Kaum India dalam Cerpen: Bahagian 4

Individu bernama S. Maartandan Suppiah mula terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia pada tahun 2017 menerusi esei berasaskan kajian peringkat kedoktoran. Menerusi antologi Meredah Kabus (2021), beliau juga muncul sebagai penulis karya kreatif, khususnya cerpen.

Watak-watak yang diketengahkan dalam cerpen “Janji Itu Suci” merupakan orang Tamil yang menjadi penoreh di ladang getah. Kini, Letchumi sudah menjadi doktor pakar dermatologi tetapi beliau sentiasa teringat akan kehidupan di estet semasa kecil.

Diceritakan bagaimana majoriti pekerja di Estet REM, Kota Tinggi, Johor pada awal tahun 1960-an adalah masyarakat India (Tamil). Ladang itu serba kekurangan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

Unsur kepercayaan kepada Tuhan dan maklumat makanan kaum India turut disajikan dalam cerpen “Diburu Lintah Darat”. Misalnya, watak Laxmi [bukan Letchumi dalam cerpen tadi] berdoa dalam hati supaya anak tunggalnya, Maran (17 tahun), segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Digambarkan juga amalan lazim dalam budaya India-Hindu, iaitu “membersihkan diri dan menunaikan sembahyang”. Amalan berwuduk dan bersolat dalam kalangan orang Islam dipromosi secara meluas dan diketahui umum. Cerpen seperti ini pula mampu membantu masyarakat majmuk memahami amalan kaum India-Hindu.

Selain berdoa “Tuhan, tolonglah tunjukkan cahaya kepada anakku ini”, Laxmi mengingatkan Maran: “Pastikan juga kamu sembahyang sebelum ke sekolah.” Karya Sastera Kebangsaan seperti ini amat membantu pembaca memahami realiti hidup dan budaya kaum India kerana dipersembahkan dalam Bahasa Malaysia dan boleh dibaca oleh semua.

[Ulasan penuh dalam Kumpulan Esei SB]

____________________

Uthaya Sankar SB lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak, serta kini tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Uthaya mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya di seluruh negara sejak tahun 1999.