Pengkhianatnya ialah Masa, Bhrama!

“The saddest thing about betrayal is it never comes from your enemies.”

Pembuka kata novel yang sedang aku baca ini membuatkan aku tersentak sedikit. Tidak dapat dinafikan. Pengkhianatan sememangnya datang daripada orang yang kita percayai. Barulah namanya pengkhianatan.

Aku banyak berfikir belakangan ini. Kehidupan aku bagai tiada hala tujunya. Kadang-kala aku takut hendak bayangkan apa yang menanti di penghujung jalan. Mungkin itu sebabnya aku tergerak hati menulis untuk kau hari ini.

 Sudah hampir sedekad kita tidak bersembang. Jika kau ada di sini, sudah tentu fikiran aku yang bergolak ini kau tenangkan. Aku sudah cukup letih berdolak-dalih dengan diri  sendiri. Banyak alasan yang aku berikan semata-mata untuk tenangkan hati yang keliru ini.

Aku cuba mencari kepuasan hidup menerusi kerjaya aku. Nampaknya menjadi seorang guru yang baik, bukanlah mudah sangat. Mengajar budak-budak sekarang terlalu mencabar, Bhrama. Kehidupan mereka tidaklah semudah kehidupan kita di masa lampau. Cabaran mereka amat berbeza daripada liku kehidupan kita dahulu. Aku selalu bersyukur kerana tiada anak yang perlu dibesarkan. Sudah tentu aku kandas, Bhrama.

Ya, aku faham. Aku ingat semua cerita duka hidup kau. Kau mula bekerja sejak berumur 15 tahun dan menyekolahkan adik-adik kau. Ibu kau amat bertuah punyai kau sebagai anak sulung. Tanpa sebarang ragu-ragu, kau ambil alih tugas sebagai ketua keluarga selepas kematian ayah kau.

Kau tahu, adik lelaki engkau sudah pun meninggal dunia? Serangan jantung di tempat kerja, kata abang saudara kau. Adik perempuan kau masih sama. Tamak halobanya masih tidak kurang. Mungkin sesetengah manusia begitu ya, Bhrama?

Bhrama, aku cukup bangga mengenali kau. Semua yang mengenali kau punyai andaian yang sama. Mereka masih suka berkongsi cerita lampau bersama kau. Aku tahu kita sudah lama tidak bersua. Kekangan komunikasi antara kita tidak dapat dielakkan. Sememangnya, aku akur dengan kehendak dan aturan kehidupan ini.  Dalam kasih aku terhadap kau, aku kadang kala sedih. Sedih kerana aku rindu suara dan senyum manis kau.

Tapi segala janji tetap aku tunaikan. Hasrat kau untuk aku menyanyi dalam mana-mana album lagu, ada aku tunaikan beberapa tahun lepas. Prosesnya memakan masa sedikit, tetapi aku masih tidak dapat lupakan perasaan aku sewaktu mendengar suara aku sendiri bergema, memenuhi ruang udara dewan itu. Naik bulu roma aku! Tapi kau tiada di situ, Bhrama! Aku menangis malam itu.

Tinggal keinginan kau untuk aku menjadi seorang penulis. Akan aku tunaikan.

“Don’t stop doing what you love!” Demikian pesanan kau.

Aku tidak akan berhenti, tapi kau masih tidak akan baca hasil tulisan aku, bukan? Ini bukan pengkhianatan, Bhrama?

Sedekad ini, aku balik ke rumah yang tiada bukti kehadiran kau. Aku sudah lupa bau dan sentuhan kau. Ramai yang keluar dari hidup aku sebelum masuk sepenuhnya. Aku juga tidak pernah berusaha menahan sesiapa keluar daripada hidup aku. Pintu hati aku masih terbuka, hanya kerana aku tahu kau sememangnya tidak akan kembali. Aku selerakkan rumah seperti yang kau selalu lakukan dahulu. Bukti adanya kelangsungan hidup dalam rumah, aku wujudkan sendiri.

Tiadanya kehadiran kau dalam kehidupan seharian aku sudah aku terima seadanya seperti yang aku katakan tadi. Tapi, Bhrama kebenaran ayat dari novel yang aku sedang baca ini, tidak dapat disangkal sama sekali. Kau yang aku cintai sepenuh hati telah khianati aku. Aku paksa diri melepaskan kau seadanya.

Bhrama, kewujudan kau di dunia ini, aku samakan dengan konsep Bhraman: kebenaran, pengetahuan, dan tak terbatas.

Begitu banyak yang aku pelajari dalam jangka masa enam tahun itu. Segala ilmu, kebenaran kehidupan dan pengetahuan yang kau kongsi bersama, sentiasa disaluti kasih sayang dan keikhlasan. Kau perkenalkan aku dengan kehidupan yang jauh berbeza dengan usia muda aku dan penuh berinspirasi.

Aku cuba berbuat yang sama sekarang walaupun seringkali gagal. Aku tidak kuat seperti kau, Bhrama! Cuma, aku tidak berhenti mencuba. Ketekalan hati aku lahir dari cinta yang kau pernah berikan tanpa batas. Dalam dunia nyata ini, ketiadaan kau diganti dengan segala yang kau tinggalkan: keindahan, kebahagiaan, dan cinta.

Cinta kau mutlak, Bhrama!

Aku sedar sekarang. Yang mengkhianati aku bukannya kau, Bhrama. Kau telah hadiahkan segala kebaikan dunia ini kepada aku. Kau telah berikan aku secukup-cukupnya apa yang diperlukan dalam tempoh waktu kita yang singkat. Pengkhianatnya ialah masa, Bhrama!

Masa, rakan yang menderhaka?

Kotak keranda kau telah aku tutup 10 tahun lepas. Dalam rindu aku pada kau, nukilan ini biar aku hadiahkan kepada alam semesta. Mungkin pengkhianatan oleh masa ada tujuannya tersendiri. Mungkin satu hari nanti, apabila aku lebih tua, akan aku faham aturan ini.

Hari sudah lewat malam. Isteri kau ini sudah letih. Tunggu aku, Bhrama. Mungkin suatu hari nanti, masa akan menjawab penderhakaannya dan kita akan bertemu semula.

____________________

 

Chelvi Ganesan bergelar pendidik di sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak. Beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Ekonomi. Bagi Chelvi, penulisan kreatif merupakan kaedah mencari ketenangan hidup; selain membaca, melukis, menyanyi serta mendekatkan diri dengan alam. Beliau gemar menulis dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil di media sosial.