Sekerdip Mata


Sekerdip mata,

Kaca mataku retak seribu,

Belum sempat siang,

Aku jatuh ke dalam malam.

 

Sekerdip mata,

Penaku patah gigi,

Hilang gusi,

Belum sempat menulis,

Tulisanku ternoktah mati.

 

Sekerdip mata,

Biolaku putus tali,

Patah jari,

Belum sempat mengalun,

Laguku bernada bisu.

 

Saat itu,

Tatkala jantung enggan berdenyut,

Tatkala jiwa tersungkur rebah ke bumi,

Aku mendongak ke langit sunyi.

 

Saat itu,

Buat pertama kali,

Kulihat bintang mengedip mata.

 

Kerdipan pertama,

Kulihat sejalur cahaya,

Menembusi kaca mataku yang retak,

Kulihat tujuh warna baharu,

Aku belajar erti pelangi.

 

Kerdipan kedua,

Kulihat sehelai kertas putih,

Diconteng dengan pensel 2B,

Kulihat sebuah lukisan,

Aku belajar erti seni.

 

Kerdipan ketiga,

Kulihat anak-anak hujan,

Berkocak di dalam tin kosong di tepi jalan,

Kulihat sebuah dramatari,

Aku belajar erti melodi.

 

Kulihat langit, kulihat bumi,

Di tengah-tengah, aku yang berdiri kerdil,

Aku sedari,

Dalam sekerdip mata,

Senja boleh bertukar malam,

Gelap boleh bertukar terang,

Aku belajar erti syukur,

Aku belajar erti hidup.

 

Nota: Ilustrasi iringan adalah lukisan tangan menggunakan pensel bertajuk “The Eye” karya Hamidah Abdul Kader. Lukisan ini pernah tersiar di Grup Facebook LUKIS pada 4 Januari 2022. Dipaparkan di sini dengan izin Hamidah Abdul Kader.

____________________

Sharmilah Beham @ asamsalt adalah anak jati Perak yang dilahirkan dan membesar di Mukim, Sungkai. Beliau kini berkhidmat sebagai pegawai penguatkuasa korporat serta suka mengisi masa terluang dengan aktiviti melukis, fotografi, seni kreatif, membaca dan menulis puisi. Beliau mula berjinak dengan bidang penulisan dengan berkongsi idea dan puisi. Beliau mula menulis di surat berita Kavya sekitar tahun 2004 dan 2005. Tahun 2021 membuka pintu hati beliau untuk kembali menulis di portal Sastera Kavyan. [Baca karya beliau di sini]