Khavish Ram, Penggemar Fotografi Yang Unik

Khavish Ram a/l Thevarajahsingaram adalah seorang pelajar tingkatan 2 di SMK Ahmad Boestaman, Sitiawan, Perak. Adik Khavish merupakan pengasas produksi KR7.

Khavish anak tunggal pasangan Thevarajahsingaram dan Sumathi Murugan. Bapa seorang jurutera mekatronik manakala ibu seorang tutor Matematik dan jurulatih yoga.

Sejak kecil, Khavish tidak pernah mempunyai hobi yang tetap tetapi suka perkara yang mencabar. Ketika berumur 9 atau 10 tahun, dia gemar melukis dan mewarna seperti kanak-kanak lain. Dia pernah memenangi hadiah dalam beberapa pertandingan.

Semasa berumur 10 tahun, dia belajar bermain biola selama dua tahun dan terpaksa berhenti kerana berpindah dari Perak ke Johor. Dia tidak sambung belajar bermain biola kerana sibuk dengan kelas tambahan tahun 6 (UPSR) ketika itu.

Kemudian, Khavish mula minat bermain catur. Dia belajar bermain catur melalui pelbagai aplikasi dalam talian. Dia juga seorang yang aktif bersukan dan pernah melibatkan diri dalam pelbagai acara olahraga.

Kesemua minatnya dalam sukan, muzik dan seni adalah hasil dorongan ibu kerana ibunya juga seorang yang aktif dalam pelbagai aspek. Anuradha Chelliah mewawancara remaja ini untuk mendapatkan pelbagai maklumat tambahan.


Apakah yang Khavish lakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain menghadiri kelas dalam talian?

Ibu saya sering menegaskan selain daripada akademik, kita harus menceburi pelbagai bidang untuk mengetahui dan mempelajari kemahiran baru yang akan membantu kita menjadi lebih kreatif dan inovatif.

Jadi sepanjang tempoh PKP ini, selain waktu Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PDPdR), saya juga melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan anjuran sekolah dan kementerian secara dalam talian  Misalnya, saya menyertai pertandingan melukis poster, catur dan fotografi.

Saya juga menghadiri kursus dalam talian. Antara kursus yang saya hadiri adalah Cinematography for Visual Storytelling oleh Uncle JK Wicky, Professional Audio & Video Editing with Adobe Premiere Pro anjuran HRDF yang dilatih oleh Uncle JK Wicky, One Hour Free Film Making Training Course by Full Time Filmmaker (IG Account) dan Bright Champs Live Online Coding Class.

Saya juga turut terlibat dalam beberapa seminar pendidikan dan keagamaan sepanjang tempoh PKP.


Bagaimanakah anda boleh meminati bidang fotografi dan videografi?

Pada mulanya, saya gemar melihat gambar-gambar yang diambil oleh bapa. Gambar-gambar ini bertemakan alam semula jadi kerana beliau bekerja di Cameron Highlands pada ketika itu. Gambar-gambar diambil menggunakan kamera pada telefon pintar dan nampak menakjubkan.

Ketika berumur antara tujuh hingga sebelas tahun, saya sering menemani ibu saya di set pengambaran kerana ibu pernah bekerja sebagai pembantu pengarah.

Saya berpeluang melihat bagaimana pengambaran dilakukan dan sering mendapat peluang untuk berlakon serta memberi suara latar dalam beberapa drama dan produksi. Saya juga menemani ibu dalam bilik penyuntingan.

Ini membuatkan saya berasa kagum dengan kemahiran jurukamera, pengarah dan editor dalam menghasilkan suatu drama atau iklan. Rasa ingin tahu saya semakin mendalam. Justeru, saya mula meneroka mengenai fotografi dan videografi dengan sendiri. YouTube menjadi teman saya.


Anda masih muda, baru berumur 14 tahun tetapi begitu cenderung dalam bidang ini. Apakah yang membuatkan anda meminati bidang ini?

Pengarah produksi, Encik Perakas Rajaram yang saya gelar sebagai “Big Uncle” merupakan orang pertama yang mengenalpasti minat saya dalam fotografi.  Beliau sering memberikan iPad miliknya untuk saya main. Saya pula mula menggunakannya untuk mengambil gambar sinaran matahari, bilik gelap, benda-benda kecil, suasana di pejabat dan banyak lagi.

Walaupun gambar-gambar itu tidak begitu cantik, namun Big Uncle dan rakan-rakannya selalu memuji saya. Jadi, saya secara sukarela akan mengambil gambar-gambar di set pengambaran. Di sinilah saya mula lebih meneroka cara-cara mengambil gambar secara teliti.

“Cicak Uncle” (Encik Kumarann Arumugam) merupakan orang yang memperkenalkan terma penyuntingan kepada saya. Saya menghabiskan banyak masa di studio penyuntingan ketika ibu bekerja di industri perfileman. Saya mula faham proses keseluruhan produksi dan semakin berminat dalam bidang ini.

Orang yang paling penting ialah “Uncle JK Wicky”. Beliau merupakan sifu saya. Beliau memperkenalkan dan mengajar kebanyakan teori fotografi dan videografi kepada saya. Beliau memberi inspirasi kepada saya untuk memulakan laman sosial FB, IG dan laman sesawang sendiri.

Dengan adanya laman sesawang sendiri, saya dapat memaparkan koleksi dan projek saya untuk tontonan awam. Saya masih sedang belajar fotografi, videografi dan teknik penyuntingan daripada Uncle JK Wicky.

Saya juga gunakan peluang yang disediakan oleh portal dalam talian yang menyediakan kursus secara percuma. Pelbagai perkara baru dapat dipelajari.


Apakah jenis kamera yang anda gunakan, dulu dan sekarang?

Kamera telefon bimbit milik ibu bapa dan iPad Big Uncle menjadi alat eksperimen bagi saya mengambil gambar. Banyak telefon bimbit telah rosak disebabkan minat saya ini. Contohnya, saya meletakkan telefon bimbit bapa dalam baldi yang penuh air untuk melihat bagaimana hasil tangkapan gambar di dalam air. Kemudian telefon itu rosak.

Selepas beberapa insiden sebegini, tahun lepas, bapa saya menghadiahkan telefon pintar Samsung Galaxy M21 (model baru pada masa itu) sebagai penghargaan pencapaian saya dalam UPSR. Sehingga kini, telefon pintar itu menjadi teman saya untuk mengambil gambar dan membuat penyuntingan.

Hampir 90% gambar yang saya kongsikan dalam laman sosial diambil menggunakan kamera telefon pintar ini. Baru-baru ini dalam bulan Mei 2021, pak cik saya, Krishnamurti Mama menghadiahkan kamera miliknya, Canon EOS 60D sebagai tanda galakan bakat saya.

Kini, Samsung Galaxy M-21 dan Canon EOS 60D merupakan gajet fotografi saya.


Siapakah yang mengenal pasti kebolehan anda dan memberi galakan kepada anda?

Pada mulanya, sudah pasti ibu bapa saya yang mengenal pasti bakat saya dalam bidang seni. Namun, saya rasa saya sendiri mula kenali diri saya serta bakat dalam fotografi. Saya yang mengambil inisiatif untuk meneroka mengenai cara-cara mengambil gambar dengan menonton YouTube.

Saluran YouTube, Full Time Filmmaker merupakan salah satu medium yang memainkan peranan penting dalam proses ini. Kemudian, dengan bimbingan Uncle JK Wicky saya mula diperkenalkan mengenai teori, teknik dan pelbagai aspek yang perlu diketahui dalam bidang fotografi, videografi, sinematografi dan penyuntingan.

Selain itu, ahli keluarga, saudara mara, guru-guru di sekolah, kawan-kawan dan kenalan di laman sosial turut memberi galakan untuk tingkatkan kemahiran saya dari semasa ke semasa.

Pernahkah anda menyertai sebarang pertandingan?

Ya. Bagi fotografi, setakat ini saya pernah menyertai:

1.“Vivo Vision 2021’’ - instagram fotografi competition-anjuran VIVO     Malaysia bagi Kuala Lumpur Photography Festival (KLPF)

2. MTCC Photo Contest 2021 - penyertaan secara dalam talian

3. Pertandingan Fotografi Alam Semula Jadi (Tingkatan 1-3) - anjuran

    sekolah bagi Karnival STEM 2021


Bagaimana anda melihat diri anda 10 tahun dari sekarang dalam bidang ini?

Sepuluh tahun dari sekarang merupakan sesuatu yang sangat sukar untuk ditentukan buat masa ini. Banyak perubahan luar jangkaan yang telah berlaku dalam dua tahun ini disebabkan pandemik.

Apapun, saya pasti akan meneruskan penerokaan dalam bidang fotografi dan akan menyuarakan isi hati melalui gambar-gambar saya. Saya akan bersuara melalui gambar. Dengan ini, masyarakat umum dapat mengenali saya dengan lebih dekat.

Selain itu, saya juga mempunyai cita-cita untuk menghasilkan dokumentari luar biasa dan ingin koleksi gambar-gambar saya dipamerkan dalam pameran di dalam dan di luar negara.

Sudah tentu memiliki studio sendiri merupakan salah satu impian dalam proses ini. Untuk semua ini menjadi kenyataan, saya harus membahagikan masa dengan sebaik mungkin untuk mencapai yang terbaik dalam pelajaran dan minat saya sebagai seorang pengemar tegar fotografi.

____________________

 

Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Kini, Anuradha berkhidmat sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting. Puisi, esei, dan cerpen beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), Meredah Kabus (2021), dan Serpihan Memorabilia 2020: Suara (2021). Karya beliau turut tersiar di Eksentrika dan Dewan Budaya.