Pantun Harimau Malaya


Unggas berkicauan di belantara,

Aliran air sungai di muara;

Ngauman derita raja rimba,

Habitatnya sering diancam bahaya.

 

Pelangi senyum di langit luas,

Angin kencang di Kampung Limas;

Harimau belang haiwan buas,

Cekap memburu di alam bebas.

 

Buah durian ditanam di kebun,

Puncak gunung berjaya ditawan;

Hidupan liar jangan dilawan,

Biarkan sahaja ia di hutan.

 

Belayar dari Siam ke Malaya,

Gadis cantik berbaju kebaya;

Populasi pak belang dalam bahaya,

Itulah kesudahan Harimau Malaya.

 

Pantai indah dihiasi pokok ru,

Cantik pemandangan Gunung Meru;

Haiwan liar kerap diburu,

Membunuh harimau hobi pemburu.

 

Maimun masak sup ikan keli,

Lata Kashmir tarikan di Jeli;

Tulang dan ekor harimau dibeli,

Dibuat ubat-ubatan tradisional asli.

 

Gua Kelam habitat kelawar,

Ahmad ke pekan membeli seluar;

Harimau hanya setakat khabar,

Kita mampu melihat hanya di gambar.


Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Kini, beliau berkerjaya sebagai guru bahasa Inggeris dan penyelia di sebuah pusat pembelajaran bahasa. Malini juga menggalas jawatan penolong setiausaha dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan di portal Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula diterbitkan di laman Eksentrika.