10 Soalan Untuk Vk Ezhilarasi

Vk Ezhilarasi seorang pesara guru berasal dari Segamat, Johor dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau suka menulis cerpen dan rencana berkaitan golongan remaja kurang bernasib baik hasil daripada pengalaman membantu ibu dan bapa tunggal untuk menjaga anak-anak mereka. Antara karya Ezhilarasi ialah rencana dan cerpen yang diterbitkan dalam majalah Dewan Budaya dan Dewan Siswa. Hasil karya beliau turut termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019) dan Landasan Hidup (2020).

 

1. Bagaimana perkembangan penulisan karya Bahasa Malaysia oleh anda pada tahun ini?

Dari Januari-Ogos 2023, saya mencatat beberapa draf yang saya kemas kini dari masa ke masa. Saya berharap dapat menyelesaikannya dalam masa terdekat.

 

2. Bagaimana pula perkembangan penulisan anda dalam bahasa-bahasa lain pada tahun ini?

Saya juga menulis dalam bahasa Inggeris tetapi masih dalam bentuk draf dan belum dikirim ke mana-mana.

 

3. Adakah anda menganggap penulisan sebagai “hobi” sahaja atau sebagai satu “tanggungjawab” atau sebagai “kerjaya”?

Saya sangat gemar menulis dan menganggapnya sebagai hobi tetapi masa saya sekarang banyak digunakan untuk menulis Subjective Objective Assessment Plan (SOAP) kursus sarjana yang sedang saya ikuti.

 

4. Mana satukah karya anda (Bahasa Malaysia) yang anda anggap paling berjaya atau paling istimewa?

Karya saya yang saya anggap paling berjaya atau paling istimewa ialah “Kenangan Lama” dalam antologi Busana Bahasa (2019) kerana merupakan rekod kenangan mendiang suami saya.

 

5. Penulisan karya Bahasa Malaysia oleh kaum India nampaknya kembali lesu sejak dua tahun lalu. Setuju atau tidak?

Memang benar. Hal ini kerana ramai daripada mereka masih sedang cuba bangkit daripada kemelut pandemik Covid-19. Ramai juga lebih berminat dalam aktiviti media sosial.

 

6. Kavyan yang diasaskan pada 1999 masih gagal dalam usaha melahirkan lebih ramai Sasterawan Kavyan. Apa pandangan anda?

Usaha Kavyan amat dialu-alukan dan dihargai. Malangnya, golongan remaja dan ibu bapa tidak peka terhadap kebaikan yang boleh diperolehi daripada menyertai program anjuran Kavyan. ContohLepak Menulis Cerpen di Anak Baba dan Lepak Menulis Rencana di Anak Baba.

 

7. Pada pandangan dan pemerhatian anda, mengapa kaum India masih kurang berminat membaca karya Bahasa Malaysia, termasuk karya Sasterawan Negara?

Pada pandangan dan pemerhatian saya, situasi ini berlaku kerana golongan muda kaum India kurang minat membaca dan ramai dipengaruhi budaya hedonistik. 

 

8. Pada pandangan dan pemerhatian anda, mengapa kaum India masih kurang berminat menulis karya Bahasa Malaysia?

Saya rasa mereka kurang fasih dan hanya mempelajari Bahasa Malaysia semata-mata untuk mendapat sijil penuh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

9. Karya Sasterawan Kavyan masih gagal menarik minat pembaca pelbagai kaum. Setuju atau tidak?

Saya setuju karya Sasterawan Kavyan masih gagal menarik minat pembaca pelbagai kaum kerana kebanyakan golongan remaja dan dewasa kurang berminat membaca apa-apa teks.

 

10. Nama-nama Sasterawan Kavyan sudah semakin tidak kelihatan dalam senarai pemenang pertandingan peringkat kebangsaan. Pada pandangan anda, mengapa hal ini berlaku?

Pada pandangan saya, kurang peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan pada masa kini.

 

(Wawancara ini dilakukan menerusi e-mel oleh Uthaya Sankar SB pada 31 Ogos 2023.)