(Sambungan daripada Bahagian Satu) Cinta pertama bukan bermaksud aku tidak pernah
menaruh minat terhadap perempuan-perempuan lain. Itu menipu namanya. Ketika di
sekolah menengah seperti kebanyakan rakan-rakanku, nampak pelajar perempuan
itu, suka. Nampak pelajar perempuan ini,
suka dan nampak cikgu cantik pun suka juga. Masa itu aku tidak tahu apa itu
cinta. Tamat sekolah, semuanya hilang.
Setelah dua tahun bekerja, aku menemuinya. Mata bertentangan mata.
Hidung hampir bergeser. Wangi badannya mendebarkan hati. Kawan-kawanku tidak percaya
yang cinta kami terbentuk sama seperti dalam filem-filem Tamil.
Kisah ini berlaku di Perpustakaan Negara di bahagian pinjaman. Kami
berlaga di tangga. Aku sedang turun dan dia sedang naik. Buku-buku di tangan
kami jatuh berselerak di sepanjang tangga. Aku cepat-cepat tunduk. Aku mengutip
buku-buku pinjamannya, dia mengutip buku-buku pinjamanku.
Ya, pertemuan pertama kami berlaku di Perpustakaan Negara. Mata
bertentangan mata. Hidung hampir bergeser.
Aku suka biografi, dia pun suka biografi. Aku suka novel thriller, dia
pun suka. Aku suka Vijay, dia pun suka. Aku suka A.R. Rahman dia pun suka A.R.
Rahman. Banyak persamaan antara kami berdua.
Selepas satu tahun berkahwin, ada suatu perkara yang membuatkan aku mahu
bercerai dengannya. Itu sahaja jalan penyelesaian.
***
Ketika bercinta, dia mengakui yang saya dan dia memiliki banyak
persamaan. Bukulah, muziklah, filemlah dan bermacam-macam lagi. Walaupun ada
banyak persamaan, setelah berkahwin baru aku perasan semua persamaan itu tidak
boleh dijadikan asas atau sebab untuk
hidup bergembira sepanjang hayat.
Untuk menjalankan rumah tangga yang sempurna, perlu ada persefahaman dan
disiplin. Ya, ini saya sendiri ketahui selepas berkahwin dengannya. Tanpa
persefahaman dan disiplin, apa pun tidak akan terkabul seperti diimpikan.
***
Aku pun tidak tahu apa persefahaman yang dimaksudkan. Aku telah
melaksanakan tanggungjawab sebagai
seorang suami kepada seorang isteri. Malah lebih daripada itu.
Dalam masa setahun kami berkahwin semua berlangsung dengan aman dan damai.
Tetapi selepas ulang tahun perkahwinan kamilah, dia mula berubah. Taringnya
mula kelihatan.
Aku sungguh terkejut.
***
Saya ingatkan dia tahu tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Rupa-rupanya tidak. Kesilapan saya juga kerana tidak memberitahunya terlebih
dahulu. Dan saya telah memanjakannya sebagai budak kecil hingga tidak tahu
keadaan sebenar. Lagipun, ketika itu dia sering pulang lewat malam. Sudah pasti
dia letih bekerja. Saya tidak mahu menyusahkannya.
Adalah menjadi tanggungjawab seorang suami untuk bekerja. Saya juga
bekerja. Itu bukan bermaksud saya seorang sahaja yang perlu melaksanakan
kerja-kerja di rumah setelah pulang ke rumah. Apa yang dia buat?
***
Sejak kecil hingga pergi bekerja, emak langsung tidak pernah menyuruh
aku cuci pinggan-mangkuk, sapu rumah atau mop lantai. Kasut sekolah pun emak
yang basuhkan. Seterika pakaian pun aku tak tahu bagaimana caranya.
Ketika baru berkahwin, dia (isteri) langsung tidak pernah menyuruh aku
buat itu dan ini, kecuali urusan pergi ke kedai. Tetapi sekarang, semua sudah
berubah. Semua benda dipanggil aku buat.
Sapu rumah, mop rumah, basuh pakaian (nasib baik ada mesin), jemur
pakaian, potong bawang, siang ikan, tengokkan siulan pressure cooker,
masak nasi, buatkan teh/kopi, buang sampah dan macam-macam kerja dipanggil aku
buat.
Aku ini lelaki. Mana aku ada hati hendak buat. Aku menolongnya pun
kerana terpaksa. Apa akan jadi pada reputasi aku. Nanti malulah aku dengan
kawan-kawan.
Bukan aku tidak tolong langsung. Aku tolong. Setiap kali aku tolong, ada
sahaja yang tidak kena dengan apa yang aku lakukan. Tak bersihlah, basahlah,
tak cantiklah, salahlah dan macam-macam ‘lah’ lagi.
Mana aku tidak marah. Hendak pukul, tidak sampai hati. Jadi, barang-barang di rumahlah menjadi mangsa.
***
Seorang suami perlu ambil bahagian dalam segala suka dan duka si isteri.
Adakah salah, seorang isteri minta pertolongan suami untuk melakukan kerja-kerja rumah?
Bukankah bodoh namanya hendak tinggalkan isteri kerana malas mahu buat
kerja-kerja rumah.
Hendak ceraikan saya, konon.
Baru saya faham betapa pentingya jaathagam dan porutham
untuk hidup bahagia sebagai suami isteri.
Mahu mengirim karya ke portal Sastera Kavyan? Baca panduan dan syarat [di sini].
[Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau
berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak
tahun 1987. Karupaya (2018) ialah
kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar
(2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di
portal Sastera Kavyan, Eksentrika,
Cukaria, dan Blog Peribadi, serta di majalah Thendral dan Vanampadi. Baca: Biodata penuh]


Ulasan
Catat Ulasan
Terima kasih. Komen anda akan dinilai sebelum dipaparkan. Harap maklum bahawa komen tanpa nama TIDAK akan diluluskan.