Cerpen: Nafsu Estet (Bahagian 1)

Seolah-olah ada sesuatu yang aneh dalam hidup Velu Durai. Mereka kerap berfikir begitu. Sekumpulan anak muda di Flat Ladang Bukit Seri, bekas anak estet, masih berkumpul di warung lama di hujung lorong getah.

Velu, enam puluh empat tahun, kurus dengan perut sedikit menonjol. Rambut yang beruban disikat ke belakang dan buku nota tebal sentiasa di tangan. Gelaran yang diberi kepada dirinya ialah “Penulis Estet, Nadi Suara Negara.”

Gelaran itu wujud hanya di laman Facebook milik Velu dan disokong tiga akaun palsu ciptaan sendiri. Setiap kali ke warung, dia akan sebut gelaran itu dengan yakin. Dunia seolah-olah mengiktirafnya.

“Pak cik sedang siapkan sebuah novel yang akan mengangkat maruah bangsa kita,” kata Velu sambil mengacau teh tarik nipis.

Anak-anak muda diam, tetapi mereka kenal tulisan Velu. Hampir setiap cerpennya menampilkan wanita India yang memiliki lenggok tubuh yang mengingatkan kepada Vijayalakshmi Vadlapati yang lebih dikenali dengan nama pentas, Silk Smitha. Seluruh kaum wanita bagaikan bayangan fantasi yang lahir daripada kerakusan Velu.

Kesemua watak wanita dalam tulisannya bukanlah watak manusia biasa. Mereka digambarkan seperti Urvashi yang turun dari kayangan, Ramba yang menari sambil menggoda dengan separuh dosa dan Menaka yang melemahkan semangat lelaki dengan satu jelingan mata. Tubuh mereka menari dalam dunia gelap yang hanya mampu dilihat dan dirasai oleh Velu.

“Ini bukan cerita lucah. Ini simbolik. Saya gigih berusaha siang dan malam untuk mengangkat maruah bangsa kita,” Velu berkata.

Dua belas tahun lalu, Velu dan Govindammal bercerai. Pergolakan rumah tangga yang berpanjangan menyebabkan jiran tetangga sering menjadi saksi jeritan pada malam hari. Govindammal tidak tahan hidup dengan lelaki yang asyik tenggelam dalam keghairahan sendiri.

Velu beranggapan bahawa hubungan suami isteri sebagai medan memuaskan nafsu, tanpa mempedulikan emosi isteri. Ada yang kata perempuan itu menanggung kerakusan Velu setiap malam. Rumah mereka menjadi ruang tekanan dan ketakutan.

Pada siang hari, Velu bertukar watak menjadi penulis tanah air yang kononnya tersohor. Di laman Facebook, dia kerap mengulas topik yang sensitif seperti kasta, adat, dan maruah keturunan. Dia menonjolkan keturunannya yang konon lebih “mulia” daripada penduduk estet yang lain.

Apabila malam menjelma, Velu yang sebenar akan muncul. Di bilik kecil diterangi lampu meja, dia duduk membongkok sambil menulis cerita yang tidak berani dibaca pada siang hari. Wanita yang derhaka, isteri yang menggoda lelaki lain dan obsesi seksual menjadi tema utama penulisannya.

Segala gambaran bukanlah pemerhatian sebenar, tetapi kekecewaan kerana tidak mampu menerima hakikat yang sebenar. Velu suka menonjolkan watak wanita sebagai makhluk yang penuh bernafsu dan ini hanyalah untuk menutup aib diri sendiri sahaja. Watak lelaki pula digambarkan sebagai pencetus kebenaran dan kesucian.

Di warung, Velu menampilkan keyakinan yang luar biasa. Dia menyebut tentang ahli politik yang kononnya memuji hasil karya yang ditulis saban hari. Bukan itu sahaja, dia juga mencipta pertandingan palsu dan mengumumkan kemenangan sendiri.

“Saya tidak gemar menulis benda remeh-temeh. Saya mahu seantero dunia mengenali darah keturunan saya yang bukan darah sembarangan,” katanya lantang.

Kumara, Arokiasami, dan Sankaran Pillay hanya mengangguk. Mereka pernah melihat “draf malam” Velu. Mereka faham sesuatu yang dia sendiri tidak sedar.

Suatu malam, Velu tertinggal buku nota di warung. Kumara dan kedua-dua rakannya sempat membaca beberapa coretan pendek di beberapa halaman pertama buka nota itu. Yang menanti bukan cerpen biasa, tetapi isi hati seorang lelaki yang tidak mampu membezakan realiti dan fantasi, rumah tangga yang hancur kerana diri sendiri dan perempuan yang hidup dalam ketakutan dan kegelapan.

Velu pula semakin ghairah bercerita kejayaan palsu. Kononnya menang pertandingan tidak wujud dan ada penerbit yang terkenal dari Chennai menanti manuskripnya yang tidak masuk akal itu. Hari demi hari berlalu dan Velu hilang dalam khayalan sendiri.

Suatu petang, Velu tiba di warung dengan mata yang kuyu. Baju yang tidak kemas seperti baru bangun dari tidur. Dia mengeluarkan helaian kertas separuh ronyok dari kocek kemeja. (Bersambung pada 27 Januari 2026)

Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].

[Malini Lakshmi Bai dilahirkan di Kuala Lumpur pada 31 Julai 1992. Beliau memperoleh pendidikan rendah di SK Taman Segar, menengah di SMK Perempuan Pudu, serta tingkatan enam di SMK Cochrane sebelum menamatkan pengajian ijazah sarjana muda Bahasa Inggeris dan Linguistik di Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampar. Minat beliau terhadap bahasa dan kesusasteraan bermula sejak persekolahan dan pernah meraih johan serta naib johan dalam pertandingan debat, syarahan, dan forum pelajar pada tahun 2009. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak tahun 2021. Kini, beliau berkhidmat sebagai editor pengurusan di My Aviation MagazineBaca: Biodata penuh]

Ulasan