16 Oktober 2021, hari kemuncak Cabaran Transformasi Yoga 100 Hari diadakan di Vinyasa Vibe, sebuah studio yoga di Kelana Jaya, Selangor. Seramai 20 pengamal yoga berkumpul di studio ini dan membuat 108 pusingan Surya Namaskar dalam masa 1 jam 20 minit.
Surya Namaskar
adalah gabungan dua perkataan di mana surya
bermaksud matahari dan namaskar
membawa erti salam. Surya Namaskar
merupakan asas dalam yoga dan mempunyai 12 asana atau postur. Ia
dilakukan sebelah kiri dan kanan.
Satu set Surya Namaskar mempunyai 24 asana yang memberi pergerakan badan ke hadapan, ke belakang dan ke sisi. Justeru, merupakan satu siri pergerakan menyeluruh untuk kesihatan fizikal, mental dan emosi. Setiap pergerakan menekankan cara pernafasan yang betul yakni menyedut dan menghembus nafas pada postur-postur tertentu.
Cabaran pada hari kemuncak bermula dengan kata-kata semangat daripada SK Durai, pengasas Sakthi School of Yoga. Beliau merupakan guru yoga saya dan Sugitha Kanniaseelan, penganjur Cabaran Transformasi Yoga 100 hari. Beliau menyatakan bahawa komitmen seseorang individu sangat penting dalam mengharungi sesuatu cabaran dan sekali gus mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya dalam cabaran ini. Sebenarnya, bukan mudah untuk menamatkan cabaran 100 hari dengan jaya.
Menurut Sugitha, pengasas Arunachalayoga, cabaran yang bermula pada 9 Julai 2021 secara dalam talian, disertai seramai 40 peminat yoga daripada pelbagai latar belakang. Cabaran ini dilaksanakan tanpa sebarang keuntungan dan para peserta hanya memberi sumbangan yang mereka mampu. Segala sumbangan didermakan kepada beberapa buah rumah kebajikan di Kuala Lumpur.
Saya
sempat mendapatkan sedikit maklum balas daripada beberapa orang yang menyertai
cabaran ini. Berikut pandangan mereka:
Saya Yuvarajan, 31 tahun (Cheras), satu-satunya jejaka dalam Cabaran Transformasi Yoga 100 Hari. Sebelum mengikuti cabaran ini, sendi saya kurang fleksibel dan saya berasa sukar untuk meregang otot serta sendi. Jika dulu parvatasana (Mountain Pose) adalah sukar bagi saya tetapi sekarang saya berjaya membuatnya dengan mudah. Semua ini adalah berkat tunjuk ajar Sugitha dan sokongan moral rakan-rakan seangkatan dalam cabaran ini.
Yoga adalah senaman fizikal untuk menenangkan hati dan memberi kedamaian dalam hidup. Tiga bulan yang lalu, setiap pagi saya bangun dalam keadaan tiada motivasi dan semagat dalam hidup. Selepas melibatkan diri dalam Cabaran Transformasi Yoga 100 Hari, saya berasa badan lebih ringan dan tenang. Saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak lapan kilogram dalam masa tiga bulan. Saya berterima kasih kepada anak-anak kerana mereka sentiasa memberi semagat dan menolong saya. Inilah perubahan yang berlaku pada Kavita Nair dari Batu Caves.
Saya, K. Swathi Shankri dari Subang Jaya, Selangor menyertai Cabaran Transformasi Yoga 100 Hari bermula 9 Julai 2021. Cabaran ini bermula dengan tiga set Surya Namaskar pada hari petama dan berakhir dengan 54 set pada hari terakhir. Dengan latihan rapi ini, berat badan saya turun daripada 71.8 kg ke 66.5 kg dan pengurangan inci yang ketara pada bahagian paha, perut, lengan dan juga pinggang. Selain itu, stamina dan metabolisme badan semakin tinggi. Saya tidak berasa letih atau lesu sepanjang hari.
Sahithya Moganathas,
12 tahun dan Nivedhitha Moganathas,
13 tahun (Teluk Intan, Perak) merupakan peserta termuda dalam cabaran ini.
Pada awalnya kami berasa seronok untuk memulakan setiap hari dengan Surya Namaskar. Lama-kelamaan kami menyedari banyak perubahan daripada segi fizikal dan mental. Dalam cabaran ini, kami tidak hanya belajar yoga. Kami belajar bagaimana menghadapi cabaran dengan gigih dan terus berusaha untuk mencapai tujuan hidup yang diilhamkan.
Ada
kalanya, kami rasa penat dan sakit badan. Tetapi kata-kata motivasi guru yoga
membimbing kami ke arah kegigihan. Cabaran ini mengajar kami untuk tidak mudah
mengalah dan terus berusaha. Kami juga telah berkongsi pengalaman dan belajar
teladan hidup sesama ahli kumpulan yang semuanya lebih berpengalaman daripada
kami.
Dedikasi
dan keazaman membawa saya ke kemuncak cabaran ini. Adakalanya, saya dalam
kesakitan dan tidak dapat meneruskan latihan pada setiap pagi. Namun, semangat
untuk bersama-sama dalam ‘pasukan’ membawa saya depan komputer riba setiap pagi
bagi meneruskan cabaran ini. Menerusi cabaran ini, saya sedar saya mampu
mencapai tujuan hidup dengan disiplin dan keazaman.
Saya berjaya menurunkan berat, meningkatkan semangat dan sentiasa bersikap positif dengan kata-kata berunsur motivasi daripada rakan-rakan dalam kumpulan ini. (Saranjeet Kaur, 55 tahun, Batu Caves)
Sememangnya,
yoga dapat memberikan ketahanan dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani tanpa
mengira umur dan paras rupa.
________________________