguna lagi. Apa boleh mereka lakukan lagi? Sudah aku habis digunakan, sepenuhnya. Tinggal nyawa ini sahaja untuk diperjudikan, tapi siapa mahu nyawa aku?

Buat masa ini peneman aku ialah si anjing yang selalu datang mencari tempat redup pada waktu siang. Harta aku? Satu beg pakaian dan kole ini. Warna hijau. Milik siapa entah. Terjumpa waktu aku di tempat lama. Rupa-rupanya berguna juga. Aku suka dengar bunyi wang syiling jatuh ke dalam kole ini.

Hari semakin gelap. Perut aku sudah mula berkeroncong. Mata aku sudah kabur walaupun usia belum melepasi 30. Saban hari, badanku terasa semakin lemah.

Tiada siapa pun yang ke mari hari ini. Mungkin sebab hujan. Bagus juga hujan tadi. Adalah aku merasa juga angin sejuk; badan dibasahi sepenuhnya. Tapi kalau jatuh sakit, alamatnya menjadi bangkailah aku di sini hingga dijumpai sesiapa.

“Sekarang pun kau dah mula berbau bagai bangkai, bukan?”

Terhibur pula diri bercakap dengan diri sendiri.

Aku tutup mata, dan sandarkan kepala pada dinding yang sejuk. Bau hancing menusuk hidung. Aku hembus nafas perlahan. Dalam bayangan kepala aku, secawan teh tarik panas; berbuih. Roti canai. Kuah banjir.

Sedapnya! Lidah aku sudah lama tidak merasa makanan panas. Sudah aku biasakan tekak dan perut ini menerima makanan basi yang orang buang. Berbaloi juga tidur di bawah jambatan ini. Amat dekat dengan tong sampah besar, belakang restoran ternama di tengah bandar raya.

Manusia yang berada memang biasanya membazir. Apa mereka tahu tentang kelaparan?

Lampu dari kereta yang laju melepasi jalan kecil itu mengejutkan aku yang masih sedang menikmati roti canai kuah ayam. Ah, nyamuk pula! Aku berikan moksha kepadanya dengan sekali tempias. Ha! Moksha! Agungnya perkataan itu! Dewakah aku? Setakat bunuh nyamuk ini, aku sudah mula bangga. Riak!

Kali ini aku tidak menahan gelak. Bagai hendak pecah perut. Bunyi ketawa aku memecah kesunyian kawasan itu.

“Oh! Agungnya diri hinggakan kau panggil diri sendiri dewa. Patutlah dewa yang lain juga riak. Kau masih hidup lagi. Ada nyawa lagi. Agaknya dewa kau besar kepala; bangga kerana masih dapat membiarkan kau bernafas!”

Perbincangan hangat bersama diri sendiri sedikit sebanyak memberikan aku tenaga untuk hidup. Dewa aku sudah lama menghilangkan diri. Lari lintang pukang agaknya. Rumah lama aku terbakar satu malam, sekali dengan segala isinya kecuali aku. Orang kampung kata aku bertuah.

Sewaktu aku dipungut kerana sebatang kara, bagai burung bebas berterbangan pemikiranku. Rupa-rupanya aku dihias dan diletakkan di dalam sangkar. Cuma sangkar itu ada lampu kelip-kelip. Aku ingat lagi. Merah warnanya. Sangkar itu kerap ada pelawatnya. Aku bagai haiwan di zoo. Kebebasan aku terbatas. 

Tapi itu masa lampau. Kini, aku sudah bebas. Masih ada nyawa dikandung badan, tapi dewa mana yang boleh hentikan kelaparan perut ini?

Jalan semakin sunyi. Kuil di sebelah restoran sudahpun ditutup. Bunyi dari tapak pembinaan masih kedengaran.

“Oi!”

Hidung sudah dapat meneka yang dewa aku untuk malam ini sudah sampai. Bersamanya ada kari ikan.

Mungkinkah dia bawa roti canai? Aku suka dewa yang bawakan makanan; yang tidak hiraukan bau badan yang busuk ini.

“Cepat!” kata dewa aku sambil membuka zip seluar.

____________________


Chelvi Ganesan
bergelar pendidik di sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak. Beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Ekonomi. Bagi Chelvi, penulisan kreatif merupakan kaedah mencari ketenangan hidup; selain membaca, melukis, menyanyi serta mendekatkan diri dengan alam. Beliau gemar menulis dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil di media sosial.