Cekal Hati

Aku sudah tidak ingat lagi. Aku sudah ditahan banyak kali. Aku agak sedih dengan hidupku ini. Aku pernah meronta-ronta. Aku pernah menjerit sekuat hati. Aku pernah memohon ampun. Aku pernah menangis. Aku pernah kelaparan dan kesejukan.

Sebelum aku menaiki penerbangan dari negaraku ke negara ini, aku ditahan di lapangan terbang untuk beberapa jam dan ini menyebabkan aku ketinggalan kapal terbang.

Rakan-rakan yang sepatutnya bersama aku sudah pun tiba di destinasi mereka. Dokumen perjalanan aku disemak beberapa kali dan disuruh ke meja itu dan meja ini. Akhirnya, aku disuruh memberi sejumlah wang sebelum aku boleh menaiki kapal terbang. Situasiku hanya membenarkan aku akur pada ‘perintah’ tersebut.

Segala dokumen yang diperlukan untuk perjalananku memang lengkap. Aku juga membayar sejumlah wang yang diminta oleh agen. Ibu dan kakak terpaksa mengadai rantai mereka untuk menyediakan wang supaya aku boleh ke negara orang dan mencari pendapatan untuk memberi kehidupan yang lebih bermakna kepada ibu, bapa dan adik-beradik.

Sebuah perkampungan kecil membesarkanku. Perkampungan ini juga mengajar aku erti kehidupan. Segala suka duka kehidupan dikongsi di sini. Aku bersekolah seperti kanak-kanak lain dan waktu petang, aku bermain dengan mereka. Aku bukanlah bijak tetapi aku rajin. Ayah selalu mengingatkan aku supaya belajar bersungguh-sungguh kerana hanya pendidikan dapat mengubah kehidupan. Aku berpegang kepada kata-kata ayah dan berjaya menjadi lulusan universiti.

Ijazah yang aku bertungkus-lumus untuk peroleh tidak pula menjanjikan pekerjaan yang dapat mengubah kehidupan keluargaku. Ibu dan ayah bekerja di kilang pakaian. Mereka semakin berusia dan tidak mampu untuk bekerja seperti sebelum ini. Adik-beradik aku juga mengikut jejakku tetapi masih tidak dapat memperoleh pekerjaan yang dapat mengubah kehidupan keluarga.

Akhirnya, ada seorang individu yang menjanjikan yang terbaik untuk aku. Aku pun bersetuju setelah menerima kebenaran dari ayah. Hanya satu di fikiranku, aku akan mengubah kisah hidup keluargaku.

Aku tiba di negara yang bakal memberikan kehidupan baharu kepadaku tetapi aku tidak dibenarkan keluar. Aku ditahan pihak imigresen, macam-macam soalan ditanya kepadaku. Agen yang sepatutnya datang mengambil aku, tidak pula memunculkan diri.

Selepas dua hari, aku dibenarkan keluar. Dokumen perjalanan dan segala dokumen lain masih sah dan lengkap. Aku mula berkenalan dengan seorang rakan dari negaraku. Dia memberi sedikit tunjuk ajar dan membenarkan aku tinggal bersamanya.

Duit yang aku bawa semakin berkurangan. Aku harus mencari pekerjaan untuk makan dan minum. Aku juga tidak boleh tinggal lama bersama rakanku ini. Aku mula membuat kerja-kerja sampingan. Ada kala aku akan mendapat bayaran. Ada kala upah aku ditahan tetapi tidak dibayar juga. Pelbagai cabaran dan rintangan aku hadapi.

Aku belum lagi dapat menghantar wang kepada keluarga di kampung. Segala yang aku dapat hanya cukup untuk aku makan, minum dan bayar sewa. Aku mula bertekad untuk buat apa sahaja kerja yang aku dapat asalkan boleh menghantar wang kepada keluarga.

Aku mula menjual ais krim dan aku ditahan pihak majlis perbandaran. Aku disuruh membayar wang kerana menunggang motosikal tanpa lesen. Tapi aku sebenarnya sudah ada lesen. Aku beli mesin rumput dan mesin itu dirampas oleh gengster di taman. Kalau hendak semula mesin itu, kena bayar. Aku memang cekal dan bertekad. Aku akan buat apa sahaja. Aku juga pernah kehilangan basikal. Basikal tua pun dicuri orang.

Aku mula bekerja di pasar – mengangkat dan menyusun sayur-sayuran. Aku mula berjimat cermat. Sedikit demi sedikit aku mengumpul wang. Aku tidak kisah layanan yang diberi kepadaku. Aku hanya mahu wang dan mengubah kehidupan ini. Dengan wang, aku mampu mengubah kisah aku dan keluargaku.

 

Anuradha Chelliah berasal dari Banting, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Banting sebelum meneruskan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pembangunan Manusia dan seterusnya Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha aktif menulis sejak 2016 dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. Karya beliau termuat dalam pelbagai antologi seperti Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020), dan Lakaran Diri (2022).  Anuradha merupakan bendahari Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.