Cerpen
“Nafsu Estet” (Sastera Kavyan, 23 & 27 Januari
2026) karya Malini Lakshmi Bai menarik perhatian
saya untuk meneliti fiksyen berkenaan dari sudut naratif, budaya, dan hubungan
yang lebih luas berkaitan persoalan sosiopolitik komuniti India di Malaysia, persoalan
kemanusiaan, serta isu kesihatan mental yang disajikan secara bersahaja dengan
gaya bahasa puitis.
Cerita
bermula dengan memperkenalkan kita kepada watak Velu Durai, seorang lelaki berumur 64 tahun yang menggelarkan
dirinya sendiri sebagai “Penulis Estet, Nadi Suara Negara” — gelaran yang lebih
merupakan ilusi egonya berbanding pengiktirafan sebenar masyarakat sekeliling.
Velu
Durai bukan sekadar watak; dia adalah simbol kepada banyak naratif kaum India
di Malaysia yang bergelut dengan identiti, harga diri, dan penerimaan dalam
masyarakat majmuk di luar estet.
Pemilihan
latar seperti Flat Ladang Bukit Seri, warung lama di hujung lorong getah,
serta dialog ringkas kumpulan anak muda yang berkumpul menciptakan suatu
suasana tipikal komuniti estet yang sering tersisih secara sosio-ekonomi dan
budaya.
Saya
tertarik membaca cerpen ini kerana Malini Lakshmi Baik mampu menggunakan ruang latar
estet bukan sebagai latar semata-mata, tetapi sebagai fragmen realiti kehidupan
yang secara umum turut mengakar dalam sejarah masyarakat India di Malaysia.
Bahagian
pertama cerpen menggambarkan sikap obses Velu Durai terhadap wanita yang terhasil
melalui imaginasi erotik. Penceritaan ini nampak pada permukaan seolah-olah
fantasi semata, tetapi Malini Lakshmi Bai dengan teliti menekankan serta
mendedahkan keterasingan jati diri lelaki bernama Velu
Durai serta pengaruh tekanan budaya patriarki India yang
menjadikan watak wanita sebagai “objek nafsu” dalam naratif.
Watak
wanita—yang dianalogikan sebagai Urvashi, Ramba, dan Menaka—menjadi manifestasi
imaginasi dan bukannya realiti sebenar wanita dalam komuniti. Semuanya hanya
pantulan fantasi Velu Durai yang digerakkan oleh naratif lama kewujudan wanita
sebagai fantasi dan bukan sebagai entiti yang hidup, bernyawa, dan punya peribadi.
Dalam
konteks budaya India, cerpen “Nafsu Estet” mengangkat persoalan mendalam
tentang objektifikasi tubuh wanita dan stereotaip budaya yang harus direnungkan
semula; suatu tema yang jarang diperkatakan secara jujur dalam cerpen Bahasa
Malaysia.
Turut
membuatkan cerpen ini lebih kuat adalah kehadiran unsur ironi antara naratif dan realiti. Velu Durai yang bangga dan
megah dengan gelarannya di media sosial, sebenarnya dipenuhi dengan delusi. Realiti
ini digambarkan secara dramatik dalam bahagian kedua cerpen apabila watak itu
mengalami sawan dan dirawat oleh paramedik.
Babak
itu membawa kita kepada satu lagi aspek menarik dalam naratif Malini Lakshmi
Bai: kesihatan mental.
Kejatuhan Velu Durai bukan semata-mata disebabkan oleh kegagalan kreatifnya tetapi
oleh kerapuhan psikologinya sendiri—gangguan delusi dengan ciri psikotik yang
tanpa rawatan berterusan akhirnya memusnahkan realiti dan identiti diri.
Malini
Lakshmi Bai membuka ruang penceritaan yang kurang disentuh dalam sastera Bahasa
Malaysia—termasuk karya penulis kaum India sendiri—yakni beban psikologi ditanggung komuniti India akibat keterasingan sosial,
tekanan status, dan konflik dalaman yang tidak difahami masyarakat luar.
Budaya
komuniti India dalam cerpen ini bukan sekadar unsur latar, tetapi teras
penceritaan yang menyuntik kerumitan konflik batin. Kedudukan estet sebagai
ruang sejarah awal kaum India—tempat generasi pekerja ladang keturunan Tamil
dan Telugu yang sering dipinggir dalam naratif sastera kebangsaan—merupakan gambaran
realiti sosial yang memerlukan lebih banyak ruang dalam sastera kebangsaan.
Sesungguhnya,
sebagaimana turut disentuh dalam Kavya Sastra (2021), penglibatan penulis kaum
India dalam sastera Bahasa Malaysia membantu membuka perspektif budaya dan
pengalaman yang unik kepada pembaca pelbagai kaum, membantu memupuk persefahaman
antara budaya, serta membantu mengetengahkan aspek budaya India secara penuh
kreatif dan meyakinkan.
Malini
Lakshmi Bai tidak hanya mendedahkan status estet dan personaliti watak Velu
Durai (yang mungkin sahaja bersumberkan individu sebenar!) tetapi juga
menyentuh dilema patriarki yang membelenggu pandangan lelaki
terhadap wanita dalam naratif budaya India yang konservatif.
Naratif
yang disajikan ini bukan sekadar kritikan terhadap watak Velu Durai tetapi sesungguhnya
ungkapan kritikal terhadap cara sesetengah aspek budaya mmaparkan wanita
melalui kanta maskulin tanpa memberi ruang kepada watak wanita itu sendiri
untuk menjadi ejen kepada cerita mereka.
Pada
penelitian saya, kisah tersirat dalam cerpen ini adalah satu isu yang relevan
bukan sahaja dalam komuniti India tetapi juga dalam sastera global. Tahniah
kepada Malini Lakshmi Bai kerana mampu mengetengahkan persoalan ini dengan
kepekaan yang jarang dijumpai dalam cerpen; mengingatkan saya kepada beberapa cerpen
M. Mahendran.
Pendekatan
penceritaan Malini Lakshmi Bai yang menggabungkan realisme dengan unsur psikologi
menjadikan cerpen “Nafsu Estet” bukan sekadar cerpen biasa, tetapi sebuah kritikan sosial dan psikologi bernilai tinggi. Gaya ini
sejajar dengan aspek yang sering ditegaskan dalam bengkel penulisan anjuran
Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) iaitu sebuah karya sastera yang
bermutu harus memberi ruang kepada pembaca untuk berfikir, bukan hanya menerima
naratif pada lapis permukaan.
Sebagai
sebahagian daripada kelompok Sasterawan Kavyan,
Malini Lakshmi Bai memperlihatkan bakat yang jitu dalam menempatkan naratif
yang bukan sahaja mencerminkan identiti dan tekanan komuniti India di Malaysia,
tetapi juga membawa isu kesihatan mental—suatu
topik yang kerap dipandang ringan, malah diabaikan dalam wacana umum.
Saya
melihat “Nafsu Estet” sebagai sumbangan penting kerana ia mengajak pembaca
bukan sekadar berempati dengan watak, sebaliknya turut merenung lebih jauh
tentang bagaimana tekanan sosial, konflik identiti, dan stereotaip budaya
berinteraksi sehingga mampu memberi kesan psikologi kepada individu.
Malini Lakshmi
Bai berjaya memanfaatkan kemahiran bahasa dan kreativiti untuk
membentangkan sebuah kisah yang kompleks, berakar dalam budaya, dan pedih dalam
pengakuan psikologi manusia seperti Velu Durai menerusi cerpen “Nafsu Estet”.
Semua
ini ditulis dalam Bahasa Malaysia yang sekali gus membantu memperkaya khazanah
sastera kebangsaan. Karya seperti ini bukan sahaja sahaja boleh memperluaskan
horizon pembacaan masyarakat pelbagai kaum, malah turut berperanan memperkasakan
suara komuniti yang seringkali kurang didengari dalam wacana arus perdana.
Mahu mengirim karya
ke portal Sastera Kavyan?
Baca panduan dan syarat [di sini].
[Uthaya Sankar SB mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Beliau terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Tulisannya boleh juga dibaca di portal Sastera Kavyan. Baca biodata penuh]


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.