Jalan-jalan Cari Makan

Kali pertama saya menjejak kaki di kapal terbang ialah apabila saya pergi ke Chennai, India. Perjalanan ke sana yang mengambil masa hampir empat jam dengan menaiki kapal terbang menjadi suatu pengalaman baharu bagi saya yang tidak pernah meninggalkan tanah air ini.

“Wah, besarnya kapal terbang ini!” Jerit adik dengan begitu teruja.

“Syy! Jangan menjerit,” tegur ibu.

Perjalanan dalam kapal terbang dipenuhi dengan menonton tayangan gambar dan mendengar muzik. Makanan yang enak juga telah dihidang dan dijamu dengan seronoknya oleh saya dan adik bersama ayah dan ibu.

Setelah sampai di India, saya berasa amat janggal dengan keadaan yang agak berbeza berbanding dengan negara Malaysia. Telinga saya sakit kerana di India banyak kenderaan yang memenuhi jalan raya. Pemandu kereta, bas dan auto suka menekan hon dengan kuat dan tidak berhenti-henti sebagai tanda mereka memandu dengan laju.

Bukan masalah itu sahaja di India, saya mendapati kandungan habuk di udara juga sangat tinggi dan saya terpaksa menutup muka dengan kain setiap kali pergi ke luar.

Apabila kami sekeluarga pergi menyempurnakan hajat di Rameswaram, saya mendapati air sungai dan laut sangat kotor dan berbau. Ramai pelawat dan pelancong membuang sampah di sungai dan laut.

“Kotornya air ini dan berbau pula!” Saya mengeluh bersendirian.

“Macam mana saya nak mandi di sini?” Tanya adik pula.

Walau bagaimanapun, saya cuba menyesuaikan diri untuk mandi di laut dan mengikut sahaja arahan ibu ayah.

Apa yang paling saya seronok ialah makanan di India.

“Ayah, kita melancong ke India dan kita belum merasa makanan di sini. Mari kita mencuba makanan di sini. Laparlah, ayah,” kata adik kepada ayah.

Di negara India wujud perbezaan masa selama dua setengah jam berbanding di Malaysia. Walaupun jam menunjukkan pukul 8.00 pagi, sebenarnya sudah pukul 10.30 pagi di Malaysia. Maka, perut saya akan mula mengeroncong.

Kami dapat makan pelbagai jenis makanan seperti tose, idli, vadai dan poori. Semua makanan sangat sedap dan baru dimasak. Saya dapati masakan di sini kurang menggunakan minyak dan lebih menggunakan kaedah mengukus kerana masyarakat di sini mementingkan kesihatan. 

Bukan itu sahaja, kebanyakan makanan di India ialah makanan sayur-sayuran ataupun vegetarian. Masyarakat di sini juga kelihatan kurus dan tidak ramai yang kelihatan obes. Hal ini mungkin kerana di sini mereka banyak berjalan.

Setelah dua minggu berada di beberapa tempat di negara India seperti Chennai, Thiruchirappalli dan Madurai, saya mula merindui Malaysia. Walaupun kami gembira makan angin di sini, saya sangat menunggu untuk pulang kerana rindukan tanah air.

Keluarga saya pun pulang ke Malaysia. Sebaik mendarat di Malaysia, perkara pertama yang diujarkan oleh adik ialah, “Ayah, mari kita makan nasi lemak. Saya sudah rindu akan makanan kegemaran saya.”

“Ya, mari kita makan nasi lemak dan minum teh tarik. Sudah rindu pula makan makanan di sini,” balas ayah pula.

Semasa ayah memandu kereta ke kedai nasi lemak berhampiran rumah kami, tiba-tiba saya terasa bahawa ada sesuatu yang janggal sejak kami tiba ke Kuala Lumpur.

“Oh, ya! Tidak kedengaran bunyi hon yang berterusan dan bising itu,” saya berkata dengan kuat dan semua ahli keluarga mula ketawa.

Walaupun terasa juga rindu akan lawatan tersebut yang telah mengeratkan hubungan kekeluargaan, saya tetap mencintai negara saya Malaysia iaitu tanah tumpahnya darah kami semua.   

 

Heswin Chandran merupakan bekas murid sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan kini pelajar di SMK Cochrane, Kuala Lumpur. Beliau seorang remaja yang mudah mempelajari sesuatu dan boleh berfikir dengan kreatif.  Heswin berhasrat memperkasakan dan memartabatkan kualiti penguasaan Bahasa Malaysia dalam diri dengan berkarya.Beliau menyertai sesi Lepak Menulis Cerpen di Anak Baba (2023).