Kematian Satu Perjalanan

Biarpun rohnya berpisah dari jasad, senyumannya tidak lekang dan kumisnya kekal melentik.

Ram meninggal dunia dalam keadaan berseorangan tetapi tiada apa yang perlu dirisaukan perihal duniawi.

Waris untuk asetnya yang tidak seberapa sudahpun dinamakan.

Tiada apa yang perlu dirisaukan perihal dunia roh juga kerana syurga dan neraka bukan destinasinya.

Syurga dan neraka bukan destinasi akhir kerana kedua-duanya ciptaan Vishnu juga.

Destinasi itu hanya untuk rakan-rakannya yang mengikut fahaman agama Samawi.

Destinasi terakhir untuk setiap ātma[1] ialah Paramātmā[2].

Roh yang menerawang di udara dapat melihat ahli pusat jagaan orang tua Live In di ruang tamu sibuk.

Kematiannya dikhabarkan kepada Rosanna.

Rosanna bukan keluarga dalam erti kata sebenar tetapi menjadi lebih rapat daripada keluarga selama lebih dua dekad.

Yang menjadi kepastian kini adalah upacara kematian menurut mazhab Vaishnava dan diikuti oleh pembakaran mayat.

Pembakaran mayat diperlukan kerana Ram ketika hidup tidak mencapai tahap pencerahan yang sewajarnya.

Bagi mereka yang mencapai tahap pencerahan yang sewajarnya, mereka mencapai taraf samadhi setelah tempoh hayat tamat.

Ini bermakna jasad yang tidak bernyawa akan dikebumikan.

Roh tersebut mempunyai kelahiran semula yang perlu diambil kerana sifat roh sama seperti tenaga.

Tenaga boleh berubah bentuk tetapi tidak boleh dihapuskan.

Roh juga begitu.

Ia kelahiran semula bukan penjelmaan semula.

Dalam kelahiran sebagai Ram, dia hanya berjaya membebaskan diri daripada ikatan keluarga.

Pembebasan dari ikatan keluarga berlaku tanpa sebarang perancangan. Apakah ia ditakdirkan atau ia permainan watak-watak lain dalam hidupnya tidak diketahui.

Perjalanan kerohanian Ram telah memberikan jawapan tersebut.

Prakruteh kriyamanani, Gunaih karmani sarvashah,

Ahankara vimudhatma, Kartaham iti manyate

Sloka 3:27 dalam bahasa Sanskrit daripada Bhagavad Gita ini bermaksud roh yang dipengaruhi ego yang palsu percaya dirinya adalah punca sesuatu berlaku walhal ia disebabkan oleh kesedaran Krishna dan kesedaran material yang berfungsi pada masa sama.

Bagaimanapun pembebasan dirinya tidak lengkap kerana Ram terikat kepada hubungannya dengan tiga insan istimewa termasuk Rosanna.

Jasa dan budi Rosanna dalam hidupnya yang baru tamat perlu dibayar balik dalam kelahiran baru.

Kelahiran semula itu satu kepastian kerana ia hukum karma, bukan Tiger Ka Hukum.[3]

Hukum Newton ketiga menyerupai hukum karma. Skopnya lebih kecil berbanding hukum karma.

Hukum Newton ketiga menyatakan, untuk setiap daya tindakan, terdapat satu daya tindak balas yang mempunyai magnitud sama dan bertindak pada arah yang bertentangan.

Karma memainkan peranan dalam hidup Ram dan sekalian umat manusia. Perbuatan hari ini menyebabkan baik dan buruk hari esok.

Perbuatan dalam kelahiran lepas penentu dalam kelahiran ini.

Berbalik ke dunia nyata ...

Di dunia nyata, mayat Ram dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di dalam ambulans untuk bedah siasat.

Seorang lagi teman rapat Ram, Shreenika Narasimha mengesahkan Ram penderma organ.

Itulah juga yang tercatat dalam aplikasi MySejahtera milik Ram.

Mujurlah MySejahtera memberi kebebasan kepada pengguna untuk menamakan sesiapa saja dan tidak mengekangnya kepada keluarga terdekat.

Bedah siasat ke atas Ram dijalankan oleh ahli patologi di HKL sebelum dituntut oleh Shreenika.

Seusai pendermaan organ dan bedah siasat, jasad Ram dibawa kembali ke Live In. Upacara kematian Ram perlu dijalankan.

Berlainan dengan upacara kematian orang lain, upacara kematian Ram dijalankan oleh Shantaya - rakan karib Ram - bukannya pendeta dari kuil.

Shantaya bukan sami di kuil tetapi cukup arif dalam bidang kerohanian.

Justeru, Ram telahpun mewasiatkan Shantaya untuk menjalankan upacara tersebut sebelum kematian meskipun dia mengetahui ada pihak yang tidak akan bersetuju dengan ketetapannya.

Meskipun rakan rapat ketika hayatnya, Ram perasan bahawa Shantaya mengawal emosi dan tenang ketika menjalankan upacara tersebut.

Keadaan Rosanna dan Shreenika pula amat berbeza sekali.

Mereka menangisi pemergian Ram meskipun kedua-dua wanita tersebut mengetahui  atma Ram mempunyai peluang untuk membebaskan diri daripada kitaran kelahiran semula.

Rosanna turut berdoa menurut ajaran agama Kristian atas pemergian Ram.

“Semoga Ram kekal abadi di sana,” bisiknya.

Selain mereka bertiga, penghuni dan kakitangan Live In turut memberi penghormatan terakhir kepada Ram.

Jumlah mereka tidak ramai, kurang daripada jumlah jari di dua tangan.

 

Sehari selepas upacara pembakaran jenazah Ram, ketiga-tiga wanita tersebut berkumpul semula seusai upacara pembacaan doa yang akan berlangsung selama dua minggu.

Ini kerana mereka diarahkan berjumpa peguam Ram yang juga menguruskan wasiatnya.

“Abu mayat Ram wajar dibawa ke Sungai Gangga untuk upacara terakhir. Itulah yang sepatutnya kita lakukan,” kata Rosanna.

Sungai Gangga di Varanasi, India ialah bandar raya Hindu yang menjadi tumpuan penganut agama Hindu untuk melakukan upacara berkaitan abu jenazah penganut Hindu di sungai tersebut.

Menurut Sadhguru Jaggi Vasudev, upacara tersebut dilakukan untuk memutuskan hubungan si mati dengan semua orang yang dikenali sewaktu dia hidup dan amalan ini dikenali sebagai runanubandha.

Dalam konteks mendiang Ram, atma Ram akan mengambil masa 40 hari untuk memutuskan hubungan dengan urusan duniawi untuk mencapai pembebasannya.

Abu mayat juga boleh disalahgunakan oleh sesetengah pihak. Justeru itu, upacara tersebut selalunya melibatkan sungai atau laut.

Shreenika dan Shantaya bersetuju dengan pandangan Rosanna.

Tepat 14 hari selepas kematian Ram, abu jenazahnya disemadikan di Sungai Ganges oleh Shreenika, Shantaya dan Rosanna.

Kali ini Shantaya tidak menjalankan upacara tersebut tetapi turut sama menyertainya seperti Shreenika dan Rosanna.

 

K. Pragalath lahir di Perak, membesar di Kedah, dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau berkecimpung dalam dunia kewartawanan; bermula di Malaysiakini sebagai wartawan bahasa Inggeris dan pernah berkhidmat di beberapa laman berita lain. Kini, Pragalath di Harapan Daily sebagai penyunting berita Bahasa Malaysia. Dalam bidang kesusasteraan, beliau berjinak dengan penulisan cerpen dan sudah menghasilkan beberapa cerpen. “Dana dan Darah” diterbitkan di Eksentrika. Pragalath turut berkecimpung dalam bidang penterjemahan. Karya terjemahan pertama ialah “An Epic Ride” yang diterbitkan dalam kumpulan cerpen The Painted Cat (2023). Baca karya Pragalath [di sini].



[1] Atma dalam bahasa mudah boleh diterjemah kepada roh.

[2] Paramātmā merujuk kepada kesedaran Tuhan.

[3] Tiger Ka Hukum adalah seruan watak ‘Tiger’ Muthuvel Pandian dalam filem Jailer (2023).