Direndam Tak Basah, Dibakar Tak Hangus


“Sathish, pengetua memanggil kamu ke pejabat,” kata guru kelas Tahun 8 di sebuah sekolah swasta.

Dengan hati berdebar-debar, Sathish berjalan menuju ke pejabat. Adakah berita baik atau buruk yang menunggunya?

Pengetua memintanya duduk dan berdeham sebelum membuka mulut untuk bercakap.

“Sathish, maafkan saya! Sehingga pukul 9 pagi, bayaran tidak dibuat untuk semester ini. Kamu tidak boleh menyambung pelajaran di sini. Saya sudah menghubungi ibu kamu. Beliau sudah menunggu di luar. Sekiranya bayaran boleh dibuat sebelum hujung bulan ini, kamu boleh kembali. Saya mengucapkan yang terbaik kepada kamu.”

Begitulah dunia Sathish berkecai suatu hari pada awal tahun 2018. Masalah kesihatan ayahnya telah menyebabkan pengajiannya tergendala. Selepas itu, Sathish terpaksa pergi ke sebuah sekolah menengah berhampiran rumahnya. Walaupun merana, dia terus mencuba untuk belajar bersungguh-sungguh kerana impian untuk menjadi seorang pakar kardiotorasik sudah lama memenuhi dada dan minda.

Pandemik Covid-19 membawa pelbagai cabaran. Pengajaran dan pembelajaran dalam talian tidak membantu dalam menguasai sukatan baharu yang diperkenalkan. Dalam mencuba dan bergelut dengan mata pelajaran Kimia, Fizik, Biologi dan Matematik Tambahan, suatu jalan penyelesaian tiba dalam bentuk seorang sepupu yang menjadi tutor sepenuh masa.

Beliau telah mencadangkan agar Sathish cuba mengambil peperiksaan Cambridge yang agak lama sukatannya dan banyak bahan pembelajaran yang boleh diperoleh secara digital. Beliau sendiri boleh membantu sekiranya ada kekangan.

Semua itu cerita empat tahun dahulu. Hati Sathish kembali berdegup-degup. Jari ibunya dipegang untuk membuka dokumen pdf yang mengandungi keputusan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) 2021.

“5A, 1B. Matematik Tambahan dapat 79 markah. Satu lagi markah untuk A, ibu,” ujar Sathish.

“Tidak mengapa,  bersyukur dan gembira dengan apa yang diterima, dan syabas! Usaha dan pengorbanan kamu berjaya membuahkan hasil,” jawab ibu dengan penuh kesyukuran.

Sebelum menjejak kaki ke menara gading untuk memulakan pengajian asas sains, Sathish juga perlu menduduki SPM kerana sebagai seorang warganegara Malaysia, kepujian dalam subjek Bahasa Malaysia adalah wajib untuk bekerja sebagai pegawai perubatan.

Keputusan SPM juga menyebelahi Sathish. Walaupun dia belajar di rumah, dia berjaya mendapat keputusan 5A dan 1B.

“Eh, awak dapat B dalam Pendidikan Moral, Sathish. Memang tepat pun,” perli kakak Sathish.

“B dalam Pendidikan Moral tidak bermakna tidak berakhlak ya!” Ibu mencelah. “Segala-galanya bergantung kepada usaha dan kewarasan mengatasi cabaran dan dugaan. Kita perlu tabah dan bersabar seperti kata pepatah, direndam tak basah, dibakar tak hangus.”

“Saya bergurau sahaja ya, jangan ambil hati. Saya sangat bangga dengan pencapaian awak,” kata kakak sulung Sathish yang juga seorang pegawai perubatan. Beliaulah yang telah menarik minat Sathish untuk menjadikan profesion perubatan sebagai cita-cita hidup.

Sathish meneruskan pengajian dan berjaya mencapai keputusan yang amat memuaskan dan boleh meneruskan langkah seterusnya iaitu ijazah dalam Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery (MBBS).

Bumi mana tidak ditimpa hujan? Begitu juga yang berlaku kepada Sathish. Ayahnya mendapat serangan jantung sekali lagi.

“Apalah nasib saya ibu, setiap kali saya melangkah ke arah sesuatu, ayah jatuh sakit. Sejarah seolah-olah berulang!”

Air mata Sathish mula mengalir. Ibu senyap sahaja buat seketika.

“Apa-apa yang berlaku akan pulih. Hanya masa yang menentukan. Kita fokus kepada kesihatan ayah dulu. Kemudian kita cuba ikhtiarkan langkah seterusnya. Jangan bimbang,” pujuk ibu Sathish. 

Sathish menghadiri beberapa sesi kaunseling dengan guru kaunselor di universiti. Dia cuba memahami keadaan dan menerimanya.

“Tarikh tutup pendaftaran esok, ibu. Bagaimana ini?” Sathish bertanya dengan nada panik.

“Tunggulah sehingga petang. Kita lihat bagaimana perkembangan seterusnya,” jawab ibu dengan selamba.

Telefon berbunyi. Sathish menjawabnya dengan penuh tanda tanya. Tidak sampai tiga minit, Sathish menjerit kegembiraan.

“Yeah, saya sudah mendapat tempat untuk masuk kolej! Bagaimana, bagaimana? Saya rasa seperti mimpi.”

Sathish mencubit-cubit tangannya untuk memastikan dia tidak bermimpi. Kakak sulungnya dan semua ahli keluarga mendekati Sathish.

“Itulah kuasa sebuah keluarga yang sepakat. Apa-apa pun boleh diharungi. Selamat belajar dan selamat maju jaya. Ingat, MBBS adalah sesuatu yang mencabar dan perlukan kegigihan tinggi. Biasakan cara hidup berdisiplin dan rajin. Segala-galanya akan berjalan lancar,” nasihat kakaknya dengan penuh semangat. 

Siddarth Bala Thipan lahir di Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 2004 dan membesar di Kuala Lumpur. Beliau menamatkan pelajaran di SJKC On Pong dan sekolah menengah di Taylors International School Kuala Lumpur dan kemudian di Able Learning Centre, Kuala Lumpur. Siddarth melanjutkan pendidikan asas dalam jurusan sains di  Medical University College Malaysia. Beliau terlibat dalam program bahasa dan sastera anjuran Kavyan seperti Persembahan Lakonan Kavyan (2016), pementasan drama Megha Duta (2023) dan sesi Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba (2023).  Siddarth juga pernah menyertai pertandingan menulis cerpen Bahasa Inggeris pada peringkat sekolah dan daerah.