10 Soalan Untuk Malini Lakshmi Bai

Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Kini, beliau berkerjaya sebagai guru bahasa Inggeris dan penyelia di sebuah pusat pembelajaran bahasa. Malini juga menggalas jawatan penolong setiausaha dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan di portal Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula diterbitkan di laman Eksentrika.

 

1. Bagaimana perkembangan penulisan karya Bahasa Malaysia oleh anda pada tahun ini?

Setakat ini, penulisan karya kreatif dalam Bahasa Malaysia boleh dikatakan lebih baik dan lebih aktif berbanding tahun sebelumnya kerana saya telah menyertai beberapa projek penulisan yang dianjurkan oleh penerbit yang berbeza.

 

2. Bagaimana pula perkembangan penulisan anda dalam bahasa-bahasa lain pada tahun ini?

Selain penghasilan karya kreatif dalam Bahasa Malaysia, saya juga bergiat aktif dalam penulisan karya Bahasa Inggeris. Kebanyakannya ialah poem dan telah dimuat naik dalam laman sesawang Eksentrika.

 

3. Adakah anda menganggap penulisan sebagai “hobi” sahaja atau sebagai satu “tanggungjawab” atau sebagai “kerjaya”?

Bagi saya, penulisan ialah salah satu tanggungjawab pada diri saya kerana penulisan membantu saya untuk berfikir di luar kotak. Di samping, memperbaiki kemahiran kreativiti dan kognitif dalam komunikasi bertulis.

 

4. Mana satukah karya anda (Bahasa Malaysia) yang anda anggap paling berjaya atau paling istimewa?

Cerpen berjudul “Ankh di Bilik 31” merupakan karya Bahasa Malaysia yang saya anggap paling istimewa kerana cerpen itu adalah cerpen pertama yang saya hasilkan khas untuk antologi Lakaran Diri. Bukan itu sahaja, cerpen “Ankh di Bilik 31” dipaparkan sebagai cerpen pertama dalam senarai judul cerpen yang lain.

 

5. Penulisan karya Bahasa Malaysia oleh kaum India nampaknya kembali lesu sejak dua tahun lalu. Setuju atau tidak?

Saya sangat setuju dalam perkara ini kerana tidak ada penglibatan aktif daripada kaum India dan jikalau ada, kebanyakkan karya Bahasa Malaysia sememangnya daripada penulis kaum India yang sama.

 

6. Kavyan yang diasaskan pada 1999 masih gagal dalam usaha melahirkan lebih ramai Sasterawan Kavyan. Apa pandangan anda?

Pada pandangan saya, Kavyan sejak 1999 telah berjaya menghasilkan ramai Sasterawan Kavyan. Malangnya, hanya beberapa penulis yang bergiat aktif dalam penulisan dan dalam aktiviti yang dianjurkan oleh Kavyan.

 

7. Pada pandangan dan pemerhatian anda, mengapa kaum India masih kurang berminat membaca karya Bahasa Malaysia, termasuk karya Sasterawan Negara?

Pada pandangan saya, hal ini kerana kebanyakkan kaum India menunjukkan minat membaca karya bahasa Tamil atau Inggeris. Malah, kebanyakan daripada mereka meminati media hiburan dan media elektronik berbanding media cetak.

 

8. Pada pandangan dan pemerhatian anda, mengapa kaum India masih kurang berminat menulis karya Bahasa Malaysia?

Pada pandangan saya, mereka tidak yakin dalam penguasaan Bahasa Malaysia. Selain daripada itu, mereka juga tidak diberi bimbingan atau dorongan yang boleh menjadi inspirasi bagi mereka menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

 

9. Karya Sasterawan Kavyan masih gagal menarik minat pembaca pelbagai kaum. Setuju atau tidak?

Saya setuju dengan kenyataan di atas. Karya Sasterawan Kavyan masih gagal menarik minat pelbagai kaum kerana hasil karya tidak berjaya diperkenalkan atau dipromosikan dari semasa ke semasa kepada masyarakat konvensional di media sosial.

 

10. Nama-nama Sasterawan Kavyan sudah semakin tidak kelihatan dalam senarai pemenang pertandingan peringkat kebangsaan. Pada pandangan anda, mengapa hal ini berlaku?

Bagi saya, ketiga-tiga faktor yang disebut tadi memainkan peranan dalam perkara ini. Mungkin Sasterawan Kavyan pernah mencuba tetapi nasib tidak menyebelahi mereka. Jadi, mereka mula fokus pada aktiviti penulisan kreatif yang lain.

 

(Wawancara ini dilakukan menerusi e-mel oleh Uthaya Sankar SB pada 30 Ogos 2023.)