Luhur

Aku sedang bersiap untuk pergi kerja. Sudah lewat. Hari ini, aku pasti lambat. Namun, aku tahu akan sampai di tempat kerja sebelum waktu masuk kerja. Aku akan punch-in tepat pada masanya.

Biasanya aku akan bersiap lebih awal dan duduk di ruang tamu sambil membaca. Aku juga menghirup secawan kopi panas. Kopi, teman setia setiap pagi. Teman yang memberi semangat sepanjang hari. Lebih istimewa kalau dibancuh dengan susu lembu.

Kadang-kadang, Appa akan bersembang denganku setelah pulang daripada berjoging. Kami akan berbual-bual tentang keadaan semasa dan yang pasti tentang adikku.

Pagi tadi, aku dengar deringan loceng untuk bangun pada telefon pintar, tetapi aku matikan. Malam tadi aku pulang lewat. Banyak laporan dan dokumen yang perlu disiapkan. Badan terasa terlalu letih. Letih sungguh sehingga tidak dapat bangun.

Malam sebelumnya, apabila sampai di rumah, Krish, adikku menunggu di pintu. Dia siap memberikan segelas air kepadaku setelah masuk ke dalam rumah. Dia memang rapat dengan aku. Tahu segala-galanya tentangku. Sejak kecil dia teman main dan bergaduh. Walaupun jarak umur kami hampir 10 tahun, kami sangat rapat.

Adik seorang insan istimewa yang telah mengambil hati semua. Semua sayang pada dia. Dialah penghibur hati kami sekeluarga. Semua aksi aku dan kakak, dia akan ingat dan buat lawak. Setiap kali ada majlis kekeluargaan, dia menjadi tumpuan. Adik pandai bermain gitar dan akan mendendangkan lagu-lagu kegemarannya setiap kali ada majlis.

Sedang aku bersiap, aku dengar ketukan pada pintu bilik. Tidak henti-henti. Aku pasti itu adalah Krish.

“Krish, tunggu. Saya akan keluar selepas bersiap. Jangan asyik ketuk pintu,” jawabku setelah mendengar ketukan tersebut.

Tuk…tuk…tuk…

Ketukan masih tidak henti. Aku semakin geram.  

“Krish, turun bawah dulu.”

‘Sudahlah aku lewat. Dia ini lagi …,’ fikirku tanpa mengeluarkan kata-kata. Aku takut mengeluarkan kata-kata yang akan menyinggung perasaan Krish. Aku jarang memarahi atau menyinggung perasaan dia.

“Krish! Tunggu di bawah. Nanti saya turun,” suaraku semakin tinggi.

Ketukan tersebut masih tidak berhenti. Aku hampir hilang sabar.

‘Ini akibatnya melayan dia dengan penuh manja. Walaupun sudah besar, masih keanak-anakan,’ kata-kata ini terlintas dalam kepala.

 Aku langsung tidak pedulikan ketukan tersebut dan terus bersiap. Aku mengambil beg tangan dan segala keperluan. Selepas sepuluh minit, aku buka pintu. Kedua belah pipiku mula basah melihat Krish berdiri di pintu dengan semangkuk nasi goreng, siap dengan sesudu nasi untuk menyuapku. Aku hanya mampu membuka mulut tanpa sebarang suara.

“Makan dulu. Nanti lapar. Awak tak tahan lapar. Sebab itu saya minta Amma sediakan nasi goreng,” katanya dengan senyuman yang cukup manis.

Lidahku kelu. Aku terlalu pilu untuk meluahkan kata-kata dan terus memeluk Krish. Begitu luhurnya hati seorang insan bergelar adik. Aku tersalah sangka.

Sebelum aku masuk ke dalam kereta, Krish memberikan bekas makanan berisi nasi goreng untuk dimakan di pejabat.

Insiden dekat pintu bilik menemani perjalanan ke pejabat.

____________________

Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, Anuradha berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Meredah Kabus (2021), dan Serpihan Memorabilia 2020: Suara (2021). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.