Yoga dan Autism

Autism Spectrum Disorder (juga dikenali sebagai ASD) merupakan satu keadaan kompleks dalam diri seseorang individu. Autism menjadikan seseorang itu mempunyai kesukaran sepanjang hidup untuk berkomunikasi dan bagaimana seseorang itu melihat dunia persekitaran.

Walaupun dua individu disahkan mempunyai autism, tetapi tahap mereka berbeza. Ini dapat dilihat melalui perlakuan individu tersebut. Setiap individu autism mempunyai keunikan mereka sendiri.

Yoga semakin popular di negara maju dan juga di negara kita. Yoga dilihat sebagai satu instrumen yang popular dalam kalangan perawat untuk kanak-kanak autism. Yoga dikatakan mempunyai aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk mengatasi masalah autism dari segi fizikal, mental dan rohani.

Kanak-kanak autism biasanya tidak dapat berinteraksi dengan sempurna terhadap persekitaran. Mereka berasa janggal dan jarang dapat menyesuaikan diri. Ini menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat umum dan juga kanak-kanak tersebut.

Justeru, yoga menyediakan pelbagai aktiviti berstruktur dan berfokus yang dirancang khas untuk kanak-kanak autism. Aktiviti-aktiviti ini menjurus kepada komunikasi sosial, interaksi dan perkembangan skil motor.

Saya sempat mewawancara seorang jurulatih yoga bertauliah dari Sakthi School of Yoga, Jamunarani Aenpalagan dan seorang ibu, Krishna Veni yang mempunyai anak autism bernama Rashwin.

Jamuna mengadakan kelas yoga bagi melatih kanak-kanak autism. Beliau menjadi jurulatih yoga sejak tahun 2016 dan mula memberikan tumpuan terhadap kanak-kanak autism sejak tahun 2019. Beliau berpengalaman dalam memberikan terapai kepada kanak-kanak dan remaja autism. Sebagai seorang jurulatih yoga yang bertauliah, beliau mampu memberikan pendekataan yang terbaik bagi kanak-kanak dan remaja istimewa seperti ini.

Jamuna sudah berkeluarga dan mempunyai tiga anak lelaki. Beliau juga mengendalikan kelas yoga untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Berikut wawancara saya dengan mereka berdua.

Apakah perkaitan antara yoga dan autism?

Jamuna: Yoga merupakan satu instrumen yang sangat unik. Yoga memberikan fokus keseluruhan bagi badan, minda dan jiwa seseorang individu. Apabila saya mengikiuti kursus jurulatih yoga dan menjadi seorang jurulatih serta pengamal yoga, saya dapat rasakan perubahan yang berlaku dalam diri saya.

Yoga dapat membantu sesiapa sahaja yang ingin mengenali diri mereka. Yoga juga telah diiktiraf sebagai instrumen yang membantu individu memperbaiki kesihatan diri secara keseluruhan melalui proses pergerakan, pernafasan dan meditasi.

Yakni, yoga merupakan satu gabungan yang memberikan manfaat kesihatan keseluruhan bagi sesiapa sahaja yang menjadi pengamal yoga termasuk kanak-kanak dan remaja autism. [bacaan lanjut]

Bagaimanakah yoga dapat membantu kanak-kanak autism?

Jamuna: Saya mula membaca dan mengikuti beberapa kursus untuk mengajar kanak-kanak autism. Sebenarnya, autism adalah satu keunikan pada kanak-kanak tersebut. Dengan pendekataan yang sesuai, kanak-kanak itu boleh dilatih dan diajar untuk hidup berdikari.

Disebabakan setiap individu autism adalah berbeza, pendekataan yang berbeza diperlukan bagi mengatasi autism yang dihadapi oleh seseorang kanak-kanak itu. Maka, pelbagai pendekatan diperlukan untuk membantu mereka. Tingkah laku serta latar belakang kanak-kanak itu harus dikaji sebelum terapi yoga dimulakan.

Setiap sesi yoga bersama kanak-kanak autism dilaksanakan dengan kehadiran ibu bapa dan bukannya secara sendirian. Harus diingat, mendapat kepercayaan daripada kanak-kanak istimewa ini sangat penting sebelum saya dapat melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang jurulatih yoga. Sebenarnya, kesabaran dan keyakinan menjadi pegangan saya.

Apakah perubahan positif yang dapat dilihat pada seseorang kanak-kanak autism selepas menjalani terapi yoga?

Jamuna: Perubahan mengambil masa yang lama. Kanak-kanak ini biasanya sukar menerima perubahan. Tempat menjalani sesi yoga juga harus sama. Mereka akan meragam sekiranya berlaku perbezaan tempat atau masa. Namun, kasih sayang dan teknik sentuhan membolehkan mereka menerima perubahan.

Krishna Veni: Saya harus berterima kasih kepada salah seorang pakar terapi autism anak saya yang mengesa untuk menghantarnya ke kelas yoga. Anak saya, Rashwin cepat bosan dan sangat sensitif terhadap persekitran seperti bunyi, cahaya dan orang ramai.

Melalui yoga, dia dapat menguatkan otot-otot, imbangan badan dan kesedaran tentang badannya. Anak saya yang berumur empat tahun menjadi lebih tenang dan boleh berfokus pada arahan yang diterima. Sebelum ini, anak saya sentiasa hilang imbangan badan dan kurang memberikan hubungan mata.  

Saya amat gembira apabila melihatnya menaiki tangga tanpa bantuan. Dia sudah boleh memgimbangi badannya dengan agak baik. Rashwin sudah mula memberikan hubungan mata dan respon yang baik. Dia juga dapat duduk dengan tenang dan memberi perhatian semasa sesi yoga dan di rumah. Perkara kecil seperti ini merupakan kejayaan besar bagi kanak-kanak autism dan juga ibu bapa mereka.

Berapakah tempoh yang biasa diambil oleh seseorang individu untuk menunjukkan kesan positif melalui yoga?

Jamuna: Seperti yang saya nyatakan tadi, setiap individu adalah istimewa dan berbeza. Masa yang diambil bergantung kepada penerimaan kanak-kanak tersebut. Saya dapat berikan keyakinan bahawa dengan terapi yang berterusan, perubahan positif memang nyata. Masa, kesabaran dan keyakinan sangat penting dalam proses ini.

Krishna Veni: Anak saya mengambil masa hampir dua bulan hanya untuk mendekati dan mendengar arahan gurunya [kelas sejam sehari, dua kali seminggu]. Kesabaran dan keyakinan menjadi kunci kejayaan.

Selepas hampir enam bulan dan latihan yang berterusan serta berfokus kepada dua atau tiga postur yoga sahaja, mula menunjukkan perubahan yang amat memberangsangkan. Sekarang dia lebih yakin dan boleh membuat pelbagai postur.

Apakah reaksi seseorang kanak-kanak autism terhadap terapi yoga?

Jamuna: Sememangnya reaksi yang diberikan adalah positif. Yang penting adalah kekerapaan pelaksanaan terapi dan sokongan daripada ahli keluarga selain ibu bapa individu tersebut. Kanak-kanak autism perlu mempunyai kesedaran yang mereka adalah individu yang sempurna dan diterima masyarakat.

Sesungguhnya, satu cabaran yang besar tetapi dengan kesabaran dan keyakinan semuanya dapat diatasi.

Krishna Veni: Pada mulanya anak saya akan menangis dan memberontak untuk menghadiri kelas. Dia tidak suka persekitaran atau suasana baharu. Dia juga tidak suka kehadiran orang lain semasa berada dalam kelas. Kadang-kadang, saya terpaksa membatalkan atau menganjak masa kelas kerana keadaan dirinya yang kurang baik.

Saya sangat berterima kasih kepada Puan Jamuna yang sentiasa sabar dengan kerenah anak saya dan sanggup bersama untuk mengajarnya, Setiap kali anak saya ke kelas, dia akan memberikan reaksi yang berbeza. Biarpun begitu, Puan Jamuna tetap melayannya dengan baik dan saya dapat lihat perubahan drastik dalam diri anak. Dia mula menerima rutin untuk menghadiri kelas dan dapat mengikuti perjalanan kelas dengan baik.

Bagaimanakah yoga dikendalikan untuk kanak-kanak autism? Secara individu atau secara berkumpulan? Mengapa?

Jamuna: Pada mulanya, saya mengadakan kelas secara berkumpulan tetapi kanak-kanak istimewa ini tidak dapat menerima kehadiran individu lain dalam kalangan mereka. Penerimaan individu lain selain daripada ahli keluarga atau individu yang rapat dengan mereka mengambil masa yang lama. Saya sendiri sebagai guru juga mengambil tempoh yang agak lama untuk mendekati dan menghampiri kanak-kanak sebegini.

Namun, pengetahuan dan pengalaman saya berurusan dengan mereka dalam tempoh beberapa tahun ini memudahkan saya untuk menggunakan pelbagai cara untuk menjiwai kanak-kanak istimewa ini.

Apakah perasaan anda apabila melihat perubahan positif dalam kalangan kanak-kanak autism?

Jamuna: Saya sangat teruja bila kanak-kanak yang dibantu dapat melakukan senaman yang diajar dan menyebut nama postur tersebut. Ini satu berkembangan yang baik.

Saya memang rasa bertuah dan bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan peluang membantu kanak-kanak autism. Saya juga sangat berterima kasih kepada Master SK Durai yang memberikan keyakinan kepada saya untuk mengajar kanak-kanak autism.

Saya bersama enam orang autism dan dapat melihat perubahan yang baik dalam diri mereka. Saya yakin kanak-kanak autism dapat menjalani hidup seperti insan biasa. Mereka perlukan kasih sayang dan sokongan daripada masyarakat. Masyarakat harus menangkal persepsi negatif terhadap kanak-kanak istimewa seperti ini.

____________________

Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, Anuradha berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Meredah Kabus (2021), dan Serpihan Memorabilia 2020: Suara (2021). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.