Aku, Belantara dan Sumi — Bahagian 2

[Sambungan semalam] Teman, musuh dan babi hutan. Pokok kempas, pokok-pokok buluh, lalang dan pokok-pokok buah hutan. Warna hijau, perang dan kuning datang bertalu-talu di kelopak mata. Air sungai jernih; kaum keluarga rimau sedang minum dengan puasnya. Di sebelah tanah yang sedikit lapang kelihatan anak-anakku sedang memanggil aku dan Sumi turut serta memakan daging kerbau yang telah disiat-siat. Kami makan bersama-sama dengan penuh rasa gembira. Deru angin lembut, sejuk dan segar menjadi habuan telingaku.

Aku sedar segala-galanya itu adalah ilusi semata-mata. Menyedari mimpi yang sedang dimimpikan adalah mimpi sebenarnya sewaktu tidur adalah suatu kelebihan yang aku miliki. Bukan selalu aku boleh bermimpi dalam keadaan sedemikian, cuma pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Sumi aku sedang bermimpikan kau. Sumi. Kamu kelihatan muda sama seperti mula-mula kita keluar berpacaran. Masih anggun dan jelita.

 Pagi-pagi lagi aku tersedar. Perut terasa amat lapar. Teringat akan bangkai babi hutan di atas bukit. Aku menuruni lereng bukit ke tempat air terjun dan sungai. Kaki dan tangan terasa lenguh. Aku minum air seekor diri. Teringatkan aku bersama Sumi dan keempat anak-anak kami minum bersama di sini. Aku bangga terhadap keluargaku. Aku tidak seperti rimau lain yang sentiasa menukar pasangan. Sumi juga selalu katakan aku sangat taat padanya. Kini semua telah tinggalkan aku. Aku kembali sedih dan menangis.

Terasa hendak melihat Sumi. Taatkala aku sedang menaiki bukit menuju ke “kubur” Sumi, aku terdengar deruman bunyi kenderaan jauh dari bawah. Bunyi yang sama kedengaran beberapa minggu yang lepas dan tiga hari yang lepas. Manusia!

Mereka datang lagi! Apa mereka mahu buat lagi pada tempat ini? Aku tidak faham dengan manusia. Ini bukan tempat mereka. Sudah banyak kali mereka datang. Jika pada hari itu mereka tak datang dengan jentera pemotong, jentolak dan senapang, sudah pasti kami sudah mengerjakan mereka.

Kami takut dan lari menyembunyikan diri di bukit-bukit berhampiran. Mereka tidak nampak kami. Sebab jarak kami dengan mereka sangat jauh. Mereka menakutkan kami dengan menembak-nembak ke udara. Setiap kali mereka datang, pasti mereka berbuat begitu. Kesilapan kami juga, tidak lari ke tempat lain sejak hari pertama mereka datang. Kalau tidak, mungkin aku tidak kehilangan Sumi.

 Ini belantara tempat kelahiran kami. Kami beranak-pinak di sini. Biar kami berbaik-baik mahupun bercakar-cakaran dengan haiwan yang lain. Itu urusan kami di belantara. Manusia. Apa kuasa mereka untuk membunuh kami dan memusnahkan tempat kelahiran kami. Mereka ada tempat mereka sendiri. Kami tidak kacau pun mereka.

Tidak cukup lagikah tempat yang mereka miliki di bawah sana itu? Apa perlunya mereka untuk menguasai bukit hutan belantara ini? Mereka sudah lupakah bumi ini bukan milik manusia sahaja?

Aku sangat hairan dengan perangai manusia. Memang aku baru mengenali manusia. Namun perangai mereka amat menjijikkan! Tidak cukup makankah dengan apa yang terdapat di bawah sana? Mengapa perlu lagi rampas belantara milik kami?

Dari jauh aku nampak lebih kurang enam orang menaiki cerun bukit yang telah terbakar. Ada dua orang memegang senapang. Aku tahu alat itu membunuh. Mereka menembak jatuh beberapa ekor burung beberapa bulan yang lepas.

Aku perlu lihat Sumi sebelum mereka apa-apakan aku. Mereka kelihatan menutup separuh dari muka mereka dengan topeng. Mereka menguis-nguis mayat-mayat yang terbuntang dengan kaki dan senapang mereka. Mayat Sumi tersorok sedikit jauh dari mayat saudara mara aku dan bangkai haiwan lain. Harap mereka tidak nampak Sumi.

Mereka terbatuk-batuk dan meludah merata-rata di situ. Bagaimana aku boleh turun sekarang? Aku perlu tatap Sumi sebelum aku beredar dari sini. Mereka berempat bercakap-cakap dan ketawa. Apa mereka akan buat di sini lagi. Pokok semua sudah ditebang. Hutan pun sudah dibakar. Haiwan pun banyak yang sudah mati.

Aku tidak faham dengan perangai manusia. Mereka kelihatan seperti pandai tetapi sebenarnya bodoh. Kami haiwan cuma berburu dan makan ketika lapar sahaja. Manusia bukan seperti itu rupanya. Apa yang mereka laparkan hari-hari hingga tidak pernah kenyang?

Apa aku perlu buat sekarang? Lari dari sini dan pergi ke pangkuan anak-anak. Anak-anak sudah besar. Hidup mereka lebih penting daripada hidup orang tua mereka. Aku dahulu pun begitu. Bila sudah dewasa langsung tidak pedulikan ibu bapa.

Nasib baik aku mempunyai perasaan sayang terhadap isteri dan anak-anak. Aku tidak boleh harapkan perkara yang sama akan dilakukan oleh anak-anak nanti. Aku adalah aku! Mereka adalah mereka. Zaman aku lain, zaman mereka lain.

Aku perlu takutkan mereka sekarang? Kalau boleh siat-siatkan kulit badan mereka. Baru aku puas!

Haaaaaaauuuuuuuuuuummmmm!”

Haaaaaaauuuuuuuuuuummmmm!”

Ngauman aku tidak cukup bertenaga.

Baang! Baang!

Baang! Baang!

 Mereka sudah mula menembak. Aku tidak dapat nampak mereka sebab aku sudah naik jauh ke atas. Aku tidak tahu bagaimana tiba-tiba badan aku menjadi bertenaga. Bukan seperti aku sangkakan. Aku tidak tunggu lagi di situ. Aku terus meneruskan perjalanan.

Baang! Baang!

Baang! Baang!

Baang! Baang!

Aku dengar bunyi tembakan jauh dari bawah. Aku berlari-lari kecil setakat yang aku mampu. Air mataku berlinangan jatuh. Aku tidak sempat tatap wajah Sumi untuk kali terakhir.

Apa akan mereka lakukan terhadap mayat Sumi nanti?

Baang! Baang!

Baang! Baang!

Aku masih berlari dan berlari. Mungkin mereka sedang mengejar aku dan mungkin juga tidak. Aku terjatuh. Badanku terasa sakit dan lemah semula. Namun aku gagahkan diri. Aku bangun semula. Kembali jatuh. Bangun. Jatuh.

Baang! Baang!

Baang! Baang!

Terdengar sayup-sayup dari jauh. Mereka masih menembak.

Kelihatan hutan belantara tidak berapa jauh dari tempat aku jatuh. Aku cuba berdiri, dan aku mula berjalan. Bunyi tembakan masih kedengaran.

____________________

M. Mahendran mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil untuk akhbar dan majalah pada tahun 1987. Karya beliau mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1988, 1991) dan Hadiah Cerpen Pelbagai Kaum DBP (2003). Cerpen-cerpen Mahendran turut termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung yang memuatkan karya-karya terpilih Mahendran. Baca lebih banyak karya Mahendran [di sini].