Aur Dengan Tebing


5 Mac 2018, suatu pagi yang indah, suasana sangat riuh rendah di perhimpunan SMK Yakin Boleh. Suara laungan nama beberapa pelajar kedengaran dengan penuh ceria.

Pengumuman dibuat oleh pengerusi majlis supaya Soda Kumar naik ke pentas untuk menerima anugerah sebagai Tokoh Kokurikulum, Sharan Kumar sebagai Tokoh Serba Boleh dan Sasi Kumar sebagai Tokoh Akademik.

Pelajar sekolah menjerit dengan gembira dan mengkagumi mereka bertiga kerana inilah pertama kali tiga anugerah tertinggi digondol oleh pelajar-pelajar yang tidak lama dahulu terkenal kerana kenakalan mereka.

Ketiga-tiga mereka naik ke pentas dan menerima anugerah dengan penuh kegembiraan dan wajah bangga. Selepas menerima anugerah tersebut, pihak sekolah memuji  mereka dan pengetua memberi mereka peluang untuk menceritakan pengalaman dan perasaan mereka atas kejayaan ini. Pengetua mahu mereka menjadi motivasi kepada pelajar-pelajar junior.

Soda Kumar  dijemput untuk berkongsi pengalaman dan perasaannya. Dia memulakan ucapannya dan terus mengambil mikrofon lalu menguji suara. Mikrofon mengeluarkan bunyi yang pelik  dan semua orang ketawa. Fikirannya melayang ke masa silam.

Pada 27 Januari 2016,   pada pukul 3 petang, hujan lebat dan Soda Kumar masuk ke stesen bas  dengan basah kuyup. Dia ternampak dua orang remaja sedang berbual tentang markah peperiksaan yang diambil pada minggu lepas.

Dia terdengar bahawa mereka tidak berpuas hati dengan markah mereka. Apabila dia meneliti pakaian seragam mereka, dia sedar mereka belajar di sekolah yang sama.

Soda baru seminggu belajar di sekolah tersebut dan masih tidak mengenali semua pelajar di sana. Soda Kumar ingin tahu apa yang telah berlaku. Soda kumar cuba berbual-bual dengan mereka.

Apabila mendengar perbualan mereka, Soda Kumar sedar yang masalah mereka adalah lemah dalam pembelajaran. Soda Kumar memberitahu mereka, sebenarnya semua masalah ada penyelesaian dan kalau mereka sudi, dia boleh menolong mereka.

Oleh itu,  Soda Kumar meminta mereka mencarinya sekiranya ada masalah dalam membuat kerja sekolah. Soda Kumar mengajar mereka apabila perlu.

Soda Kumar memberi fokus kepada kelemahan mereka.  Malah dia juga memerhatikan mereka dan mengenal pasti kebolehan mereka dan menggalakkan  mereka mengambil bahagian dan berjaya dalam bidang sukan juga. Semasa Soda Kumar menolong mereka dalam bidang akademik, dia juga menaikkan tarafnya dalam bidang kokurikulum dan akademik.

Perkara ini menarik perhatian guru-guru dan pihak pentadbir. Mereka berasa hairan tetapi gembira melihat perkembangan ini.

Semakin hari semakin baik perkembangan mereka. Ketiga-tiga mereka mula menunjukkan loncatan saujana yang sungguh memberangsangkan. Akhirnya, mereka berjaya mendapat sijil penuh dalam SPM. Bukan itu sahaja, ketiga-tiga mereka berjaya merangkul anugerah tokoh tertinggi.

“Sebelum saya mengakhiri ucapan, biarlah saya mengingatkan bahawa tiada apa yang mustahil. Sekiranya kita berusaha, kita boleh menawan walau gunung tertinggi. Kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya perlu terus mencuba walau apa dugaan tiba. Akhir sekali, pesanan saya ialah jangan kita memandang rendah atas kemahiran sendiri mahupun orang lain. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Sekian, terima kasih.”

 

Jeffry Solomon Victor dilahirkan di Ipoh, Perak pada tahun 2002. Beliau belajar di SK Bandar Baru Putra, Ipoh dan kemudian di SMK Miharja, Kuala Lumpur sehingga tamat SPM. Beliau baru menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang sumber manusia. Jeffry terlibat dalam program bahasa dan sastera anjuran Kavyan seperti pementasan drama Megha Duta (2023) dan sesi Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba (2023).