Manusia dan Ketakutan

Manusia tidak boleh hidup di dunia ini tanpa perasaan takut. Sejak manusia dilahirkan perasaan takut menurutinya. Tidak ada sesiapa pun boleh menafikan takut.

Bayi yang baru lahir menangis kerana lapar. Bayi itu takut tidak akan kenyang kelak. Begitu juga masa sakit, kencing dan berak. Bayi tersebut tidak selesa dan pasti perasaan takut melanda jiwa kecil itu.

Kenapa perasaan takut wujud? Ia adalah suatu misteri yang masih tidak terjawab.

Semakin membesar, banyak perkara baharu yang menakutkan manusia.

Ibu atau bapa akan marah jika anak tidak melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Seorang ibu pasti akan marah pada anaknya yang enggan makan atau menuruti kata-katanya. Perasaan takut tanpa diundang akan muncul di benak anak kecil itu. Walaupun ketakutan itu muncul, kesilapan yang sama pasti berlaku dan proses yang sama pula sentiasa berulang.

Di sekolah, guru pula menjadi punca ketakutan seorang murid. Kerja sekolah yang terbengkalai, pakaian seragam yang tidak lengkap dan tindak-tanduk murid itu sendiri yang nakal akan mengundang kemarahan guru.

Kemarahan guru pula akan mencetuskan ketakutan murid untuk berdepan dengan mereka. Murid yang bijak akan membetulkan kesilapan, manakala murid yang degil akan mengulang kesilapan yang sama walaupun tahu mereka akan takut kemudian.

Selain daripada itu, semua murid dalam ketakutan untuk menghadapi peperiksaan. Setiap kali munculnya peperiksaan dan keputusannya, ketakutan mesti melanda jiwa, biar cerdik mana pun seorang murid itu.

Sesudah tamat pengajian di sekolah menengah, ketakutan lain pula menyusul. Ketakutan untuk melanjutkan pengajian tinggi. Takut akan dapat tempat di jurusan yang dipinta atau tidak. Keadaan kewangan keluarga yang rumit bagi menampung sepanjang pembelajaran mereka seperti mencekik-cekik pula. Tiga atau empat tahun di institusi pengajian tinggi walaupun ada gembiranya tetapi tetap ada ketakutannya.

Bagi mereka yang bekerja selepas pengajian pula akan takut untuk menghadapi dunia pekerjaan. Kerja perlu disukai. Gaji perlu mencukupi. Perlu menghadapi kerenah bos dan rakan sejawat yang lain. Malah di tempat kerjalah banyak perkara akan berlaku hingga menakutkan hingga sukar untuk bangun pagi dan menghadap hari-hari mendatang.

Di usia muda pasti semua ada perasaan untuk berpasangan. Mencari pasangan yang sesuai pun menjadi masalah utama. Jika seorang lelaki berminat pada seorang gadis pasti jiwanya akan sentiasa takut dan berdebar untuk memastikan si gadis akan terima lamarannya atau tidak.

Dalam alam percintaan itu pun bukan mudah untuk dihadapi. Sudah pasti banyak perkara yang menaikkan kemarahan. Bermasam muka adalah lumrah dalam alam itu. Begitu juga ketakutan sentiasa akan berada di hati kedua-dua mereka untuk tetap setia dan tidak ada aral melintang hingga ke jinjang pelamin.

Selepas berumahtangga, ketakutan untuk hidup akan menjadi lebih dahsyat lagi jika seseorang itu tidak tahu untuk mengurus kewangan. Segala bil dan hutang saban bulan sahaja menjadi beban yang sukar dielakkan. Ketakutan ini akan berterusan selagi kewangan keluarga tidak stabil.

Lagi satu adalah penyakit. Penyakit boleh membunuh manusia. Jika cinta boleh membawa manusia ke malam pertama, penyakit pula boleh membawa manusia ke alam kubur. Baik penyakit ringan atau kronik, manusia tetap akan takut untuk menghadapinya.

Akhir sekali, kematian.  100% manusia akan takut apabila mendengar perkataan ‘mati’. Lebih-lebih lagi warga emas dan mereka yang berpenyakit kronik. Sesiapa pun tidak boleh terlepas daripada ini.

Takut?

____________________

M. Mahendran mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil untuk akhbar dan majalah pada tahun 1987. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Cerpen-cerpen Mahendran turut termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung yang memuatkan karya-karya terpilih Mahendran.