Seetha Ann Michelle, Pengusaha Kek

Seetha Ann Michelle dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur berkecimpung dalam bidang pembuatan kek sejak 2014. Beliau merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Beliau yang kini berusia 26 tahun berkahwin pada usia awal sebelum meneruskan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (Diploma in Early Childhood Education). Selain bekerja sebagai guru tadika, Seetha Ann menjalankan perniagaan menjual kek secara sambilan iaitu BakeologybySeethaAnn. Katanya, tidak ada inspirasi khusus untuk memilih nama itu. Akan tetapi, Seetha Ann mengaku mahu namanya dikenali. Anuradha Chelliah berbual dengan usahawn ini untuk membantu orang ramai lebih mengenalinya.

Apakah yang membuatkan anda menceburi bidang ini?

Saya mula membuat kek sebagai hobi semasa berumur 19 tahun. Keluarga dan kawan-kawan memberitahu bahawa kek saya sangat sedap dan juga menarik. Kemudian saya mengambil keputusan untuk mengikuti kelas membuat dan menghias kek. Saya mula menjual kek kepada kenalan secara kecil-kecilan kerana saya suka bekerja tanpa tekanan. Saya juga teringin untuk memulakan perusahaan sendiri. Saya ingin menjadi inspirasi kepada sebilangan besar ibu-ibu muda di luar sana supaya mempunyai identiti sendiri kerana apabila saya mulakan perusahaan ini pada usia 19 tahun, saya sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak. Pada pandangan saya, setiap wanita boleh berjaya dengan usaha yang gigih.

Anda mengikuti kursus berkaitan sebelum menjadi seorang pengusaha kek. Apakah tempoh bagi satu-satu kursus?

Mula-mula saya cuma mengunakan YouTube untuk belajar membuat kek. Saya juga membeli buku-buku untuk membelajar cara-cara membuat kek. Kemudian, saya menghadiri kelas membuat kek dan kelas menghias kek dengan beberapa pengusaha kek terkenal. Semua kelas ini memberi banyak faedah. Saya mempelajari pelbagai teknik dan petua membuat serta menghias kek. Setiap pengusaha kek mempunyai kehebatan mereka sendiri yang boleh dijadikan tunjuk ajar pada bila-bila masa. Dalam apa jua bidang sekalipun, mencari ilmu itu harus berterusan.

Bagaimanakah penglibatan kaum India dalam bidang ini?

Penglibatan kaum India dalam bidang ini amat kurang pada masa saya mula menceburkan diri. Kini, ramai wanita India ingin berdikari dan memulakan perniagaan sendiri. Mereka menghadiri kelas membuat kek secara dalam talian dan memulakan perniagaan kecil-kecilan. Ini sebenarnya membantu mereka menjana pendapatan sendiri. Secara tidak langsung, menyumbang kepada perkembangan ekonomi keluarga. Sebenarnya, perusahaan kek ini tidak memerlukan modal yang banyak kerana seseorang individu itu boleh bekerja dari rumah. Sebagai permulaan, seseorang boleh gunakan peralatan dapur yang sedia ada di rumah.

Apakah reaksi pelanggan terhadap kek yang anda hasilkan? Adakah mereka meminati reka bentuk pada kek yang anda buat?

Majoriti pelanggan sangat gembira dengan rekaan kek saya. Kadangkala pelanggan akan memberi idea dan meminta saya membuat rekaan baharu. Saya sentiasa mengilham dan mengusahakan idea baharu mengikut trend semasa. Hiasan dan warna kek yang menarik memberi kepuasan kepada pelanggan. Ini sangat penting dalam perniagaan.

Cuba ceritakan secara ringkas bagaimana reka bentuk pada kek dihasilkan.

Kek terdapat dalam pelbagai rasa dan bentuk. Membuat kek tidaklah sukar  tetapi perlu ada minat, perkakas dan bahan-bahan yang sesuai. Segala reka bentuk boleh dipelajari dari masa ke masa. Dari mula mengadun, membakar, menghias dan menghantar kek yang sudah siap kepada pelanggan adalah proses yang mencabar. Setiap satu harus dilakukan dengan teliti mengikut sukatan, masa dan citarasa. Respons pelanggan merupakan motivasi yang sangat berharga bagi saya.

Bagaimana anda membuat promosi untuk perusahaan anda?

Kebanyakan pelanggan saya adalah dari mulut ke mulut (word of mouth). Saya juga menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook (BakeologybySeethaAnn) dan Instagram (@bakelogy_byseethaann) untuk mempromosi perniagaan saya serta mendapat sokongan daripada orang ramai

Apakah rancangan dan impian masa depan anda dalam bidang ini? Apakah sokongan yang diberi oleh ahli keluarga anda?

Sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan merupakan motivasi bagi saya. Mereka membantu dengan mempromosikan perniagaan saya di media sosial. Suami saya memberi sokongan dan dorongan yang tidak terhingga kepada saya. Beliau menolong menghantar tempahan kepada para pelanggan dan membeli barangan keperluan untuk membuat kek. Impian saya adalah untuk meluaskan pengetahuan dalam bidang ini dan membesarkan perniagaan. Pada masa ini (semasa PKP), saya membuat kek sepenuh masa. Saya juga ingin membuka kelas untuk anak-anak muda pada masa akan datang dan berkongsi pelbagai teknik menghasilkan kek. Saya amat percaya setiap individu boleh berjaya sekirannya ada usaha dan kemahuan.

____________________

Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, Anuradha berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Meredah Kabus (2021), dan Serpihan Memorabilia 2020: Suara (2021). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.