Semuanya Akan Berubah

Kedengaran Skandha Shasthi Kavasam. Setiap pagi, lagu keagamaan ini akan berkumandang di rumah saya. Ini mesti ibu. Pastinya, dia sudah bangun awal pagi, mandi minyak bijan dengan shikakai dan membuat segala persiapan. Walaupun ibu telah berusia, dia tetap dengan pendiriannya. Dia akan buat apa yang dia rasa betul.

Kalau dulu, ibu akan mengejutkan kami adik-beradik, tetapi sekarang dia tidak begitu kisah. Bila hendak bangun, bangunlah. Tapi pastikan sebelum pukul 7 pagi semua sudah bersiap. Apabila lagu keagamaan mula kedengaran, seorang demi seorang akan bangun dari katil dan berlumba-lumba ke bilik mandi.

“Eh, saya dulu,” kata Amutha.

“Saya yang bangun dulu. Tengok rambut saya sudah diletak minyak,” sambung Rajan dan terus masuk ke dalam bilik air.

Saya biasanya akan bangun awal untuk membantu ibu di dapur. Tose, idli, kari ayam dan kambing menjadi kemestian. Ibu juga akan memasak masakan nabati kerana dia tidak makan daging dan ikan.

Itulah seronoknya apabila semua tinggal bersama di bawah satu bumbung, lebih-lebih lagi apabila musim kemeriahan sebegini menjelang. Kalau dulu, memang lagi seronok semasa datuk dan nenek masih bersama.

Sejak dua minggu yang lepas, semua orang di rumah nampak sibuk. Sibuk dengan macam-macam kerja. Buat ini. Buat itu. Kadang-kadang saya berasa pelik untuk satu hari yang bakal menjelang, macam-macam perlu dibuat dan disiapkan. Dalam kepenatan pun, semua menjadi rajin. Rajin berkemas, rajin mengecat, rajin membuat kuih dan rajin membeli-belah.

Ayah biasanya akan membuat kerja-kerja mengemas. Dia akan mengemas dan menghias rumah. Dia seorang yang suka bekerja dan ringan tulang. Ayah seorang tukang jahit; juga seorang pereka fesyen. Biasalah, musim-musim begini dia akan sibuk di kedai.

Hampir setiap hari, dia pulang lewat. Dia mesti menyiapkan tempahan yang diambil daripada pelanggan-pelanggan setianya. Tetapi, dia tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah. Ayah telah menjahit langsir baharu untuk dipasang di rumah dan juga telah menyiapkan dua pasang pakaian tradisional untuk saya dan Amutha.

Dapur menjadi tempat kegemaran ibu. Dari pagi sampai malam. Dia menjadi tukang masak yang paling hebat. Segala jenis kuih tradisional akan dibuatnya. Yang pasti murukku, achi murukku, athirasam, nei urundai, ketti urindai, kal urundai dan chippi mesti ada. Di samping itu, biskut-biskut kegemaran kami bertiga juga akan dibuat.

Sebelum menjelang hari tersebut, saya pula dipesan oleh ibu untuk membeli pelbagai barang. Jangan lupa beli ini, beli itu. Setiap hari, selepas kerja, saya akan singgah di Kedai Runcit Ramasamy untuk membeli barang-barang yang dipesan oleh ibu.

“Deepavali vanthuricha?” getus Dhurga, anak Pak Cik Ramasamy yang juga sibuk akhir-ahkir ini. Dia membantu ayahnya di kedai. Memang menjadi amalan untuk bertanya “Deepavali sudah tiba?” kepada orang yang sibuk membuat persiapan.

Kedai Runcit Ramasamy adalah satu-satunya kedai yang menjual pelbagai barangan keperluan harian dan sembayang yang berdekatan dengan rumah saya. Jadi, mudahlah untuk saya membeli segala-segalanya untuk ibu.

“Ya, Dhurga. Pastinya, kamu pun sibuk. Sudah mula buat kuih-muih?” saya pula bertanya kepadanya.

“Sudah, akka. Sikit-sikit. Nanti pada hari tersebut, banyaklah hidangannya,” ujar Dhurga.

Walaupun Rajan sibuk dengan kelas dalam talian pada tahun ini, dia juga turut membantu ibu membuat segala persiapan. Semasa ibu membuat kuih, dia akan membantu; membantu makan kuih yang dibuat oleh ibu.

Semua orang suka melihat senyuman lebar pada wajah Rajan. Walaupun sudah berumur 17 tahun, dia sangat manja. Maklumlah, satu-satunya anak lelaki dan anak bongsu.

Amutha juga tidak kurang hebatnya. Dia suka menghias rumah dengan pelbagai idea-idea baharu. Dialah yang akan membuat kolem di hadapan rumah dan mengikat maalai untuk digunakan semasa upacara sembayang pada hari istimewa ini. Dia mempelajari cara-cara mengikat maalai daripada nenek. Setiap hari Jumaat, itulah kerja Amutha; memetik bunga melur yang ditanam di halaman rumah dan mengikat maalai.

Kami bertiga sentiasa seronok menunggu hari istimewa ini. Masakan kegemaran, pakaian baharu dan ang pow sentiasa ditunggu-tunggu. Tidak kira usia, kami bertiga menjadi anak manja ayah dan ibu.

Setelah kami bersiap dan sembayang bersama-sama, kami bertiga memohon restu daripada ibu dan ayah. Kemudian, kami sekeluarga ke kuil yang berdekatan untuk berdoa bagi kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.

Setiap tahun, Deepavali adalah perayaan yang ditunggu-tunggu. Kami akan makan bersama-sama dan menunggu kehadiran tetamu yang biasanya terdiri daripada rakan-rakan sekelas Amutha dan Rajan.

Jiran-jiran juga akan datang menziarahi kami. Pekerja-pekerja dari kedai ayah juga tidak ketinggalan untuk bersama kami.

Semuanya kenangan dua tahun yang lalu. Sejak tahun lepas, susulan pandemik Covid-19, kemeriahan menjadi suram sebab tiada kunjungan ke rumah. Hanya kami berlima di rumah. Kami bangun, berdoa, makan dan minum. Tiada kemeriahan dan keseronokan.

Tidak apa. Semuanya akan berubah. Tunggu sahajalah.

____________________


Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, Anuradha berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Meredah Kabus (2021), dan Serpihan Memorabilia 2020: Suara (2021). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.