Pondok telefon awam pertama di dunia mula beroperasi di Potsdamer Platz, Berlin pada 12 Januari tahun 1881. Manakala di Malaysia pula telefon diperkenalkan pada tahun 1891, namun tidak diketahui bilakah pondok telefon awam diujudkan.
Seingat saya, kebanyakan
rumah di negara kita pada tahun 1970-an tidak mempunyai telefon. Saya baru
lahir ke dunia beberapa tahun ketika itu. Jika hendak menghubungi sesiapa
menerusi telefon terpaksalah ke pondok telefon awam atau ke rumah jiran yang
‘berada’. Ya, mungkin benar pada masa itu orang berduit sahaja mampu memiliki
telefon yang dikendalikan oleh Jabatan Telekom Malaysia.
Saya andaikan bapa
saya tidak mampu untuk memasang telefon di rumah. Pada fikiran saya, telefon
adalah satu benda yang mahal dan hanya orang kaya sahaja mampu dan harus
memilikinya. Saya tidak tahu garis panduan sebenar untuk erti kata ‘kaya’
ketika itu.
Apabila perlu atau
ada urusan penting, saya akan ke pondok telefon yang akan mengambil masa sepuluh
hingga lima belas minit berjalan dari rumah. Ini adalah antara tahun 1979 dan 1980.
Telefon awam itu agak tinggi juga untuk budak sekolah rendah seperti saya. Kebiasaannya
saya akan telefon ke pejabat bapa di Temerloh dan ke rumah nenek di Kuala
Lumpur atas permintaan ibu.
Telefon pada masa
itu masih jenis dail (putar). Duit siling perlu dimasukkan terlebih dahulu,
selepas itu kita perlu putar nombor yang dingini dengan nombor kod negeri pada
awal. Duit syiling perlu ditambah setiap kali bunyi peringatan terdengar di
corong telefon. Biasanya 30 hingga 50 sen akan habis ditelan untuk penggunaan
beberapa minit.
Pada awal tahun 1980-an,
telefon jenis tekan diperkenalkan, baik di rumah dan di pondok telefon, namun
rumah saya masih tidak bertelefon. Saya masih kecewa sedikit dengan keadaan
ini.
Pengguna-pengguna
telefon awam bertambah aktif berkomunikasi atau bergayut berjam-jam lamanya
dengan adanya telefon jenis baharu itu. Saya harus tunggu sehingga kebas kaki
dan kadang-kadang semut menggigit sesuka hati. Geram juga. Apa boleh dibuat.
Suruhan ibu mesti dipatuhi atas urusan penting.
Satu lagi masalah
semasa menggunakan telefon awam adalah telefon mudah rosak. Duit syiling
walaupun sudah ‘ditelan’, orang di sebelah sana bercakap kita dengar tetapi
kita bercakap orang di sebelah sana tidak dengar pula. Ini akan mengundang
kemarahan dan gagang telefon akan dihentak-hentak dan menjadikanya rosak. Saya
sendiri pernah melakukannya.
Ada kala walaupun
kita masuk cuma 20 sen tetapi boleh bercakap selama setengah jam lamanya. Tidak
tahu di mana punca kesilapan berlaku.
Vandalisme
terhadap pondok telefon awam berlaku dari pelbagai sudut. Geram kerana duit
tertelan, marah kepada orang yang sedang bercakap, marah kepada ramai yang sedang
berbaris menunggu giliran dan dengan niat jahat untuk mencuri duit syiling
dalam perut peti telefon.
Perasaan tidak
puas hati manusia dan ketamakan akan membuatkan mereka bertindak ganas dengan
merosakkan telefon atau memecahkan telefon awam sehingga orang lain tidak dapat
gunakan pada masa-masa kecemasan.
Pada pertengahan
tahun 1990-an muncul pula kad telefon khas untuk digunakan di pondok telefon
awam. Ada jumlah-jumlah tertentu pada kad itu boleh dibeli di kedai makan dan
di pasar raya. Kita hanya perlu selitkan kad itu pada ruang pada peti telefon
dan boleh bercakap sehingga wang dalam kad itu kehabisan. Menggunakan kad
telefon ini walaupun mudah, namun ia lebih banyak menghabiskan duit jika
berbanding dengan penggunaan duit siling.
Pada tahun 1991,
baru telefon dipasang di rumah kami. Ini memudahkan saya menghubungi ibu bapa
saya dengan menggunakan telefon awam.
Kini telefon awam
dan telefon rumah pun sudah lama ditinggalkan. Kita yang sentiasa
mengalu-alukan kedatangan baharu, setia bersama kita telefon bimbit yang sudah bersama kita lebih
dua puluh tahun.
Tidak tahu untuk
berapa lama lagi telefon bimbit ini akan bersama kita.
[M.
Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang
penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Cerpen Mahendran
termuat dalam antologi seperti Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa
Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus
Aksara Sealur Kasih (2003), Busana
Bahasa (2019), Landasan
Hidup (2020), Peluru
Aksara (2020), dan Lakaran
Diri (2022). Kumpulan cerpen Mimpi
dan Impian (2013) merupakan terjemahan dalam Bahasa Malaysia yang dilakukan
oleh beliau untuk penulis veteran Tamil, mendiang M. Ramaiah. Karupaya (2018) adalah
kumpulan cerpen sulung Mahendran dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar
(2021) kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan
Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada
tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Sila klik di sini untuk
lebih banyak karya Mahendran.]