Saya dan Cerpen

Membaca dan menulis cerpen adalah menjadi minat dan kesukaan saya sejak di bangku sekolah rendah dan menengah.

Cerpen yang mudah difahami, mempunyai unsur-unsur saspens dan humor akan menjadi pilihan utama saya untuk terus membaca. Begitu juga dengan cerpen yang mengandungi pengetahuan baharu, pasti akan menarik untuk membaca.

Sebuah cerpen tidak harus berjela-jela panjang. Walau bagus mana pun kisah itu, ia tidak akan menimbulkan rasa ‘cerpen’ dalam diri saya, malah ia akan lebih cenderung seperti membaca novel sahaja.

Sebuah cerpen harus relevan pendek; yakni lebih kurang 15 muka surat atau kurang.  Jika lebih daripada itu, ia akan membuat paksaan untuk menghabiskan ‘cerpan’ itu. Saya suka membaca cerpen dalam sekali duduk sahaja, kecuali ada gangguan.

Watak-watak penting dalam cerpen itu perlu kurang daripada 5 orang. Lebih ramai watak akan menyusahkan saya untuk mengingati kesemua mereka. Nama-nama watak pun perlu pendek dan sederhana. Jika dua atau tiga nama muncul dalam awal perenggan, ia akan merunsingkan saya.

Sebuah cerpen yang bagus untuk saya perlu memberi kesan selepas membacanya. Ia perlu menggembirakan, menyedihkan dan membuat saya berfikir sejenak. Jika sungguh bagus, mungkin saya akan ulang bacaan saya. Jika langsung tidak faham dari awal, saya tidak akan meneruskan pembacaan saya.

Saya masih ingat semasa di sekolah rendah, saya berpeluang membaca buku terbitan tahun 1950-an yang bertajuk Enam Belas Cherita Pendek. Tidak ingat nama-nama penulisnya. [Mungkin Dua Belas Cherita Pendek (1959) oleh Harun Aminurrashid.—ed]

Yang menyeronokkan ialah kesemua 16 cerita pendek itu sungguh melucukan hingga saya pernah ulang bacaan saya. Kini jarang ketemui cerpen-cerpen berunsur jenaka. Saya sendiri tidak tahu bagaimana cara untuk menghasilkan sebuah cerpen yang 100% kelakar. Humor itu perlu asli dan mampu membuat kita berfikir. Jika kelakar yang sengaja dibuat, ia pasti tidak akan menarik minat. Ia umpama membaca sebuah cerpen bodoh.

Cerpen yang membawa tema yang sama seperti berpuluh-puluh tahun lampau juga tidak akan menarik minat saya, kecuali disampaikan dalam hidangan berbeza.

Sebuah cerpen bukan sahaja dalam bentuk menyampaikan cerita. Teknik penulisan seseorang juga akan mempengaruhi pembacaan saya.

Semua penulis mempunyai cara persembahan yang berbeza. Cara penulisan penulis tahun-tahun sebelum merdeka dan selepas merdeka jauh perbezaannya. Begitu juga dengan penulis mapan dan penulis muda. Cara berfikir, keadaan sekeliling, negara yang diduduki dan pembacaan mempengaruhi tulisan yang dihasilkan.

Setiap pembaca pasti mempunyai citarasa berbeza. Mungkin ada yang suka membaca cerpen yang relevan panjang dan malah ramai juga yang menyukai cerpen-cerpen terpendek seperti yang disiarkan di portal Sastera Kavyan.

Yang penting, cerpen itu menarik untuk dibaca.

Cerpen yang bagus pasti akan dkenang bertahun-tahun lamanya.

____________________

M. Mahendran mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil untuk akhbar dan majalah pada tahun 1987. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Cerpen-cerpen Mahendran turut termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung yang memuatkan karya-karya terpilih Mahendran. Baca lebih banyak karya Mahendran [di sini].