Jalan Tiada Penghujung

Aku tidak tahu penghujung bagi perjalanan ini. Aku sedang mencari bumbung untuk melindungi diri selepas meninggalkan kulasentana yang menjadi pagar mencengkam mimpi. Kekhuatiran aku hanya mahu mimpi dicengkam dan tidak mahu menjadi mimpi yang hilang sekali aku membuka ain.

Makhluk yang mempunyai akal suka menghasilkan kenangan tetapi aku suka menangkapnya. Itulah minat aku.

Menjadi seorang daripada kaum Hawa mencungkil lagi kebimbangan kepada dua insan yang membawa aku ke dunia ini. Kebimbangan dua insan tersebut mengundang aku keluar daripada kulasentana ini. Aku membuktikan semangat yang tersemai dalam diri tidak boleh dipadamkan dengan hanya memberikan alasan yang diri ini daripada kaum Hawa. Aku mahu membuktikan;  aku juga boleh berjaya dalam bidang yang Annie Leibovitz juga memantapkan kerjaya beliau.

Sedang menghayati alam yang tiada sempadan. Melihat jalan yang berliku-liku menerangkan tentang falsafah hidup untuk aku. Hidup ini tidak semestinya tidak mempunyai selok belok. Mustahil kita berada di atas sahaja dan mustahil kita berada di bawah sahaja. Yang paling penting, jika kita berada di bawah, maka pada suatu hari kita juga akan berada di atas. Pelajaran tentang kehidupan ini cukup membakar semangatku.

Tanpa disedari ain aku menanyakan tentang rehat. Aku juga menutupkan ain aku sebagai jawapan bagi pertanyaannya.

Pom! Poom! Pom! Poom!

Bunyi hon daripada kenderaan yang sedang aku kembara menyebabkan aku terkejut bangun. Jam tangan menunjukkan aku mengambil rehat selama setengah jam. Benda yang berada pada pergelangan tangan aku ialah hadiah ulang tahun kelahiran. Hadiah ini ingatkan tentang insan kaum Adam yang membawa aku ke dunia ini. Insan kaum Adam itu juga mahu kehidupan aku seperti jam tangan. Boleh bergerak ke mana-mana tetapi tidak boleh keluar daripada kaca. Tetapi hasrat yang tersemai di hati aku memecahkan kaca tersebut dan aku keluar daripadanya.

Penglihatan aku diusik oleh dua makhluk yang berkaki empat. Melihat ibunya menyusu anak mengingatkan tentang insan kaum Hawa yang membawa aku ke dunia ini. Tangisan insan tersebut masih dapat didengari dalam telinga aku. Memori.Ketika aku kecil mengimbas kembali dalam minda. Insan yang begitu sayangkan aku tidak sokong hasrat aku, malah berada di tempat menyalahkan hasrat aku. Luka yang dibuat oleh insan tersebut begitu dalam dan tidak boleh disembuhkan begitu sahaja.

Penglihatan aku diusik lagi pada kali kedua. Tetapi kali ini oleh sekumpulan makhluk yang berkaki empat yang mengembek. Melihat mereka mengingatkan aku tentang insan-insan yang begitu sayangkan aku. Tanpa disedari, ain aku dibanjiri. Tetapi, aku tidak mahu menunjukkan kelemahkan aku kepada dunia ini.

Melihat awan yang mendung di langit yang tiada sempadan mengundang aku keluar daripada kenderaan yang aku kembara. Tanpa pertanyaan, hujan membasahi tubuh. Ain aku sudah menjadi merah. Terima kasih. Hanya itu sahaja luahan daripada aku kepada-Nya. Kerana-Nya, aku dapat sembunyikan kelemahan aku.

Perjalanan yang jauh terhenti di sebuah gerai. Aku mengembus nafas selepas memenuhkan perut.

Pendengaran aku diusik oleh bunyi raja burung. Aku melihat dia terbang ke arah mentari tanpa sebarang ketakutan. Tanpa disedari, bibir aku melengkung.

Tidak tahu bilakah perjalanan ini akan sampai ke penghujung. Tetapi semangat yang ada pada diri akan ada seperti api yang membara. Dan aku akan mejadi seperti helang.

____________________

Aishnavi a/p K. Vijayan dilahirkan di Kuala Lumpur dan membesar di Tanjung Sepat, Selangor. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Sri Langat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Sepat. Aishnavi ada minat membaca dan menulis karya Bahasa Malaysia dan Tamil. Beliau ingin mencungkil kebolehan menghasilkan karya pelbagai genre.