Kehidupan Manusia: Tindakan dan Akibat

Kita dilahirkan ke dunia ini dengan bersebab dan tanpa sebab. Jika kita menyumbang sesuatu, walau sekecil mana dan cuma sesama insan, maka bermakna sungguhlah kehidupan ini; baik untuk kita atau orang lain.

Setiap tindakan kita sebagai manusia pasti ada akibatnya. Sama ada akibat buruk atau baik; semua tertakluk pada cara kita mengendalikannya.

Setiap insiden yang berlaku, sepanjang kita benafas di dunia, pasti bersangkut-paut. Tanpa kita sedar atau tidak, segala tindakan kita walaupun besar atau kecil sudah pasti akibatnya adalah untuk masa terdekat dan akan memberi kesan yang lain pada masa hadapan.

Jika A melakukan sesutau atau membuat keputusan tertentu, akibatnya bukan untuk A sahaja, malah tindakan kecil atau besar itu akan memberi impak kepada B, C, D, E, F, G dan seterusnya hingga memberi impak pada masa hadapan yang tidak tahu bagaimana keadaannya.

Saya tidak perlu mencari contoh orang lain. Contoh kehidupan saya sendiri sudah mencukupi.

Saya dilahirkan di Pahang. Sementara itu, ibu bapa saya orang Johor. Punca saya dilahirkan di Pahang disebabkan oleh bapa dan kerjanya.

 Saya mudah ke Kuala Lumpur. Perjalanan dari Bentong ke Kuala Lumpur cuma memakan masa sejam. Jika ibu bapa saya berkahwin dan bermastautin di Johor, sudah pasti saya tidak dapat sering ke Kuala Lumpur. Malah, saya mungkin sering ke Singapura dan sudah bekerja di sana.

Sejak kecil, saya disogokkan dengan filem dan buku, akibatnya saya meminati filem, buku dan menulis. Saya tidak tahu apa akibatnya pada masa akan datang pada buku-buku yang saya miliki dan tulisan saya. Apa yang terjadi nanti adalah berpunca daripada kegiatan saya sekarang.  Siapa yang akan terima kesannya nanti, saya tidak pasti.

Contoh sejarah yang berkaitan dengan saya dan kaum India pun boleh dikaitkan.  British meminati Tanah Melayu, saya pun dilahirkan di sini. Kalau tidak, sudah pasti saya dilahirkan di India dan pasti tidak tahu menulis dan membaca dalam Bahasa Malaysia.

Jika parti-parti politik seperti UMNO, MCA dan MIC tidak bergabung untuk mendapatkan kemerdekaan, sudah pasti kita masih di bawah jajahan British dan bahasa kebangsaan kita masih Inggeris dan kita masih  menyanyikan lagu God Save The Queen.

Jadi cuba lihat diri anda, keluarga, masyarakat sekeliling, pakaian, makanan, peralatan rumah, malah binatang peliharaan sekali pun; pasti ia ada dan terjadi dengan suatu tindakan oleh seseorang. Hingga kita tidak tahu siapa mereka itu.

Waktu pada jam tangan atau telefon kita sekarang sudah ditentukan oleh Tun Mahathir pada tahun 1981.

____________________

M. Mahendran mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil untuk akhbar dan majalah pada tahun 1987. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Cerpen-cerpen Mahendran turut termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung yang memuatkan karya-karya terpilih Mahendran.