Apabila
pintu almari pakaian itu dibuka, mataku tertumpu pada selonggok sari di sebelah
kanan yang diletakkan dalam keadaan separuh terlipat.
Inilah sari-sari sutera yang berusia
tiga puluh hingga tiga puluh Lima tahun. Sari yang pernah aku sarungkan
berkali-kali dengan penuh rasa bahagia dan bangga ke pelbagai majlis.
Kini, ia terbiar sepi dan kaku dimamah
usia, persis diriku sendiri. Walaupun keanggunannya belum hilang sepenuhnya,
namun serinya kian pudar dan malap.
Sering kali aku mengambilnya, membelek
dan menatapnya dengan penuh kagum, sebelum meletakkannya kembali ke tempat
asal.
Oleh kerana kesemua koleksi ini adalah
sari sutera asli, peredaran masa telah membuatnya mereput. Ia tidak lagi berada
dalam keadaan yang sesuai untuk dipakai.
Tiada lagi bererti untuk aku terus
menyimpannya. Ia hanya sekadar memenuhi ruang yang ada.
Namun, aku
masih buntu tentang bagaimana cara untuk melupuskannya. Memikirkan cara untuk
membuangnya, atau ke mana harus ia dicampakkan, sudah cukup untuk membuat masa
berlalu begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.
Biarpun begitu, ia tetap perlu
disingkirkan dengan secepat mungkin. Aku terus berfikir, apakah yang harus aku
lakukan?
Lalu, aku merangkul timbunan sari itu
ke dalam pelukanku, membawa keluar, dan menghamparkannya di atas katil.
Aduhai! Begitu banyak ragam sarinya,
pelbagai warna dan corak yang menghiasi seluruh sari.
Setiap helai bukan sekadar memukau
pandangan, malah mencuri tangkai hati dengan keindahan dan keunikkannya. Inilah
sari-sari sutera yang telah aku pilih dengan penuh teliti. Satu demi satu dari
pelbagai kota, pelbagai tempat, dan untuk pelbagai peristiwa.
Kini, mungkinkah sudah tiba masanya
untuk kami berpisah? Memikirkannya sahaja sudah cukup untuk membuat hatiku
terasa sarat dan hiba. Namun, apakan daya? Bukankah sudah menjadi lumrah
manusia untuk membuang sesuatu yang telah usang dan menggantikannya dengan yang
baharu? Ianya tidak boleh disalahkan.
Kisah
bagaimana aku mula memakai sari sebenarnya agak pelik juga untuk dikenang. Waktu
itu, aku baru sahaja tamat Tingkatan Enam Atas dan sedang menunggu keputusan
peperiksaan keluar.
Sedang asyik menghabiskan masa di
rumah, minat terhadap dunia sastera yang mula berputik sejak zaman sekolah
kembali mekar dalam diri.
Aku mula menulis untuk akbar dan
majalah. Pada masa yang sama, aku mula menghadiri acara-acara sastera yang
dianjurkan di sana sini. Ianya tidak memadai bagiku. Apa sahaja pertandingan
syarahan mahupun pertandingan perbahasan, semuanya aku sertai tanpa melepaskan
sebarang peluang.
Memandangkan aku sering keluar rumah,
aku memerlukan pakaian yang elok dan sesuai. Namun, memandangkan aku tidak
bekerja dan tidak mempunyai pendapatan sendiri, aku tidak mampu untuk membeli
pakaian yang dikehendaki.
Sebagai anak keempat kepada ayah yang
merupakan pesara kerajaan dan ibu pula seorang suri rumah, dapat menamatkan
pengajian sekolah menengah pun sudah dianggap satu pencapaian yang besar buat
diri ini. Dalam keadaan keluarga sebegitu, aku tidak berani mengharapkan pakaian
yang cantik mahupun kemudahan asas yang lain.
Kedua-dua abangku pula sudah berpindah
keluar untuk hidup sendiri sebaik sahaja mereka berkahwin, seolah-olah hanya
menanti masa untuk berbuat demikian. Maka, tinggallah aku dan kakak sahaja di
rumah.
Kakakku yang sudah bekerja di kilang
perindustrian mempunyai banyak koleksi sari dan perhiasan yang padan.
Rakan-rakan sebaya yang lain semuanya megah menggayakan pakaian moden yang
mengikut trend semasa, namun aku tidak mempunyai kemewahan itu.
Oleh itu, mahu tidak mahu, aku mula
meminjam sari kepunyaan kakak untuk dipakai keluar. Kerana susuk tubuh kami
yang hampir sama, aku tidak menghadapi sebarang masalah untuk memadankan
blausnya denganku.
Pada
mulanya, kakak sering menegur tindak-tandukku itu. Namun lama-kelamaan dia
tidak lagi memedulikannya. Bagiku, hal itu sudahpun cukup untuk meneruskan
tindakan aku itu.
Keputusanku untuk mula mengenakan sari
seawal usia dua puluh tahun mendapat pujian yang menggalakkan dalam kalangan
rakan-rakan. Aku percaya bahawa sari memberikan aku satu daya tarikan yang
tersendiri dan menonjolkan lagi personalitiku. Malah, keluarga dan kenalan aku
juga menyokong pendirian aku itu.
Sejak itu, aku tidak pernah lagi merenggangkan diri dari sari, dan sari juga seolah-olah sudah sebati dengan jiwaku. Itulah kisahnya bagaimana aku dan sari menjadi tidak dapat dipisahkan. (Bersambung dalam Antologi 5 Penulis)
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.