“Dua cadar lagi, lepas itu aku kena siapkan langsir Kak Nor pulak,” kata Mek Nad yang kelihatan semakin penat menjahit kain-kain yang ditempah oleh orang-orang di kampungnya. Senja pun berlalu, kedengaran titisan air hujan di atas atap rumah. Angin di luar semakin kuat sehinggakan langsir-langsir pada tingkap mula berterbangan. Mek Nad yang sibuk menjahit dari siang tidak menyedari masa yang telah berlalu, lalu dengan pantasnya bergegas ke luar rumah untuk mengambil baju-baju di ampaian. Kedengaran azan maghrib sedang dilaungkan dari masjid Al-Hidayah yang terletak berhampiran dengan rumah Mek Nad.
Nur
Nadia Saifuddin atau lebih mesra dipanggil Mek Nad oleh warga kampung di
Kampung Guai Machang di Kelantan itu bekerja mengambil upah sebagai tukang
jahit. Tukang jahit yang kini berumur 26 tahun itu pernah digelar janda muda
oleh orang kampung 4 tahun yang lalu. Bekas suaminya, Iskandar, yang pernah
ditangkap basah dengan isteri orang di atas ranjang itu langsung tidak
bertanggungjawab ke atas rumah tangga yang didirikan oleh mereka berdua ketika
itu. Mek Nad yang bekerja siang dan malam untuk mencari rezeki halal demi
sesuap nasi itu diibaratkan sebagai alat pemuas nafsu dan mesin wang tunai
untuk Iskandar. Alam perkahwinan yang sepatutnya memberikan nikmat dan
kebahagiaan dalam hidup Mek Nad telah bertukar menjadi alam penderitaan dan
pengkhianatan.
Jam
di dinding menunjukkan pukul 8.30 malam. “Nasi putih, Thukpa, Dum Olav dan gulai darat ayam ya jaan,” kata Mek Nad kepada suaminya sambil
menghidangkan makanan di atas meja. Shaheer Nawaz adalah nama sebenar suami
kedua Mek Nad tetapi dipanggil ‘jaan’
dengan manja oleh isterinya. Shaheer berasal dari Srinagar, Kashmir. Malaysia
telah pun menjadi rumah keduanya. Jejaka tinggi dan tampan dari Kashmir itu
datang ke tanah air pada 6 tahun yang lalu untuk membantu ayahnya, Nazrullah
Nawaz yang merupakan pembekal rempah dan safron asli dari Kashmir. Setelah
menolong ayahnya di cawangan Johor Bahru selama 3 tahun, akhirnya Shaheer membuka
cawangan kedua di Kelantan. Dia juga berjaya membuka gedung tekstil miliknya
sendiri di mana dia mempamerkan dan menjual koleksi fabrik sutera, Pashmina dan banyak lagi dari Kashmir.
“Saya
tadi sudah makan di kedai. Awak makanlah. Saya penat. Saya masuk kamar dulu,”
kata Shaheer dengan nada yang lemah. Mek Nad merenung ke arah suaminya dengan
pandangan yang tajam. “Bila aku masak, dia tak nak makan. Bila aku tak masak,
membebel,” berbisik Mek Nad dalam hatinya. Pada malam itu, Mek Nad menjamu
selera berseorangan dan tatkala menjamu hidangan di atas meja, dia terdengar
bunyi dari bilik tidurnya seolah-olah ada seseorang sedang bersembang. “Dia
kata dia penat tapi boleh pulak bersembang kat telefon tu. Bini seorang dekat sini
tak peduli langsung. Eloklah,” kata Mek Nad sambil mencebik bibirnya.
Kedengaran
jam berdering pada pukul 5 pagi. Shaheer bangun lalu pergi ke bilik air untuk
mandi. Kebiasaannya, Shaheer akan bertolak ke masjid pada pukul 5.40 pagi untuk
menunaikan solat subuh pada pukul 5.51 pagi. Dia hanya membawa dirinya dan
sejadahnya untuk bersolat. Telefon bimbitnya pula ditinggalkan di rumah. Mek
Nad yang terkejut ketika jam berdering itu hanya berbaring dan memejamkan
matanya. Dia tahu suaminya akan ke masjid dan itulah saat yang dinanti-nantikan
oleh Mek Nad. Sejurus selepas suaminya beredar dari rumah, Mek Nad mencapai
telefon bimbit suaminya dan segera memasukkan kata laluan untuk meneliti
senarai panggilan. Panggilan terakhir yang diterima pada malam tadi adalah
daripada emak mentuanya yang berada di Kashmir. “Masih lagikah mak mentuaku tak
berpuas hati dengan perkahwinan kami berdua? Dah bertahun mendirikan rumah
tangga. Susah sama senang, kami berdua juga yang harungi tapi ...,” fikir Mek
Nad sambil mengimbas kembali memori lama yang menghantui dirinya.
“Sayang,
mari salam dulu. Saya mahu pergi ke kedai,” kata Shaheer kepada isterinya yang
sedang mengemas meja makan selepas sarapan pagi tadi. Mek Nad pun segera pergi
ke halaman rumahnya untuk bersalam dengan suaminya. “Jalan baik-baik ya jaan,” balas Mek Nad dengan senyuman
yang manis. Shaheer pun memulakan perjalanan ke kedainya yang terletak di Pasir
Mas. Mek Nad menutup pintu rumahnya lalu berjalan ke ruang tamu. Dia duduk di
situ dan mula kelihatan gelisah memikirkan panggilan daripada mak mentuanya.
“Tolonglah jangan apa-apakan rumah tangga saya ni. Saya dah penat digelar
janda. Saya pun tak sudi untuk menerima madu,” kata Mek Nad sambil melihat ke
arah gambar pernikahannya yang tergantung pada dinding ruang tamu itu. … [bersambung dalam antologi Lakaran Diri]
____________________